Proses penamaan calon selesai sekitar jam 11.25 pagi, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan empat calon layak bertanding.
Dato’ Zaid Ibrahim (PKR), P.Kamalanathan (BN) dan dua orang calon Bebas, VS Chandran dan Johan Mohd Diah.
Sebelum itu, jam 11.00 pagi Nor Hisham Ahmad Dahalan, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Kecil P.094 Hulu Selangor mengumumkan tempoh bantahan ditutup.
10.00 pagi, SPR mengumumkan tempoh penyerahan borang penamaan calon telah tamat dan kini dibuka untuk tempoh bantahan sehingga jam 11 pagi.
Kali ini terdapat Dua calon Bebas yang mencuba nasib iaitu VS Chandran dan Johan Mohd Diah, masing-masing peniaga turut menyerahkan borang pencalonan selain Datuk Zaid Ibrahim (PKR) dan P Kamalanathan (BN).
Seorang lagi bakal calon bebas, Anuraadha a/p Jeyasingam pula mendakwa telah dihalang polis hampir 1 jam di luar kawasan penamaan calon sehingga mengakibatkan beliau terlewat menghantar borang selepas jam 10 pagi.
Katanya, MIC tidak ada hak menghalang beliau (Anuraadha) menawarkan diri sebagai calon Bebas walau pun merupakan penyumbang utama dana kepada MIC.
Tambahnya lagi, beliau menjadi calon atas kemahuannya, bukan ditaja oleh mana-mana pihak yang dilihat boleh menarik sokongan pengundi MIC.
Awang mengenali calon PKR, Mohd. Zaid Ibrahim yang dilahirkan pada tahun 1951 di Kelantan dan mendapat pendidikan hingga ke Ijazah Undang-Undang, LLB Hons (1974) Barrister at Law Inner Temple 1975.
Sejarah pembabitan dalam politik pada tahun 1986 melalui parti UMNO, walau pun mula aktif hanya selepas tahun 1990.
Beliau pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu pada tahun 2001, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO (2003) dan dari tahun 2004-2008 sebagai Ahli Parlimen BN-Kota Bharu, yang pertama sejak 1990.
Dato’ Zaid ini pernah digantung dari jawatan Ketua Bahagian pada tahun 2005 dan digugurkan sebagai calon 2008. Pada Mac 2008, dilantik sebagai Senator di Dewan Rakyat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (portfolio undang-undang & reformasi badan kehakiman).
Sept 2008, beliau telah meletakkan jawatan Senator dan Menteri sebagai protes penggunaan ISA ke atas tiga rakyat Malaysia.
Dipecat dari UMNO pada Disember 2008 kerana menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia tentang pendiriannya mengenai ISA.
Bermula Jun 2009, beliau menganggotai Parti KeADILan Rakyat (PKR). Seterusnya dilantik sebagai anggota Majlis Tertinggi PKR, AJK Biro Politik PKR dan Penyelaras Pakatan Rakyat.
Dalam masa 25 tahun bermula 1987 – Dato’ Zaid berjaya menubuhkan syarikat guaman Zaid Ibrahim & CO dari hanya mempunyai seorang peguam hinggalah melebihi 140 orang pada tahun 2008 dan menjadikan firma itu yang terbesar di negara. Beliau bersara dari syarikat tersebut bila menerima jawatan Menteri pada tahun 2008.
Prinsip ‘Keadilan Untuk Semua’ menjadikan Dato’ Zaid Ibrahim memberikan perhatian berat terhadap aspek sistem perundangan kita yang tidak adil, termasuklah penggunaan ISA dan keperluan reformasi badan kehakiman.
Beliau percaya keadilan adalah untuk semua dan menolak politik perkauman dan berhasrat mempertingkatkan ketelusan dalam Kerajaan dari memperbaiki ketelusan dalam pentadbiran Petronas dan FELDA sehinggalah usaha untuk memperkenalkan semula pilihan raya tempatan.
’Dan Sebenarnya’…Dato’ Zaid ini asalnya datang dari keluarga yang miskin, beliau juga amat prihatin terhadap masalah kemiskinan, hak tanah dan kebajikan rakyat, termasuklah tanah adat Orang Asal.
Beliau berhasrat untuk mengembalikan politik Malaysia sebagai politik yang berbincang tentang dasar dan kebajikan rakyat dan politik yang memberikan hak dan kebebasan kepada rakyat.
Jika dikajiselidik latar belakang keluarga dan pendidikan awalnya Dato’ Zaid Ibrahim dilahirkan di Kampung Chap - Bachok, Kelantan pada tahun 1951 dalam sebuah keluarga kampung biasa di kawasan pedalaman.
Memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak berhampiran dengan kampungnya, di mana beliau terpaksa berjalan kaki selama sejam setiap kali pergi dan pulang dari sekolah
Menyambung pelajaran ke Sekolah Rendah Sultan Ismail, apabila keluarganya berpindah di kawasan setinggan di Kota Bharu, selepas ayah beliau, yang sebelum ini membuat kerja-kerja kampung sambil berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga, mula berniaga ayam di Pasar Besar Kota Bharu.
Dengan tekad usahanya menumpukan perhatian terhadap pelajaran di samping mengembangkan minat membaca di masa lapang di Perpustakaan Awam di Kota Bharu, Dato’ Zaid akhirnya berjaya ke salah sebuah sekolah menengah yang terbaik di Kota Bharu iaitu Kolej Sultan Ismail.
Kemahuan beliau untuk menimba ilmu, meluaskan pergaulan dan mencari pengalaman baru di negeri orang, berbekalkan duit saku RM5 dari ayahnya, Dato’ Zaid berpindah ke Johor Bharu atas pilihannya sendiri untuk meneruskan pendidikannya di Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bharu.
