Negara Berkebajikan kelangsungan perjuangan PAS

MARANG: PAS menafikan andaian pihak yang keliru dengan konsep ‘Negara Berkebajikan’ bagi menggantikan dasar Negara Islam yang diperjuangkan PAS selama ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan menegaskan pada prinsipnya PAS tidak menukar dasar perjuangan parti.

Ini kerana, katanya Negara Berkebajikan yang diketengahkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-57 lalu adalah kelangsungan dari prinsip perjuangan.

“Kita (PAS) dari prinsipnya tidak ada ‘pertukaran’ (ubah), kerana Negara Berkebajikan itu adalah satu kelangsungan dari prinsip perjuangan (dasar) yang kita dokong selama ini.

“Kita beralih Fasa sahaja. Dulu Fasa I, kita bincang satu aspek tentang ‘frame’ negara yang kita mahukan. Kita sebut Negara Islam, prinsip dan konsep.

“Sekarang ini, kita masuk Fasa II iaitu lebih kepada pelaksanaan. Setelah kita mempunyai potensi untuk menang lebih besar dan kita berkeyakinan untuk berjaya dalam pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh pihak media kononnya PAS telah mengubah dasar Negara Islam kepada Negara Berkebajikan, selepas majlis penutup Pesta Sukan Pasti Malaysia 2011, di Kolej Latihan TM, Rusila, Marang.

Menurutnya, setelah dasar-dasar parti difahami oleh rakyat PAS mula memasuki ‘step’ (langkah) kedua bagi pelaksanaan.

Malah, katanya konsep Negara Berkebajikan itu sangat luas pengertian bukan sekadar memberi sedekah atau sumbangan semata-mata.

“Setelah orang (rakyat) faham (dasar), lalu kita (PAS) kena pergi kepada ‘step’ (langkah) berikut iaitu step melaksanakan.

“Jadi kebajikan itu bukan bermakna kita beri sedekah atau sumbangan, tetapi termasuk juga ‘good government’ seperti negara yang mampu mentadbir dengan baik dan setinggi-tinggi kebajikan itu adalah memulihkan aqidah dan pemikiran masyarakat,” tegasnya.

Menurutnya, pendirian parti jelas bahawa Negara Berkebajikan tersebut merupakan kelangsungan dari konsep perjuangan PAS yang lalu.

Namun begitu, katanya strategi perjuangan boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian keadaan dan suasana semasa.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top