HULU TERENGGANU: Nasib malang yang menimpa keluarga pasangan kembar seiras Nur Fatin Farzanah Hamid dan Nur Fatin Farzana berusia tiga tahun turut mendapat perhatian serta simpati Majlis Tindakan Dewan (MTD) Undangan Negeri Manir.
Kedua-dua kanak-kanak tersebut menjadi mangsa korban kebakaran rumah mereka di Kampung Durian Mas, Manir pada 5 Julai lalu.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir, Dato’ Harun Taib merakamkan ucapan takziah serta simpati terhadap nasib malang yang menimpa keluarga Hamid Mustafa dan Suriani Sulong.
Ucapan serta sumbangan MTD disampaikan oleh anaknya Mohd Hamdi yang mewakili Dato’ Harun yang keuzuran.
Mohd Hamdi, 24, menyampaikan ucapan salam serta takziah terhadap keluarga kanak-kanak kembar yang meninggal dunia tersebut.
Katanya, tentu ada hikmah Allah SWT bagi menguji kesabaran serta ketentuan Tuhan yang Maha Berkuasa.
“Ustaz (Dato’ Harun) kirim salam kepada keluarga Encik Hamid dan isterinya (Suriani) yang anak-anak mereka terkorban dalam kebakaran rumah.
“Harap (mereka) dapat sabar dan terima ketentuan ini sebagai takdir dan ada hikmah yang sangat besar dan tidak ketahui oleh kita, Insya’Allah,” ujarnya kepada Harakah ketika menziarahi keluarga malang tersebut.
Encik Hamid, 44, berkata kejadian berlaku terlalu pantas hingga gagal menyelamatkan kedua anak kembarnya Farzanah dan Farzana.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 9.00 pagi dan ketika itu beliau sedang tidur setelah makan ubat kerana mengidap sejenis penyakit ‘epilepsi’ (sawan).
“Saya tidak tahu macam mana terbakar dan kejadian terlalu pantas. Saya tertidur setelah telan ubat sakit sawan dan anak-anak bermain dalam bilik.
“Saya dikejutkan oleh sepupu yang berjiran, dan saya panggil nama mereka (anak) tetapi tidak dijawab hingga ditemui mati kebakaran,” jelasnya.
Katanya, tidak ada perasaan hendak digambarkan melain berserah kepada takdir Allah SWT dengan redha.
Ibu mangsa, Puan Suriani Sulong, 40, menyifatkan kedua-dua anaknya itu periang dan penghibur dalam keluarga.
Katanya, dalam usia tiga tahun tiga bulan telah boleh berdikari, rajin, ringan tulang dan cerdik meski pun belum bersekolah.
“Setiap hari, saya bekerja tukang sapu di sebuah sekolah di bandar Kuala Terengganu untuk menyara keluarga kerana suami (Hamid) tidak sihat dan keuzuran.
“Mereka (anak-anak) ditinggalkan bersama ayahnya (Hamid) di rumah, Farzanah dan Farzana senang dijaga, tidak buat karenah (masalah),” ujarnya.
Beliau menerima ketentuan tersebut dengan redha kerana Allah SWT lebih menyayangi mereka berdua.
Manakala, rombongan ziarah itu turut disertai oleh Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran dan Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing.
Mereka turut menyampaikan sumbangan dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran rumah tersebut.
Hadir sama mengiringinya, Pengerusi MTD Manir, Yusuf Embong dan Bendaharinya, Tengku Sulaiman Tengku Chik.
0 comments:
Catat Ulasan