Terengganu juara Sukan Pasti Malaysia 2011


MARANG: Kontinjen Pasti Terengganu berjaya merangkul kejuaraan keseluruhan Pesta Sukan Pasti Malaysia 2011 yang diadakan di negeri pada 25 Jun lalu.

Seramai 360 pelajar dan guru pengiring terlibat dalam penganjuran sukan tersebut yang mensyaratkan 20 orang peserta setiap negeri di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Majlis perasmian penutupnya telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang diadakan di Kolej Latihan TM, Rusila, Marang.

Dimaklumkan, sebanyak 12 pasukan yang mewakili negeri masing-masing bertanding dalam kejohanan bola jaring bagi banat (perempuan) dan bola sepak untuk walad (lelaki).

Antaranya, kontinjen Pasti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Kontinjen Pasti Terengganu bergelar Johan pertandingan bola jaring apabila berjaya mengalahkan pasukan Melaka sebagai Naib Johan. Tempat ketiga, Pasti negeri Johor dan tempat keempat, Pasti Kedah.

Pertandingan final bola sepak pula, Pasti negeri Perak dinobatkan Johan setelah menewaskan Pasti negeri Selangor 1-0. Tempat ketiga dan keempat adalah milik Pasti negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Manakala, anugerah pemain terbaik bola jaring dinobatkan kepada Sarah Umairah binti Faisal,6, dari pasukan Terengganu dan Mohd Firdaus Nur Halim bin Sharul untuk penjaga gol bola sepak dari negeri Perak.

Ketua Pengarah Jabatan Pasti Malaysia, Hashan Ahmad merakamkan ucapan syabas kepada Terengganu yang berjaya merangkul kejuaraan keseluruhan.

Katanya, pertandingan ini merupakan kemuncak bagi semua pertandingan bola sepak dan bola jaring pelbagai peringkat Pasti yang telah diadakan di seluruh negeri.

“Melalui kegiatan sukan seperti ini, Pasti ingin memberi mesej dakwah kepada masyarakat bahawa Islam turut menitikberatkan aspek kesukanan.

“Bersukan merupakan ibadah dalam Islam, ada adap-adap dan akhlak bersukan yang perlu dipatuhi,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pasti Terengganu, Sulaiman Sulong berkata Pesta Sukan Pasti Malaysia telah menghimpunkan seluruh kontinjen dari segenap pelusuk negara.

Menurutnya, kepercayaan diberi kepada Terengganu sebagai tuan rumah bagi kejohanan ini merupakan satu amanah.

“Pesta Sukan Pasti Malaysia kali ini menghimpunkan Pasti-pasti seluruh negara dalam bentuk kontinjen masing-masing.

“Kepercayaan diberi kepada Terengganu sebagai tuan rumah, ini merupakan satu amanah yang amat berat untuk dilaksanakan tanpa sokongan semua pihak,” ujarnya.

Katanya, tahniah kepada kontinjen-kontinjen yang menang termasuk pasukan dari Terengganu dan bertemu kembali ditahun hadapan.

Tinjauan mendapati penganjur dan para penonton berpuas hati melihat gelagak kanak-kanak Pasti yang berbakat besar dalam bidang kesukanan negara di masa akan datang.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top