Umno percaya Anwar bakal PM?

BESUT: Kebimbangan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu berasas jika rakyat terus menolak parti itu dalam pilihan raya akan datang dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menterinya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Besut, Nawi Mohamad percaya Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar akan dipilih menjadi PM sekiranya rakyat hilang keyakinan kepada Umno-BN.

Malah, kata beliau ‘pemilihan’ Anwar adalah jelas apabila Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan kononnya tidak berminat menjadi pemimpin nombor satu negara.

Menurutnya, Ustaz Abdul Hadi dilaporkan ingin meneruskan perjuangan dalam PAS bagi menyelamatkan negara serta memperkenalkan dasar negara berkebajikan.

“Nampaknya pihak pembangkang sudah sebulat suara pilih Anwar bukan Hadi,” ujarnya ketika mengulas penafian Dato’ Seri Abdul Hadi bahawa beliau inginkan jawatan Perdana Menteri sekiranya menang pada PRU ke-13, akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut menegaskan Umno-BN tidak akan memberi laluan mudah kepada pembangkang bagi membentuk kerajaannya.

Katanya, Umno-BN tidak akan memberi laluan mudah kepada Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, sokongan yang diberikan oleh rakyat kepada Umno-BN sekarang semakin bertambah.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad mengakui senario politik di Terengganu seiring dengan perkembangan negara.

Katanya, rakyat umum di seluruh negara mahukan perubahan dan Terengganu juga bakal membuat kejutan seperti tahun 1999 yang lalu.

“Betul sebagaimana yang dibimbangi oleh pemimpin Umno-BN Terengganu itu, Anwar bakal jadi Perdana Menteri.

“Apa yang penting Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dan PAS kembali memerintah Terengganu. Soal siapa jadi PM akan ditentukan dalam Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, kebimbangan pemimpin Umno di peringkat akar umbi tersebut bukti rakyat akan menolak kerajaan Barisan Nasional.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top