Isu penyiaran kartun hina Islam Pemuda PAS buat laporan Polis

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) telah membuat satu laporan polis terhadap akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 Jun 2011.

Laporan tersebut dibuat berkaitan isu satu lakaran kartun bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” oleh pelukisnya yang menggunakan nama pena, MIKI.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Ridhuan Hashim serta ditemani jawatankuasanya membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 2.30 petang, baru-baru ini.

Katanya, kartun tersebut didapati mempersendakan Islam apabila membuat perbandingan seolah-olah Islam tidak mempunyai kuasa pendakwaan melainkan dikemukakan empat orang saksi.

Ianya, kata beliau bukan sahaja menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam malah salah faham terhadap hukum Islam.

“Saya mendesak supaya pihak berkenaan disiasat dan diambil tindakan di bawah Akta Penerbitan dan Bahan Cetak.

“Ini (kes) sebagai peringatan kepada pihak terbabit dan pihak lain agar berhati-hati dengan setiap penerbitan yang ingin dikeluarkan,” tegasnya kepada media.

Pengerusi Lajnah Guaman Pemuda PAS Terengganu, Fathi Aziz Abu Bakar berkata pihak editor dan pelukisnya boleh diambil tindakan di bawh Akta Hasutan.

Akta itu, katanya digunakan berkait dengan bahasa, ugama dan kaum sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, lukisan kartun tersebut dengan jelas telah membawa maksud yang tersurat dan tersirat.

“Akhbar (Utusan Malaysia) itu boleh diambil tindakan di bawah Akta Penerbitan dan Bahan Cetak.

“Editor dan pelukis kartun itu pula boleh diambil tindakan di bawah Akta Hasutan kerana ia berkait dengan bahasa, ugama dan kaum.

“Kartun ini memadailah sebab ia membawa maksud yang tersurat dan tersirat bahawa agama Islam telah dihina dan zalim,” jelasnya.

Katanya, terdapat banyak kesan dengan penyiaran kartun tersebut terutama kepada orang Melayu yang beragama Islam.

Malah, kata beliau rakyat memohon agar Yang DiPertuan Agong Malaysia, Sultan-sultan,Majlis Raja-raja, dan para Mufti mengambil tindakan segera terhadap akhbar terbabit.

“Kesannya, banyak terutama kepada orang Melayu yang rata-rata beragama Islam. Kita minta Yang DiPertuan Agong Malaysia dan Sultan-sultan sebagai Ketua Agama negeri dan Mufti mengambil berat berkaitan ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohammad Khalil Abdul Hagi, Setiausaha Pemuda PAS Terengganu, Muhammad Zaidan Abdullah serta beberapa orang pimpinan pemuda negeri.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top