Gelombang Hijau bakal lenyapkan Umno-BN

KUALA TERENGGANU: Dewan Muslimat PAS Kuala Terengganu melancarkan “Gelombang Hijau” sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof berkata Gelombang Hijau merupakan strategi Muslimat PAS berdepan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana, katanya Umno-BN telah menggunakan segala kekuatan termasuk jentera kerajaan, media dan kewangan berhadapan dengan PAS.

Menurutnya, dengan suntikan gelombang tersebut PAS mampu bangkit menentang Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.

“Gelombang Hijau adalah satu strategi yang kita (PAS) buat untuk berdepan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN). Kita memerlukan strategi yang khusus.

“Kita (PAS) melihat mereka (BN) menggunakan segala kekuatan yang ada termasuk jentera kerajaan. Mereka menggunakan media massa, mereka menggunakan kekuasaan yang ada pada mereka untuk menjatuhkan PAS,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Gelombang Hijau & 1Hati serta Pelancaran Matawang Syariah Dinar & Dirham di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, di Kuala Ibai, dekat sini, baru-baru ini.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menyarankan agar muslimat PAS melipat-gandakan usaha dan kerja memenangkan PAS.

Katanya, strategi kerja yang tersusun, kemas dan bersistem mampu mencapai kemenangan yang diharapkan.

Menurutnya, dalam pilihan raya PAS memerlukan sokongan orang ramai tanpa mengira bangsa dan lapisan masyarakat.

“Jika kita (PAS) hendak menang kena buat kerja luar biasa dan bukan macam biasa. Dengan keadaan (strategi) yang tersusun, kemas dan luar biasa.

“PRU, kita memerlukan seramai mungkin orang yang boleh memberi sokongan kepada kita. Di depan kita ada pelbagai lapisan masyarakat. Ada di kalangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), ada non-muslim, kita ada DAP, kita ada KeADILan (PKR).

“Kita perlu mengabung-jalinkan kekuatan ini untuk kita mendapat semaksima mungkin sokongan untuk kita berdepan PRU ke-13,” tegasnya.

Beliau selaku Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Muslimat PAS Pusat yakin Terengganu mampu bangkit menebus kekalahan parti pada pilihan raya 2004, lalu.

“Insya’Allah, PRU ke-13 ini saya yakin muslimat Terengganu akan bangkit semula untuk menebus kembali kekalahan kita (PAS) pada pilihan raya yang lepas.

“Kita tawan semula Terengganu dan kita bina balik sistem Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala,” ujarnya dihadapan 300 petugas parti.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang, Wan Ubaidah Omar, Ketua Muslimat PAS Kuala Terengganu, Zaitun Abas dan Ketua Lajnah Ekonomi Muslimat PAS Terengganu, Khairiah Mokti.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top