Walau pun latar belakang keluarganya jauh berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan pelajar-pelajar di Maktab tersebut, dan ada merasa sedikit terpinggir sebagai orang luar dan pertama kali pula bergaul dengan orang-orang bukan Melayu, dengan galakan dari guru-gurunya.
Dato’ Zaid berjaya memupuk bakat berpidatonya sehingga mewakili sekolah sebagai pendebat Bahasa Inggeris dan selepas di Johor Bharu, Dato’ Zaid meneruskan pendidikan tingkatan enam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, di mana beliau mula berjinak-jinak dengan bahan bacaan politik dan sastera di samping meneruskan minat berpidato dan menulis.
Dato’ Zaid akhirnya, melanjutkan pelajaran di bidang Undang-undang di Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah Alam pada tahun 1971. Di ITM, beliau meneruskan minatnya dalam bidang berpidato dan mula aktif dalam persatuan pelajar.
Selepas menerima ijazah tersebut tiga tahun kemudian, beliau bekerja sebagai eksekutif jualan di Pulau Pinang selama setahun untuk meringankan beban kewangan keluarganya dahulu di kampung.
Beliau kemudiannya ke London dengan pinjaman MARA untuk mengambil peperiksaan akhir Bar. Akibat kesilapan di peringkat pemerosesan permohonan, pinjaman yang diterima tidak merangkumi bayaran tuisyen, menyebabkan beliau terpaksa belajar sendiri dengan meminjam nota dari teman-temannya di sebelah malam. Namun begitu, beliau berjaya lulus peperiksaan Bar dalam masa 6 bulan.
Selepas pulang ke tanah air, Dato’ Zaid memulakan latihan Chambering beliau dengan syarikat guaman Shook Lin & Bok. Syarikat Guaman terbesar di Malaysia pada masa itu.
Dari tahun 1976-1979, beliau memulakan kerjaya guamannya bersama dengan firma Raja Aziz Addruse sebelum menimba pengalaman di firma-firma lain.
Pada tahun 1987, Dato’ Zaid nekad untuk menubuhkan syarikat guamannya sendiri, Zaid Ibrahim & Co (ZICO). Walau dihimpit cabaran kewangan kerana tidak mempunyai senarai pelanggan besar yang kukuh pada awalnya, selepas berjaya diterima sebagai syarikat guaman untuk UEM-Plus Highway, ZICO mula diterima oleh pelanggan korporat dalam dan luar negara.
Dengan rakan kongsi yang pintar dan setia dan reputasi perkhidmatan guaman yang cemerlang, selepas 30 tahun, ZICO kini adalah syarikat guaman terbesar di Malaysia, dengan lebih 130 orang peguam dan ratusan pekerja lain dengan pejabat cawangan di Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu. Sejurus selepas dilantik menjadi menteri, Datuk Zaid Ibrahim melepaskan kepentingannya di dalam ZICO.
Pendedahan politik awalnya, Dato’ Zaid mula semenjak usia remaja tatkala mula mengikut ayahnya mendengar ceramah-ceramah pemimpin politik era 1960an di Kota Bharu. Terutama sekali, para pemidato PAS yang hebat.
Dato’ Zaid mula menjadi ahli UMNO Bukit Bintang sekitar 1986 tetapi mula bergiat secara lebih aktif di Kelantan selepas pilihanraya 1990.
Pada tahun 2001, beliau berjaya menjadi Ketua Cawangan UMNO Kota Bharu dan kemudian dipilih menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada tahun 2003.
Walaupun tidak terpilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008, dan menyuarakan pandangan kritisnya secara terbuka terhadap hala tuju Barisan Nasional dan masalah kepemimpinan di dalam UMNO.
Sejurus selepas 8 Mac 2008, Dato’ Zaid ditawarkan jawatan sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk “untuk membuat perubahan dalam sistem perundangan dan badan kehakiman”.
Tidak sampai beberapa hari selepas menjadi menteri, Dato’ Zaid memulakan proses memohon maaf terhadap hakim-hakim yang dipecat semasa Krisis Kehakiman 1988 dan pemberian saguhati kepada mereka walau pun dikritik hebat oleh pelbagai pihak di dalam UMNO.
Namun pada September 2008, selepas 5 bulan dan 27 hari, Dato’ Zaid Ibrahim meletakkan jawatan atas dasar prinsip kerana tidak bersetuju dengan penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menjadikannya Menteri paling singkat perkhidmatannya di Malaysia, dan Menteri yang benar-benar meletakkan jawatan atas dasar prinsip.
Selepas menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia tentang isu ISA pada bulan yang sama dan muncul di majlis-majlis anjuran parti pembangkang selepas itu, Dato’ Zaid Ibrahim akhirnya dipecat dari UMNO pada Disember 2008.
Pada bulan Jun 2009, Dato’ Zaid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah yakin akan landasan parti tersebut dalam memperjuangkan hak rakyat dan demokrasi tanpa bersandarkan pada sentimen perkauman.
Dato’ Zaid Ibrahim sekarang merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan AJK Biro Politik PKR dan berperanan sebagai Penyelaras Pakatan Rakyat.
Begitulah serba sedikit jalan cerita yang Awang sediakan untuk para pembaca sekalian dan ‘Selamat Mengundi’….dan kepada parav pengundi di Hulu Selangar satu pesanan ikhlas dari Awang iaitu ‘JANGAN LUPA TIDAK MENGUNDI CALON BARISAN NASIONAL’.
1 comments:
Zaid mungkin milestone kepada kemenangan PR di terengganu..mohon link sahabat-anak muda terengganu
Catat Ulasan