Majoriti mudah sasar 20 kerusi PRU Ke-13



BARU-BARU INI... Awang ada bertemu dengan seorang teman yang juga seorang wartawan di Terengganu dan kami lama tidak berjumpa antara satu sama lain.

Maka, Awang dan teman Awang tadi pergilah minum petang sambil itu sembang-sembang macam-macam hal yang disembangkan.

Ada cerita lucu, ada cerita keluarga, ada cerita lama-lama dan ada cerita politik. Dalam hal politik ini ada juga kami sembang-sembang tentang masa depan negeri ini pada ’kaca mata’ dia dan kami bertukar-tukar ’pemandangan’ dan ’pendapatan’ masing-masing.

Kata teman Awang tadi, pada pandangan dan kajian yang dibuatnya berdasarkan analisis dan keputusan PRU yang lepas-lepas. Katanya, PAS Terengganu boleh memerintah negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang dan hanya perlu menang dengan majoriti mudah sahaja.

Sebab, jika hendak menang besar macam PRU ke-10 tahun 1999 lalu...rasanya mungkin sukar dan macam tidak ada harapan sangatlah.

Alasannya, rakyat dan pengundi diperingkat akar umbi memang mahukan perubahan kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Umno-BN untuk jaga negeri dan negara.

Tetapi, dalam masa sama rakyat dan pengundi ’atas pagar’, pengundi Umno yang ’longgar-longgar’ dan yang PAS ’longgar-longgar’ dan termasuk yang PAS ’ekstrem’ berhaluan kiri mahukan bakal calon-calon PAS kelak yang muda-muda serta tidak ada rekod ’buruk’ lagi.

Maksudnya, mereka (rakyat-pengundi) mahukan kepimpinan muda PAS yang baru dan yang rekod bersih serta boleh turun ke tengah-tengah masyarakat dan rakyat bawahan.

Bukan pemimpin yang hanya boleh berlegar di kalangan kelompak sendiri, bermain dalam ’sarang’ sendiri dan bergaul dengan kenalan sendiri dengan pemikiran yang sempit.

Katanya, sasaran 17 hingga 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu tidak sukar jika berlaku peningkatan peratusan undi sebanyak empat peratus sahaja.

Menurutnya, kaji selidik yang dibuat mendapati jumlah jumlah kerusi Dun yang PAS kekurangan undinya dibawah 1000 undi terdapat sebanyak lapan Dun yang pernah dimenangi suatu ketika dahulu.

Pertama, Dun Jabi pada PRU Ke-12 lalu calon PAS, Dr Azman Ibrahim yang memperolehi sejumlah 5,560 undi tewas kepada calon BN, Ramlan Ali (6,364 undi) dengan majoriti 808 undi. Jumlah undi 12,075 dan undi rosak sebanyak 151 undi.

Kedua, Dun Tepoh calon BN, Mohammad Ramli Nuh yang memperolehi 8,455 undi menewaskan calon PAS, Abu Bakar Abdullah yang mendapat 8,025 undi dan majoritinya sebanyak 430 undi. Undi rosak 192 undi dari jumlah 16,672 undi. Ustaz Abu Bakar adalah Yang Dipertua PAS Kuala Nerus.

Ketiga, Dun Teluk Pasu calon PAS, Ridzuan Hashim yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus mendapat sejumlah 6,817 undi kalah kepada calon BN, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said (7,279 undi) dengan majoritinya 462 undi. Jumlah undi 14,096 undi.

Keempat, Dun Alor Limbat yang pernah ditandingi oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali memperolehi sebanyak 7,936 undi dan dikalahkan oleh calon BN, Alias Abdullah yang mendapat 8,735 undi dengan majoriti 799 undi. Jumlah undi 16,899 undi dan yang rosak 228 undi.

Kelima, Dun Pengkalan Berangan apabila calon BN, Yahaya Khatib Mohamad yang mendapat sejumlah 8,900 undi menewaskan calon PAS, Mohd Deraman (7,970 undi) dengan majoriti 930 undi. Undi yang rosak sebanyak 295 undi dari 17,165 undi.

Keenam, Dun Rantau Abang yang pernah dimenangi oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Azman Shapawi Abdul Rani tahun 2004 tetapi tewas kepada calon BN, Za’abar Mohd Adib yang memperolehi 7,372 undi dan calon PAS, Azman Shapawi mendapat 6,582 undi. Majoritinya, 790 undi daripada 14,192 undi.

