Pemikiran Umno “primitif, kolot”

KEMAMAN: PAS menyifatkan pemikiran pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) “primitif” dan “kolot” mengenai dasar PAS.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata dasar PAS tetap dan konsisten mengikut Fasa 3 Perlembagaan PAS menyatakan dasar PAS ialah Islam.

Menurutnya, yang sentiasa berubah setiap tahun adalah tema Muktamar Tahunan PAS yang menjadi ucapan dasar presiden parti.

“Kita (PAS) tidak pernah mengubah dasarnya sepertimana dakwaan pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang berfikiran ‘primitif’ dan ‘kolot’.

“Konsep ‘Negara Berkebajikan’ yang menjadi tema Muktamar Tahunan PAS Pusat adalah ucapan dasar Presiden PAS dan tema ini akan berubah setiap tahun, tahun lepas temanya ialah ‘Islam Adil Untuk Semua’ jadi di mana realistiknya dakwaan Umno-BN yang PAS telah mengubah dasarnya”,

“Dasar PAS adalah tetap dan konsisten iaitu Fasa 3 Perlembagaan PAS menyatakan 'Dasar PAS ialah Islam dan tidak pernah berubah walau pun pemimpin PAS silih bertukar ganti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kutipan Dana Ramadhan & Fisabillillah, PAS Kawasan Kemaman di sebuah hotel di Cherating, baru-baru ini.

Katanya, Umno-BN masih keliru dengan konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS kepada rakyat.

Menurutnya, Negara Berkebajikan tersebut bukan seperti mana 'welfare state' yang diamalkan di negara-negara barat hingga rakyat tidak bekerja dan kerajaan terpaksa membayar elaun sara hidup.

“Konsep Negara Berkebajikan yang diajarkan oleh Islam ialah kerajaan menyediakan 'basic needs' dan barisan kepimpinan pemerintahan dibentuk dengan dua ciri utama iaitu pemimpin mesti bersifat amanah dan adil,” ujarnya.

Katanya, pemimpin yang amanah dan adil amat penting kerana rakyat akan mengikut agama serta perangai pemimpin sesebuah negara.

Menurutnya, apabila pemimpin itu amanah segala hasil negara akan diurus dengan baik dan telus.

Malah, katanya jika pemimpin negara seorang yang khianat dan zalim rakyat akan menderita serta berada dalam ketakutan.

“Seorang pemimpin yang amanah, segala hasil negara akan diurus dengan baik dan penuh ketelusan manakala, jika pemimpin seorang yang khianat dan zalim, rakyat akan menderita dan sentiasa dalam ketakutan,” tegasnya.

Ustaz Idris menyifatkan negara boleh bangkrap meski pun mempunyai hasil bumi yang banyak seperti minyak, gas, bijih timah, emas, balak sebagainya.

Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia, Dato' Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, dua orang mantan Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Awang Dagang dan Haji Yusof Tahir dan Penolong Setiausaha PAS Kemaman, Hanafiah Mat.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top