PAS sedia terima ‘tetamu’ Pemuda Umno?

Salam Perjuangan!

KUALA TERENGGANU: Pemuda Umno Terengganu yang merancang mahu mengadakan demontrasi di hadapan Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu akhirnya membatalkan rancangan tersebut.

Ini kerana, pihak PAS telah menerima maklumat awal tentang rancangan tersebut yang dijadualkan pada jam 3.00 petang dengan melibatkan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) tertentu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata beliau dimaklumkan Pemuda Umno merancang untuk datang berhimpun di depan Pejabat PAS tetapi tidak diketahui tujuannya.

Oleh itu, katanya PAS sedia menerima ‘tetamu’ yang ingin berkunjung dengan apa tujuan sekali pun sebagai tuan rumah.

“Saya dimaklumkan ada orang nok (hendak) mari (datang) jumpa. Jadi bila orang nok mari ke rumah kita, saya macam wakil rakyat bila orang nok mari ke rumah, kita tunggulah.

“Jika niat molek (baik) kita sambut dengan molek. Tapi jika dia mari sekadar nok buat caca-merba dengan niat tidak berapa molek. Kita akan hadap mereka dengan apa cara sekali pun,” tegasnya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 300 pemuda PAS yang sedang menunggu dan berhimpun di hadapan Pejabat PAS Terengganu, di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, PAS tidak berhasrat mencari musuh dan sedia menerima kunjungan ‘tetamu’ yang ingin datang secara baik.

Malah, kata Abdul Wahid jika ada pihak yang ingin menyerahkan memorandum sekali pun PAS tidak menjadi halangan menerimanya.

“Jika dia (Umno) hendak datang cara baik kita (PAS) terima. Jika dia hendak hantar memorandum, kita terima. Dia hendak ajak berdebatkan tidak menjadi masalah. Kita hendak berbincang cara baik.

“Bukan niat kita (PAS) hendak cari musuh dan bukan niat hendak cari ‘baloh’ (gaduh). Kita hendak buat sesuatu untuk kebaikan rakyat semua sekali,” jelasnya.

Katanya, beliau tidak mahu berlaku seperti mana di pejabat Parti KeADILan Rakyat (PKR) Kuala Lumpur dan mereka datang membuat demontrasi serta memaki hamun ketika ketiadaan orang di pejabat.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengharapkan agar pihak berkuasa membenarkan perhimpunan secara aman anjuran Bersih 2.0 di Kuala Lumpur.

Menurutnya, usah disekat dengan sewenang-wenang hak dan kebebasan rakyat bersuara dalam negara demokrasi.

“Kita (rakyat) ada hak untuk berhimpun secara aman di mana-mana sahaja. Itu sebab sepatutnya, kita tidak diganggu. Sekarang ini orang tidak puas hati dalam banyak perkara soal ekonomi, soal taraf hidup, soal hak bersuara.

“Jadi kita hendak dalam suasana ini diberi ruang kepada semua pihak. Sama ada NGO atau parti politik untuk menyatakan hasrat dan pandangan mereka.

“Kita harap sungguh-sungguh jangan ada terutama pihak yang berkuasa menggunakan jentera kerajaan dengan sewenang-wenang untuk menyekat hak dan kebebasan rakyat,” ujarnya.

Tinjauan mendapati terdapat sekitar 20 orang pemuda berbaju merah ‘Patriot’ berkumpul berhampiran Stadium Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Sebaliknya, rancangan Pemuda Umno untuk berdemontrasi di hadapan pejabat PAS tersebut telah bertukar menjadi perhimpunan Pemuda PAS tanpa dirancang.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top