Kepimpinan PAS Terengganu tampil imej baru

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menampilkan saf kepimpinan serta imej baru bagi mewujudkan satu pasukan kerja yang mantap sessi 2011/2013.

Perubahan tersebut dibuat dalam mesyuarat pertama Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di bawah kepimpinan Pesuruhjaya baru, Mohd Abdul Wahid Endut.

“Kita (PAS) akan bekerja kuatlah ke arah untuk mencapai kemenangan. Perlantikan baru ini akan memantapkan parti, Insya’Allah.

“Dia (saf kepimpinan) macam main bola. Bila yang ‘tua’ letih, kita tukar ganti yang muda-muda pula. Jadi jurulatih, penasihat dan sebagainya. Jadi yang hendak berlari ke sana ke mari kena orang muda.

“Kita (PAS) sekarang tampil dengan imej baru. Jadi bila imej baru akan ada ‘benda-benda’ (strategi) baru, Insya’Allah,” jelas Abdul Wahid pada satu sidang media di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, dekat sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Wakaf Mempelam beranggapan pertembungannya dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said sebagai “buku dengan ruas” adalah tafsiran masing-masing.

Ini kerana, katanya perselisihan pandapat antara PAS-Umno itu bukan berkait masalah peribadi tetapi atas dasar dan prinsip perjuangan.

“Itu (pertembungan) tafsiran masing-masing seperti pertemuan antara ‘buku dengan ruas’. Tapi dalam dewan (Dun Terengganu) memang kita berhadapanlah. Tapi saya yakin, kali ini dia (Ahmad) tidak ajak ‘bergocohlah’ (bertumbuk).

“Kami dalam pimpinan (PAS) dengan orang Umno baik dan kita tidak ada masalah ‘personal’ (peribadi). Kita berbahas, kita berhujah atas dasar prinsip, atas dasar perjuangan,” jelasnya.

Justeri itu, beliau mahukan saf kepimpinan negeri ini yang lebih muda dan mesra dengan semua orang.

Menurutnya, sikap mesra itu dengan semua orang termasuk di kalangan wartawan, ahli korporat dan orang bukan Islam agar PAS dapat diterima masyarakat.

“Sebab itu, imej (strategi) baru yang kita (PAS) hendak tekankan ialah dengan saf yang lebih muda dan bertenaga.

“Kita (PAS) hendak yang lebih mesra dengan semua orang termasuk wartawan, ahli parti, orang korporat, orang bukan Islam dan lain-lain supaya kita (PAS) diterima oleh masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, pembentukan pasukan serba baru selain dari Pesuruhjayanya Mohd Abdul Wahid Endut, tiga timbalannya dilantik iaitu Ustaz Satiful Bahri Mamat sebagai Timbalan Pesuruhjaya (I), Muhyidin Abdul Rashid (TPJ-II) dan Dr Alias Razak (TPJ-III) PAS Terengganu.

Perlantikan Abdul Wahid sebagai PJ PAS Terengganu adalah menggantikan mantannya, Dato’ Harun Taib yang keuzuran.

Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, M. Shukrimun Shamsudin pula dilantik Bendahari PAS Terengganu yang sebelum ini disandang oleh Muhyidin Abdul Rashid.

Setiausaha PAS Terengganu kekal kepada Yahaya Ali yang dibantu oleh Penolong Setiausaha (I), Ustaz Kamarudin Yunus, Hanafiah Mat (Penolong Setiausaha II) dan Ustaz Zakaria Dagang (Penolong Setiausaha III).

Jawatan Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu dikekalkan kepada Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ustaz Arifin Deraman.

Ahli Jawatankuasa Sesi 2011/2013 yang dilantik iaitu Dato’ Abu Bakar Chik, Hussin Ismail, Abdul Haris Abdul Malik, Ustaz Mohd Harun Jusoh, Dr. Mohd Khazani Abdullah, Dr Azman Ibrahim dan Hajah Zarani Othman.

Manakala, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Dr. Badruzzaman Yusuf dilantik sebagai Ex-Officio Adun dan Perantau. Pemeriksa Kira-kira (I) dan (II) adalah Mohd Nordin Mahmood dan Mohd Kori Salleh.

Selain itu, yang secara automatik menduduki Jawatankuasa BPPNT adalah Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Husin Awang, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ketua Muslimat negeri, Safinah Jusoh.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top