30,000 jayakan PGU-2 di Besut

BESUT: Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Zon Utara Besut-Setiu “PAS Ganti Umno” (PGU-2) berjaya menggamit kehadiran para peserta dan pengunjung mencecah lebih 30,000 orang.

Program bermula seawal jam 9.00 pagi dengan kuliah Dhuha oleh penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus menarik minat anak-anak muda dengan kehadiran seramai 5,000 orang.

Pada malam sebelumnya, Ceramah Perbukaan PGU-2 turut dihadiri sekitar 10,000 orang dengan penampilan pemidato Pakatan Rakyat iaitu Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti KeADILan Rakyat (PKR) Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail.

Tinjauan pada majlis perasmian oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 3.00 petang, pada 19 Mac 2011 lalu melebihi 5,000 orang hadirinnya.

Sejurus selepas ucapan perasmian tersebut “gimik” seorang pemuda menunggang kuda sambil membawa bendera PAS dengan diiringi hampir 20 pemuda mengibarkan panji-panji berkenaan.

Bendera tersebut simbol perjuangan Islam yang diserahkan kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz dan disaksikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib serta pimpinan Pakatan Rakyat dari KeADILan (PKR) dan DAP.

Kedua-dua ‘tok guru’ tersebut akhirnya melepaskan belon ke udara dengan diiringi dua kali ‘letupan’ bunga kertas yang bertaburan mewarnai majlis pelancaran itu.

Pada sebelah petangnya, pidato khas disampaikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani, Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Normala Sudirman dan Salebriti, Bob Lokman yang baru menyertai PAS.

Manakala, Ceramah Perdana PGU-2 disampaikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Timbalan Pengerusi DAP Pusat, Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik.

Sempena program himpunan tersebut pihak penganjur turut mengadakan jamuan rakyat dengan mengorbankan 20 ekor lembu.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top