Ketujuh, Dun Paka yang ditandingi oleh Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat sebagai calon PAS berjaya memperolehi 8,462 undi tewas kepada calon BN, Zakaria @ Mohamed Ariffin Abdullah (8,806 undi) dengan majoriti 344 undi daripada 17,455 undi.

Dan yang kelapan, Dun Chukai calon PAS yang juga Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Hanafiah Mat yang memperolehi 8,772 undi tewas kepada calon BN, Dato’ Mohamed Awang Tera (9,541 undi) dengan majoriti 769 undi daripada 18,530 undi. Undi rosak 193 undi.

Jika dun-dun tersebut dapat dijinakkan kembali seperti mana kemenangan PAS pada PRU Ke-10 tahun 1999 lalu yang kerusi-kerusi berkenaan pernah menjadi milik PAS suatu ketika dahulu.

Manakala, lapan lagi kerusi penyandang sedia ada dapat dikekalkan prestasi kemenangannya akan menjadi 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu serta berusaha untuk menambah satu kerusi sahaja menjadikan 17 kerusi Dun dan menang dengan majoriti mudah.

Namun begitu, katanya paling kurang PAS perlu mendapatkan sejumlah 20 kerusi agar pemerintahannya kelak agak stabil serta sukar digugat oleh anasir-ansir tidak sihat termasuk ’membeli’ calon oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kerusi Dun milik PAS yang sedia ada seperti Dun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak, Dun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, Dun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Dun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, Dun Rhu Rendang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dun Manir, Dato’ Harun Taib dan Dun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli.

PAS hanya perlu menang dengan majoriti mudah untuk memerintah negeri meski pun tidak mendapat majoriti dua pertiga kerana kerajaan PAS tersebut tidak perlu lagi meminda undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Hari ini, PAS Terengganu telah dilihat giat menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah kemenangan parti termasuk mengadakan Simulasi Pilihan Raya PAS di seluruh negeri ini.

Justeru itu, kata beliau bagi mengembalikan gerak kerja menawan kembali negeri dari Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu agenda simulasi tersebut diharapkan dapat merealisasikan harapan serta matlamatnya.

Satu operasi bersepadu yang menggabungkan seluruh jentera Pilihan Raya PAS bermula dari semua Jabatan-Jabatan PAS di peringkat negeri sehinggalah ke peringkat Unit Peti Undi (UPU) dan cawangan-cawangan.

Dalam operasi tersebut lima peringkat jentera utama parti mestilah mengoptimakan keupayaan mereka semaksimum mungkin bagi mencapai kemenangan yang dirancang.

Ini termasuklah, Jabatan Pilihanraya PAS Terengganu, Jentera Pilihararaya Kawasan, Majlis-majlis Tindakan Dun, Unit-unit Peti Undi dan Cawangan/Unit Lokaliti. Pendekatan utama operasi ini bagi menggerakan jentera pilihan raya dengan memfokuskan kepada gerak kerja jentera kempen.

Aktiviti ziarah rumah ke rumah, ziarah pimpinan dan perubatan, ceramah gempur, bacaan Yasin berkelompok, sebaran risalah, gotong royong Amal & BBQ, jejak pengundi muda, culaan, pendaftaran pemilih baru dan kehlian PAS serta penyampaian bantuan kebajikan, solat hajat dan kuliah maghrib.

Sejak empat bulan lalu bermula Disember 2009, Dewan Harian PAS Terengganu sering kali mengadakan mesyuarat mingguannya secara bergilir disetiap Dun-dun dengan aktiviti minum pagi di warung-warung tertentu.

Tujuannya, bagi memasyarakatkan pimpinan PAS negeri agar mudah dikenali oleh rakyat dan pengundi di kampung-kampung serta di Dun berkenaan.

Semoga apa-apa yang dirancang dan dilaksanakan itu akan membawa rahmat dan kebaikan untuk parti dan rakyat seluruhnya. Sebab, ‘PAS For All’ samalah dengan ‘Islam For All’.

Oleh itu, PAS kena ingat dan jangan lupa..tanggungjawab PAS bukan hanya untuk orang-orang PAS tetapi juga kepada orang yang menyokong PAS. Ini termasuklah, di kalangan orang bukan Islam dan Kelab Penyokong PAS.

HARAP PAS INGAT DAN TIDAK LUPA TANGGUNGJAWAB ITU

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top