SALAM for all:
PERHATIAN Untuk Semua. Pertubuhan Siswa-Siswi Lepasan Institut Berakan Negeri Terengganu (Sisbakti) akan mengadakn Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama 2010 pada hari Jumaat ini bertarikh 12 hb Mac 2010.
Mungkin ramai di kalangan lepasan pelajar atau murid-murid tua ini akan tertanya-tanya kenapa jadi baru pertama kali hendak bermesyuarat Sisbakti.
Nama Sisbakti ini telah ‘gah’ sejak lebih 30 tahun lalu. Sejak Institut Berakan (IB) ditubuhkan tahun 1977 dan lepasan pelajarnya itu telah dikenali dengan nama Sisbakti.
Meski pun, belum berdaftar secara sah sebagai sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi telah lama digunapakainya.
Justeru itu, di akhir tahun 90-an maka didaftarkan Sisbakti ini sebagai sebuah pertubuhan yang sah disisi undang-undang.
Kepimpinan Sisbakti waktu itu, mantannya Tengku Shamsul Alang Tengku Husin sejak lebih 20 tahun lalu. Apabila Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Negeri Terengganu (Yakep) ditubuhkan, Tengku Shamsul pun diamanahkan memberi tumpuannya kepada Yakep.
Dan seterusnya, Sisbakti diamanahkan pula kepada Ustaz Shaiful Ambia Darusa lepasan IB yang pernah mengaji di Pakistan. Dan secara tidak sedar berlaku kealpaan dan keciciran dalam menumpukan kepada Sisbakti.
Dan sebenarnya, Sisbakti ada banyak catatan sejarah serta mehnah dan cabarannya yang akan diterangkan dalam catatan yang lain.
Berikut, adalah sedikit perutusan dari Presiden Penaja Sisbakti iaitu Ustaz Shaiful Ambia Darusa yang perlu kita renung dan fikirkan, InsyaAllah.
Assalamualaikum w.w.t;-
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah SWT dengan dengan limpah dan kurnia-Nya. Kita masih lagi dipanjangkan umur oleh Allah Ta’ala untuk kita mengabdikan diri kepada-Nya serta dapat menjalani tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi); Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkat-Nya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah-Al A’raf: Ayat 96).
Dan Sabda Rasulullah SAW pula yang bermaksud; “Apabila Allah mahukan kebaikan untuk sesuatu kaum, Allah takdirkan penguasa (pemerintah) mereka terdiri daripada orang-orang yang sabar. Hakim-hakim mereka terdiri daripada kalaangan ulama’. Manakala, perbendaharaan mereka dipegang oleh orang yang bersikap ‘tasamuh’. Apabila Allah mahu mentakdirkan keburukan bagi sesuatu kaum, Allah takdirkan penguasa mereka terdiri daripada orang-orang yang rendah akhlaknya dan tidak bijaksana. Hakim-hakim mereka terdiri daripada orang-orang yang jahil. Manakala, perbendaharaan mereka diterajui oleh mereka yang kedekut”. (Riwayat ad-Dailani).
Bersyukur kita kehadrat Allah SWT, kerana pada hari ini sekali lagi kita dapat menghadirkan diri pada Mesyuarat Agung Tahunan 2010 (Sisbakti) (2009) Kali Pertama. Ianya, merupakan suatu tuntutan yang termaktub dalam Perlembagaan Pertubuhan Sisbakti 2009 ini.
Ucapan terima kasih dan rasa bangga juga saya tujukan kepada Ustaz Abu Bakar yang kerana sudi menjadi tetamu kehormat kita sekalian dan sekaligus sebagai perasmi pada mesyuarat kita pada hari ini, Alhamdulillah.
Saudara dan saudari sekalian;
Suka saya mengimbas kembali sedikit sebanyak secara ringkasnya tribulasi yang pernah dilalui oleh Sisbakti kita yang mungkin tidak diketahui ramai sama ada secara sedar atau tidak.
