DUNGUN: PAS Terengganu mendakwa daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri ini tidak bersih setelah pihaknya berjaya mengesan kepincangan yang ketara.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata Jabatan Pilihan Raya parti berjaya mengesan ribuan warga asing yang dipercayai memiliki kad pengenalan mendaftar sebagai pengundi di negeri ini.
Beliau difahamkan, kad-kad pengenalan tersebut telah dikeluarkan di Kedah dan didaftarkan sebagai pengundi di beberapa kawasan di Terengganu.
“Kami (PAS) melalui Jabatan Pilihan Raya parti telah mengesan sebanyak 5,006 bangsa asing yang berketurunan Myanmar didapati tersenarai sebagai pengundi di beberapa kawasan di negeri ini.
“Daripada 5,006 pengundi itu, sebanyhak 1,239 pengundi terdapat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal. Dun Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said sendiri.
“Seramai 529 pengundi lagi dikesan di Dun Air Putih khususnya di Cheneh Baru dan beberapa kawasan lain di Kemaman,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena lawatannya bersama kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) ke Bazar Ramadan Alor Tembesu, Dungun, 10 Julai lalu.
Menurutnya, jumlah pengundi warga asing yang ramai itu merupakan usaha terancang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi mengekalkan kemenangan di Terengganu.
Abdul Wahid yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mendesak agar pihak SPR bertanggungjawab serta melakukan siasatan terperinci sebelum pilihan raya.
Bahkan, katanya terdapat 43 orang pengundi yang didaftarkan dalam daftar pemilih SPR tetapi tidak ada rekod di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Kita (PAS) mahu SPR siasat secara terperinci kemasukan terancang ini. Jumlah pengundi warga asing yang ramai didaftarkan satu-satu Dun dipercayai untuk memenangkan Umno-BN dalam pilihan raya.
“Kita (PAS) juga berjaya mengesan 43 nama pengundi yang tidak ada rekod di Jabatan Pendaftaran Negara tetapi ada dalam senarai daftar pemilih SPR,” ujarnya.
Menurutnya, meski pun angka 43 orang itu tidak ramai tetapi menunjukkan daftar pemilih yang ada hari ini tidak bersih.
Katanya, tindakan tersebut merupakan suatu pengkhianatan terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi di negara ini.
“Ini satu pengkhianatan, siapa nak percaya dengan sistem pilihan raya dan demokrasi di negara ini sekiranya perkara (kepincangan) ini berlaku?
“Tidak mungkin SPR tidak tahu dan kita harap SPR dapat perbetulkan segera sebelum pilihan raya ini. Jika tidak, kita akan mengambil tindakan mengikut kesesuaian di seluruh negara,” tegasnya.
Hadir sama pada sidang media tersebut dua timbalannya Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Dr Alias Razak.
0 comments:
Catat Ulasan