Mat Said sahkan warga asing pengundi di Terengganu

KEMAMAN: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said mengesahkan dakwaan PAS Terengganu wujudnya pengundi warga asing dari Myanmar, Rohingya dan Kemboja di negeri ini.

Namun begitu, katanya isu pengundi warga asing Myanmar yang dimaksudkan itu sebenarnya berasal dari Malaysia.

Menurutnya, warga asing Myanmar tersebut merupakan pelarian ketika zaman pemerintahan British sebelum merdeka.

“Sebenarnya mereka (pengundi warga asing) sudah berada di negeri ini lebih 20 tahun. Sebelum saya jadi wakil rakyat lagi mereka sudah mengundi.

“Memang kita ada beri kerakyatan kepada orang Rohingya, Kemboja dan Myanmar yang jadi pelarian asalnya orang Malaysia, dikerah buat jambatan maut waktu zaman British dan pendudukan Jepun di negara ini dulu.

“Mereka ini semua kita bawa balik dan beri kerakyatan dan kebanyakan mereka dari Kedah,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dana Raya kepada penduduk di Seri Bandi, Kemaman, 11 Ogos lalu.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian bagi menyangkal pendedahan PAS Terengganu yang berjaya mengesan ribuan warga asing memiliki kad pengenalan dan berdaftar sebagai pengundi di beberapa kawasan di Terengganu.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mendakwa Jabatan Pilihan Raya parti berjaya mengesan ribuan warga asing yang dipercayai memiliki kad pengenalan mendaftar sebagai pengundi di negeri ini.

Katanya, kad-kad pengenalan tersebut telah dikeluarkan di Kedah dan didaftarkan sebagai pengundi di beberapa kawasan di Terengganu.

“Kami (PAS) melalui Jabatan Pilihan Raya parti telah mengesan sebanyak 5,006 bangsa asing yang berketurunan Myanmar didapati tersenarai sebagai pengundi di beberapa kawasan di negeri ini.

“Daripada 5,006 pengundi itu, sebanyhak 1,239 pengundi terdapat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal. Dun Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said sendiri.

“Seramai 529 pengundi lagi dikesan di Dun Air Putih khususnya di Cheneh Baru dan beberapa kawasan lain di Kemaman,” jelasnya pada satu sidang media sempena lawatannya bersama kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) ke Bazar Ramadan Alor Tembesu, Dungun, 10 Julai lalu.

Malah, katanya PAS Terengganu turut mengesan 44 orang pengundi yang didaftarkan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi tidak ada rekod di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top