Naib Presiden PAS, Dato’ Paduka Husam Musa berkata tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) mahukan setiap pengundi dikenakan celup dakwat dijari masing-masing.
Katanya, Umno cukup takut dan bimbang jika tuntutan tersebut dipenuhi bakal mengakhiri zaman pemerintahannya.
“Sebab itu, Bersih 2.0 hendak tiap-tiap pengundi kena ada cap jari. Bila ada cap jari, seseorang yang telah mengundi di Jertih, Terengganu tidak boleh lagi mengundi di Pasir Putih, Kelantan.
“Jika tiap-tiap pengundi hanya boleh mengundi sekali seorang Umno akan ‘ranap’ seluruh negara. Ini yang Umno takut dan ini talian hayat Umno.
“Sesetengah tempat penipuan itu berlaku dan akan terus berlaku secara besar-besaran,” jelasnya ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Pasca Bersih 2.0 dan Pelancaran Dana Pembangunan Dewan Besar oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Dataran Rusila, Marang, baru-baru ini.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan menyifatkan kes penipuan paling besar berlaku dalam sistem pilihan raya di negara ini di Terengganu tahun 2004 lalu.
Malah, katanya statistik-statistik menunjukkan angka pertambahan pengundi pilihan raya di negeri tersebut tidak masuk akal.
“Kes di Terengganu 2004, bukti paling besar pilihan raya negara kita penuh dengan penipuan. Statistik-statistik menunjukkan angka pilihan raya di Terengganu 2004 tidak masuk akal.
“Pengundi bertambah 62 peratus paling tinggi dalam dunia. Pengundi baru bertambah dan pengundi Umno bertambah 62 peratus.
“Sedangkan, undi PAS jika dalam kes di Besut hanya lapan peratus. Seluruh negeri Terengganu hanya lima peratus. Undi kita turun lima peratus tapi undi Umno naik 62 peratus,” ujarnya.
Katanya, dalam kes Terengganu ada tujuh undi yang tidak boleh disahkan kerana jumlah yang keluar mengundi tidak sama dengan daftar pemilih.
“Pertambahan pengundi muda yang baru didaftarkan pun tidak sama macam itu. Dalam kes Terengganu ada tujuh undi yang tidak boleh disahkan.
“Undi dapat tetapi dari segi daftar pemilih tidak ada banyak itu pengundi yang keluar mengundi. Ada tujuh undi yang menunjukkan ada dua kali mengundi. Satu orang mengundi dua atau tiga kali mengundi,” dakwanya.
Menurutnya, tuntutan Bersih 2.0 yang disokong oleh parti-parti politik Pakatan Rakyat mahukan pilihan raya bersih dan adil.
Katanya, Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, PKR dan DAP boleh memerintah Negara dengan sistem pilihan raya yang bebas.
Hadir sama pada majlis tersebut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dua Naib Presiden PAS lain iaitu Dato’ Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayob serta beberapa orang pimpinan Hamas, Palestin.
0 comments:
Catat Ulasan