‘Syurga’ maksiat di Terengganu







Kejatuhan kerajaan PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2004 lalu sebenarnya mengundang 1001 masalah kepada rakyat dan negeri ini.

Persoalan halal dan haram tidak lagi dititikberatkan oleh pemerintah Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu selepas itu demi mengejar kemajuan dan keuntungan politiknya.

Sebaliknya, kejahilan agama serta kemiskinan rakyat lebih memberi keuntungan politik kepada kerajaan BN untuk terus kekal berkuasa di negeri ini.

Awang pergi ke Pulau Perhentian, Besut bersama member-member Awang yang berstatus pendakwah dan Ustaz berjaya membongkar aktiviti ‘syurga maksiat’ para pelancong di pulau-pulau berkenaan.

Pulau Perhentian yang menjadi tarikan para pelancong barat itu terletak kira-kira 21 kilometer dari pinggir pantai Besut, Terengganu dan terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil.

Lepasan Pelajar Institut Berakan (Sisbakti), Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak serius membendung gejala sosial yang berlaku hari ini.

Katanya, sikap PAS terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menangani masalah gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat.

“Masalah (gejala sosial) ini serius tetapi kerajaan (Barisan Nasional) tidak bersungguh untuk membendung gejala sosial yang semakin kronik berlaku dalam masyarakat kita.

“Sikap PAS dan mungkin sama dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri menangani masalah (gejala sosial) ini,” tegasnya.

Menurutnya, produk pelancongan bukan sekadar tertumpu kepada keindahan alam dan tempat tetapi budaya serta amalan masyarakat setempat wajar ditonjolkan.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri membuat Pelan Strategi Pelancongan bagi jangka masa lima hingga 10 tahun yang sesuai dengan konsep Islam.

“Kita cadangkan supaya kerajaan adalah ‘Pelan Strategi Pelancongan 5 hingga 10 tahun’ yang sesuai dengan konsep Islam dan budaya orang Melayu.

“Pendekatan KPI boleh digunapakai untuk mengukur tahap kemajuan dan keberkesanan sesuatu pelan yang dilaksanakan dalam pelancongan,” ujarnya.

Justeru itu, Ustaz Wan Azhar mahukan kerajaan negeri memantau sebarang aktiviti pelancongan yang dibawa masuk ke negeri ini.

Bekas Pengurus Besar Petronas Wilayah Serawak, Hassan Salleh mendesak kerajaan negeri dan pejabat agama memainkan peranan penting menangani gejala maksiat terutama di Pulau Perhentian.

Katanya, laporan serta aduan yang diterima dari penduduk turut melahirkan rasa kurang selesa serta bimbang dengan kebebasan keterlaluan para pelancong asing di pulau tersebut.

“Saya ada terima ‘komplen’ (aduan) dari penduduk di Pualau Perhentian. Mereka (penduduk) rasa tidak selesa, risau dan bimbang dengan aktiviti para pelancong yang bebas berbikini.

“Aktiviti maksiat kuat sangat dan mereka (pelancong) pula bebas berbikini dan berjemur separuh bogel di pulau-pulau kita,” ujarnya.

Menurutnya, kebebasan tanpa berpakaian seperti di barat itu boleh mengundang gejala tidak sihat di kalangan penduduk terutama perkembangan minda anak-anak remaja di pulau berkenaan.

Beliau menjelaskan ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu tahun 1999 hingga 2004 aktiviti seumpama itu tidak berlaku secara bebas.

Katanya, kerajaan PAS melalui jabatan berkenaan sering kali melakukan rondaan serta pencegahan maksiat termasuk di Pulau Perhentian.

“Semasa kerajaan PAS dahulu selalu dibuat rondaan dan pencegahan maksiat di tempat-tempat pelancongan dan di pulau (Perhentian) ini.

“Sekarang ini, saya dimaklumkan pihak jabatan agama langsung tidak ada operasi pencegahan dan mereka (pelancong) rasa bebas kerana tidak ada gangguan pihak berkuasa (kerajaan),” jelasnya.

Zulkifli Kadir, 39, berkata kesan buruk kebebasan para pelancong asing di Pulau Perhentian menyebabkan berlaku masalah sosial semakin tidak terkawal.

Katanya, para pelancong barat tersebut tidak mempedulikan sesiapa untuk berbikini serta berpakaian separuh bogel dan berbogel ketika berjemur di tepi pantai.

“Kita lihat hari ini masalah sosial dalam masyarakat terutama di pulau (Perhentian) sangat teruk kerana mereka (penduduk) terdedah dengan minuman keras (arak) dan maksiat (berbogel).

“Mereka (pelancong) tidak kira depan siapa untuk berbikini dan berjemur di tepi pantai dan dilihat oleh anak-anak muda dan remaja kita (Melayu),” ujarnya.

Menurutnya, jika berlaku sebarang aktiviti pesta serta penganjuran hiburan di Pulau Perhentian keadaan lebih teruk dapat dilihat oleh penduduk.

Awang melihat pulau berkenaan hampir sama menyerupai Pulau Hawaii yang terkenal di Amerika Syarikat atau di Hatyai di Thailand yang menjadi ‘syurga maksiat’ kepada para pelancong asing dan tempatan.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top