Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata peringatan dari Rasulullah SAW itu menjadi suatu tanggungjawab yang besar kepada umat Islam seluruhnya.
Malah, katanya menjadi kewajipan yang penting bagi menghidupkan aktiviti serta mendidik tunas-tunas harapan tersebut.
“Sesungguhnya, kegiatan membina Jabatan Pasti dan aktiviti-aktiviti yang dilangsungkan di dalam amalannya, merupakan satu tugas yang sangat besar, walau pun yang terlibatnya adalah anak-anak kecil.
“Ini kerana, Islam yang dibawa risalahnya oleh Nabi SAW tidak boleh dilaksanakan dalam satu generasi. Tetapi, ianya berpanjangan laksana mata rantai yang sambung-menyambung sehingga beberapa generasi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Sukan Pasti Malaysia 2011, di Kolej Latihan TM, Rusila, Marang, 25 Jun lalu.
Ustaz Abdul Hadi mengingatkan agar umat Islam kembali kepada acuan Islam yang ditunjukkan oleh Allah SWT.
Menurutnya, acuan tersebut bermula dengan pembangunan insan bagi membina siasah diri setiap manusia.
“Kita (umat Islam) wajib kembali kepada acuan yang ditunjukkan oleh Allah SWT. Segala-galanya hendaklah bermula dengan pembangunan insan, pembangunan diri manusia.
“Pembangunan Insan bukan sekadar ilmukan dalam bidang sains dan teknologi. Apa yang terpenting ialah membina roh dengan iman, dengan akhlak yang mulia dan yang boleh memandu kemajuan manusia ke jalan yang benar,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa pembangunan manusia tanpa iman dan akhlak akan melahirkan manusia yang ganas.
Bahkan, kata Dato’ Seri Abdul Hadi manusia akan menjadi ganas lebih dari binatang buas yang membunuh.
“Pembangunan manusia dengan kemajuan sains dan teknologi tanpa iman dan akhlak akan melahirkan manusia-manusia yang ganas lebih dari binatang buas yang hanya mampu membunuh beberapa mangsa sahaja.
“Manusia yang berilmu dengan tidak ada manusiawinya, lebih ganas dari binatang-binatang yang buas.
“Mereka (manusia) mencipta alat-alat yang boleh memusnahkan berjuta manusia dalam sekelip mata dan menipu manusia dengan jumlah yang besar,” tegasnya.
Menurutnya, kegiatan pendidikan kepada generasi-generasi tunas ini adalah bagi menunaikan kelangsungan mesej atau risalah Islam yang dipertanggungjawabkan kepada manusia.
Tugas ini, katanya sangat besar dan penting di zaman kegagalan ajaran-ajaran yang lain daripada Islam.
Menurut Ustaz Abdul Hadi, ketika ini gereja-gereja dan rumah ibadat mula kosong kerana penganut-penganut agamanya melarikan diri dari agama masing-masing.
Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Pengarah Jabatan Pasti Malaysia, Hashan Ahmad dan Pengarah Pasti Terengganu, Sulaiman Sulong.
0 comments:
Catat Ulasan