Salah Bersih!!

Ayah Chik ucap “Terima kasih” peserta Bersih 2.0

KUALA TERENGGANU: PAS merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada seluruh rakyat dari pelbagai lapisan kaum yang menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) di Kuala Lumpur.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata perhimpunan Bersih 2.0 disertai oleh pelbagai lapisan kaum termasuk Melayu, Cina dan India.

Malah, katanya para peserta Bersih 2.0 itu berarak bersama-sama secara sopan serta mengikut arahan pimpinan masing-masing.

“Saya ucap terima kasih kepada Pemuda-pemuda kita (PAS) yang ikut sama muslimin-muslimat, saudara-saudari pelbagai kaum. Melayu Islam, Cina, India dan lain-lain berarak sama.

“Kita (PAS) arah jangan lakukan kekasaran. Kita tidak mahu berlawan dengan polis, tidak mahu berlawan dengan pasukan keselamatan. Kita tahu yang jadi ‘kepala halian’ ialah Umno-Barisan Nasional.

“Jika kita bergaduh dengan polis, akan jadi seperti ‘alu dengan lesung’ yang berlaga dan yang kenyangnya ayam. Mereka (Umno) yang ‘kenyang’ (untung), tidak ada gunanya.

“Alhamdulillah, pemuda-pemuda kita (Bersih 2.0) dari semua kaum ikut arahan. Walau pun mereka (kerajaan) sekat dari segenap penjuru dan ada orang yang ‘diharamkan’ masuk ke Kuala Lumpur,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 7,000 ahli dan penyokong PAS yang menyambut kepulangannya di tempat parkir kereta Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, 11 Julai lalu.

Ustaz Abdul Hadi menyifatkan ‘larangan’ terhadap nama-nama yang tidak dibenarkan masuk ke Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, termasuk mereka yang tinggal di ibu negara tersebut sebagai tidak berasas.

Menurutnya, rakyat di negeri sendiri tidak dibenarkan masuk ke dalam negeri hanya kerana takutkan perhimpunan Bersih 2.0 yang tidak manasabah.

Namun begitu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi rakyat tidak mempedulikan larangan tersebut dan mengadakan perhimpunan yang sangat besar jumlahnya.

“Macam mana kita rakyat di negeri ini ‘diharamkan’ masuk ke dalam negeri kita sendiri. Orang Kuala Lumpur pun diharamkan juga masuk ke Kuala Lumpur.

“Dia duduk di Kuala Lumpur ‘doh’, haram macam mana. Alhamdulillah, kita (rakyat) masuk dan kita adakan perhimpunan dengan jumlah yang sangat besar,” ujarnya.

Beliau disambut dan diraikan sebagai “Wira Rakyat” apabila ditangkap oleh Polis bersama beberapa pimpinan Bersih dan Pakatan Rakyat termasuk Dato’ S Ambiga dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kepulangannya diiringi oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan disambut oleh ribuan ahli dan penyokong PAS yang memenuhi perkarangan LTSM.

Antara mereka menyambutnya, Timbalan Pesuruhjaya (I) dan (II) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Muhyidin Abdul Rashid, Setiausaha PAS negeri, Yahaya Ali, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran serta beberapa orang pimpinan PAS negeri dan Pemuda PAS Terengganu.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top