Anwar, tiga wakil rakyat ‘wira’ di Parlimen

KEMAMAN: Pakatan Rakyat menyifatkan empat wakil rakyat yang digantung enam bulan dari menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen sebagai ‘wira’.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata Anwar Ibrahim, Karpal Singh, Azmin Ali dan R.Sivarasa disambut sebagai ‘wira’ rakyat di Parlimen.

Katanya, empat wakil rakyat berkenaan digantung selama enam bulan hanya kerana kesalahan mendedahan ‘penyelewengan’ Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, isu pendedahan tentang perlantikan sebuah Syarikat Yahudi oleh kerajaan Malaysia secara berfakta menjadi punca penggantungan tersebut.

“Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh (DAP-Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R.Sivarasa (PKR-Subang) telah kembali semula ke Dewan Rakyat setelah digantung selama enam bulan lalu.

“Mereka disambut sebagai ‘wira’ apabila masuk semula ke Parlimen. Apa salah Anwar, apa salah Pakatan Rakyat hanya kerana mendedahkan penyelewengan Umno dan kerajaan Barisan Nasional.

“Isunya, apabila Dato’ Seri Anwar mendedahkan tentang perlantikan kerajaan Malaysia yang melantik sebuah Syarikat Yahudi APCO Worldwide sebagai penasihat kepada kerajaan,” jelasnya ketika berucap pada majlis Ceramah Isu Semasa di Kampung Dusun Nyior, Chukai, Kemaman.

Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat mendedahkan segala penyelewengan Umno-BN secara berfakta dengan realiti yang berlaku dalam negara.

Menurutnya, pendedahan yang dilakukan PAS dan Pakatan Rakyat selama ini ada kebenaran dan mula dirasai oleh rakyat hari ini.

“Mereka (Umno-BN) cukup bimbang bila pendedahan demi pendedahan. Kita (PAS) bercakap, kita (Pakatan Rakyat) dedahkan ‘benda’ (perkara) fakta yang memang realiti berlaku dan rakyat sekarang sudah mulai rasa.

“Kita bercakap soal kenaikan harga barang sekarang ini semakin parah. Apabila berlaku kenaikan harga minyak, gas, tarif elektrik dan sebagainya.

“Kesan kenaikan harga barang-barang juga berlaku akibat penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam negara,” tegasnya.

Beliau yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu melahirkan rasa kebimbangan berlaku peningkatan mendadak rakyat Malaysia yang bangkrap dan muflis.

Katanya, kerajaan yang menjadikan rakyat bangkrap dan muflis sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti.

“Sebab apa muda-muda bankrap, keluar Universiti sahaja sudah berhutang dengan kerajaan, kerja tidak ada lagi sudah berhutang RM20,000 hingga RM30,000 seorang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Sampai ke peringkat jumlah rakyat Malaysia yang sekarang ini tiap-tiap hari 41 orang bangkrap. Jumlah muflis di kalangan anak muda sekarang ini yang berumur 25 hingga 34 tahun yang telah diistiharkan bangkrap seramai 13,128 orang.

“Mereka yang berumur 25 hingga 44 tahun, meningkat lagi telah menjadi bangkrap seramai 38,357 orang dalam tempoh 65 bulan sehingga bulan Mei 2010,” ujarnya.

Menurutnya, pemberian biasiswa oleh kerajaan serta pihak-pihak tertentu tidak lagi menyeluruh hingga menyusahkan rakyat.

Oleh itu, katanya rakyat perlu membuat perubahan dengan memberi mandat dalam pilihan raya kepada Pakatan Rakyat bagi membetulkan kepincangan tersebut.

Tambahnya lagi, usia pemerintahan Umno-BN yang terlalu lama penuh dengan penyelewengan dan rasuah menuntut kepada perubahan.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top