Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said merayu sokongan masyarakat Tionghua menyokong Barisan Nasional atas semangat setiakawan.
“Kita (Umno) minta masyarakat Tionghua menyokong parti kita (BN) sebagai semangat setiakawan. Kalau nak kira pengundi Melayu di Terengganu ini lebih besar tetapi mungkin kerana masyarakat Tionghua tidak berpecah dan ‘solid’ kepada Yang Berhormat Toh (Adun Bandar).
“Kita harap begitu juga di Parlimen (Kuala Terengganu) ini,” ujarnya selepas merasmikan pembukaan bangunan Dewan Perhimpunan Tiong Hwa Negeri Terengganu, di Jalan Bukit Kecil, baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu mahukan masyarakat Tionghua di negeri ini tidak terikut-ikut isu tertentu di negeri lain terutama di Pulau Pinang dan Perak.
Katanya, masyarakat Cina di Terengganu bukan seperti di negeri Pantai Barat dan mengharapkan hubungan baik itu dikekalkan.
“Saya harap masyarakat Cina berilah sokongan kepada Barisan Nasional. Kita bukan seperti di Pantai Barat, masyarakat Tionghua sangat rapat dan kita harap persefahaman ini kita teruskan.
“Saya harap kita tidak berpecah, memang saya dapati DAP sudah mula kacau daun. PKR mengganggu kita dan PAS pun sudah ada dalam kalangan masyarakat Tionghua dan India melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS,” ujarnya.
Difahamkan, kos keseluruhan bangunan tersebut menelan belanja RM3.3 juta dan kerajaan negeri turut bersetuju menggazetkan kemudahan parkir bagi penghuni berdekatan.
Hadir sama pada majlis tersebut mantan MB Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar, Toh Chin Yaw yang juga Adun Bandar, Kuala Terengganu.
0 comments:
Catat Ulasan