Dan sebenarnya, pertubuhan Sisbakti kita ini pernah ‘berkubur’ pada suatu ketika dahulu kerana kelemahan kita diperingkat pengurusan organisasi yang mungkin kerana kesibukkan masing-masing. Maka, kelangsungan perjalanan Sisbakti agak ‘terencat’ serta terlepas pandang.
Namun begitu, pada hari ini kita bermesyuarat dan bergerak di atas landasan yang betul serta sah mengikut lunas-lunas perundangannya. Sisbakti 2009 ini telah pun mendapat kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan Negeri Terengganu pada 19 Mei 2009, tahun lalu.
Satu perkara yang perlu dimaklumkan, usaha menghidup serta mendaftarkan semula Sisbakti ini bukan suatu perkara yang mudah. Oleh itu, mesyuarat lalu bersetuju agar alamat pendaftarannya menggunakan alamat rumah kediaman Setiausaha Sisbakti, Saudara Khairul Azlam Mohamad.
Tujuannya, supaya segala surat menyurat rasmi dari pihak Pendaftar Pertubuhan boleh diterima dan diuruskan dengan baik serta tidak berlaku lagi keciciran atau terlepas pandang.
Tuan-tuan dan puan-puan;
Jika tugas memimpin sebuah organisasi badan bukan kerajaan (NGO) seperti ini hendak ditawarkan mungkin tiada sesiapa yang secara sukarela mahu memimpinnya. Memimpin badan NGO seperti ini bukan boleh menjadi kita kaya-raya bahkan terpaksa mengorbankan wang ringgit sendiri.
Tetapi jika, Sisbakti ini telah mempunyai dana serta aset yang nilainya berjuta-juta. Pada waktu itu, barangkali mungkin ada pihak-pihak tertentu atau individu-individu tertentu sedia menawarkan diri untuk memimpinnya.
Pada saya, tujuan Sisbakti ini ditubuhkan secara sah dan berdaftar adalah supaya kita boleh bergerak di atas landasan yang betul mengikut undang-undang dan peraturanya.
Lepasan Pelajar Institut Berakan dan Ma’ahad Tahfiz (MTT) yang telah ‘keluar’ dari alam persekolahan ini sebenarnya masih boleh berbakti serta berganding bahu bersama-sama dengan pengasas dan penggeraknya.
Ibarat kata pepatah kita, ‘Yang Patah Akan Tumbuh, Yang Hilang Akan Berganti’. Jika kita kenang kembali ketika di alam persekolahan 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun lalu. Sudah pasti kita dapat mengingatnya waktu itu, pengasas dan penggerak sekolah Institut Berakan (IB) atau MTT ini masih muda dan bertenaga.
Tetapi hari ini, cuba kita lihat mereka (pengasas dan penggerak) semua telah pun memasuki usia ‘warga emas’ yang memerlukan kepada pelapis kepimpinan dan peneraju sebuah institusi pendidikan seperti ini.
Sisbakti sangat diharapkan boleh memainkan peranan penting sebagai salah satu organisasi yang berkait rapat dengan pihak sekolah (MTT) ini termasuk dalam mengumpul dana dan tenaganya.
Hari ini juga, kita diberi mandat untuk memilih pucuk kepimpinan Sisbakti bagi sesi 2010/ 2012 dan terpulanglah kepada saudara/ ri sekalian untuk membuat pilihan.
Pilihlah pemimpin yang mampu bekerja serta mempunyai komitmen yang tinggi serta sanggup berkorban apa sahaja demi kelangsungan Sisbakti. Saya juga bersyukur kerana dalam tempoh setahun yang lalu, kita berjaya menganjur serta mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Apa pun, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Setiausaha saya, Encik Khairul Azlam Mohamad serta saf Ahli Jawatankuasa Sisbakti penaja yang lalu kerana memberi kerjasama yang baik. Akhirnya, saya mengharapkan mesyuarat agung kita kali ini akan lebih bermakna dan bersedia menghadapi cabaran yang mendepani masa.
Sekian terima kasih dan Selamat bermesyuarat kepada semua, Insya’Allah.
USTAZ MOHD SHAIFUL AMBIA BIN DARUSA
12 hb Mac 2010
0 comments:
Catat Ulasan