Pemimpin BN Terengganu pengecut?

KUALA NERUS: Parti KeADILan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Nerus menyifatkan ketidakhadiran dua pimpinan Umno Terengganu menyertai Forum Dialog Rakyat ke Arah PRU Ke-13, pada 12 Mac lalu sebagai “pengecut”.

Ketua Cabangnya, Muzafeq Affyulzaifuzan Muhammad berkata dua pimpinan Umno Terengganu yang dijemput sebagai ahli panel tidak hadir ke majlis tersebut.

Katanya, parti KeADILan melahirkan rasa dukacita kerana jemputan rasmi telah dihantar kepada wakil kerajaan Barisan Nasional.

“Kita rasa terkilan dan dukacita kerana pimpinan Umno Terengganu tidak hadir sebagai ahli panel forum untuk kepentingan rakyat.

“Kita telah hantar surat jemputan rasmi kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Nasir Ibrahim Fikri, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd. Rahman dan Penasihat Ekonomi kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Mustapha Ahmad Merican,” jelasnya.

Namun begitu, katanya hanya Dato’ Mustapha yang memberi jawapan tidak dapat hadir kerana urusan tertentu.

Menurutnya, kegagalan Nasir dan Razif hadir bukti pemimpin Umno “pengecut” serta tidak mengutamakan kehendak rakyat yang mahukan penjelasan mengenai ekonomi negara.

Kata beliau, meski pun tiga ahli panel jemputan itu tidak hadir majlis forum tersebut dapat diteruskan dengan jayanya.

“Forum kita dapat diteruskan dengan ahli panel terdiri Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dan Pengarah Strategi PKR Pusat, Rafizi Ramli,” ujarnya.

Menurutnya, PKR Kuala Nerus tidak berputus-asa dan akan terus menjemput pimpinan Umno-BN bersama pimpinan Pakatan Rakyat berada di satu pentas ceramah.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top