Jais vs Gereja: Perangkap Umno?

KUALA TERENGGANU: PAS mengingatkan ahli dan pemimpinnya disemua peringkat agar tidak terpengaruh dengan “perangkap” Umno dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan gereja.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali menyeru pemimpin dan ahli PAS agar tidak terperangkap atau terjebak dengan ‘perangkap’ Umno dalam isu tersebut.

Ini kerana, katanya Umno dan agen-agen berkenaan dipercayai memainkan peranan tertentu serta mempunyai matlamat politik.

“Saya menyeru dan minta supaya kalangan pimpinan PAS dan orang PAS sendiri supaya tidak terperangkap atau terjebak dengan ‘perangkap’ Umno.

“Saya menyeru kepada semua lapisan penyokong, pemimpin PAS supaya tidak terjebak dengan perangkap Umno dalam isu yang berkait dengan Jais dan Gereja ini.

“Saya dapat maklumat ‘dalaman’ Jais semalam (14 Ogos), berkait dengan operasi Jais pada 3 Ogos 2011 lalu bahawa ada eleman dan peranan Umno dalam operasi Jais terhadap majlis yang diadakan di kawasan Gereja Methodist, Damansara Utama, Petaling Jaya itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, dekat sini, 15 Ogos lalu.

Dato’ Mustafa mendakwa mempunyai maklumat ‘dalaman’ yang boleh dipercayai serta bersedia mendedahkannya pada pertemuan dengan pihak Jais nanti.

Menurutnya, matlamat politik Umno mahu menjadikan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sebagai ‘destabilize’ (menjadikan sesuatu tidak stabil).

Ini kerana, katanya kerajaan di Selangor mempunyai pelbagai komponen dan usaha cuba ditimbulkan konflik dalaman Pakatan Rakyat.

“Ini maklumat ‘dalaman’ yang tersangat boleh dipercayai. Sebab itu, saya hendak dedahkan perkara ini. Oleh kerana, timbul pelbagai tafsiran tentang operasi yang dilakukan itu.

“Matlamat politiknya (Umno) ialah untuk ‘destabilize’ kerajaan negeri Selangor. Sebab, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor ini mempunyai pelbagai komponen dan isu-isu sensitif ini mudah.

“Ada usaha hendak timbulkan konflik dalaman Pakatan Rakyat. Ini (isu) penting bagi Umno. Walau pun tidak secara langsung, dia (Umno) guna Perkasa dan sebagainya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dato’ Mustafa sedia mendedahkan maklumat tersebut kepada Pengarah Jais dalam pertemuan yang akan diadakan nanti.

“Kami akan dedah maklumat-maklumat ini kepada beliau (Pengarah Jais). Ini bergantung kepada Jais, jika esok dia hendak berjumpa kita dedah esok, hendak jumpa bila pun, insya Allah,” ujarnya.

Sepatutnya, kata beliau pemimpin PAS mengadakan perjumpaan dengan Jais tetapi ditangguhkan atas nasihat Tuanku Sultan Selangor sehingga siasatan selesai.

Sementara itu, katanya Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib kini menghadapi krisis keyakinan di kalangan orang Melayu sendiri.

Menurutnya, Umno sedaya upaya mahu mempertahankan undi orang Islam dan beranggapan orang Melayu bersama Umno dalam isu tersebut.

“Memang dia (Umno) hendak mempertahankan undi orang Melayu Islam kerana didapati bahawa Najib (Perdana Menteri) menghadapi krisis keyakinan di kalangan orang Melayu sendiri waktu ini, termasuk ‘dalaman’ Umno sendiri.

“Mereka (Umno) mahu supaya orang Melayu bersama dengan Umno dan PAS dilihat sebagai orang yang ‘terkena’ dengan isu yang sensitif ini,” jelasnya.

Hadir sama pada siding media tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali dan Penolong Setiausaha PAS negeri, Zakaria Dagang.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top