Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, ‘bahtera’ kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin tidak stabil, goyah serta bakal tenggelam pada bila-bila masa sahaja.
Bahtera tersebut yang semakin ‘bocor’ ditambah lagi dengan perbalahan dua nakhoda dalam satu kapal yang semakin tidak diyakini oleh rakyat.
Berikut adalah kupasan dari temubual teman Awang bersama Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman di rumahnya di Kampung Gelugur, 5 April 2010, lalu.
Soalan (S): Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 merupakan peluang terbaik PAS dan Pakatan Rakyat di Terengganu untuk kembali memerintah negeri berdasarkan senario politik hari ini. Komen Ustaz?
Jawapan (J): Berdasarkan senario politik hari ini kita yakinlah dalam PRU Ke-13 yang dijangka pada akhir 2011 atau awal 2012. Kita (PAS) optimis untuk mencapai kemenangan kali ini berdasarkan isu-isu yang ada dengan suasana politik di negara hari ini. Terengganu juga tidak lari dari arus perubahan yang berlaku di seluruh negara. Kita (PAS) optimis, Insya’Allah. Ini kerana, senario politik yang berlaku di Terengganu hari ini meski pun tidak nampak secara jelas rakyat menyokong kita (PAS) tetapi yakin rakyat sedang menilai dan akan membuat perubahan. Sebab, Umno di negeri ini menggunakan tekanan dan ugutan kepada pengundi yang menyebabkan pengundi merasa ‘takut’ dan bimbang demi menjaga kepentingan-kepentingan tertentu. Sama ada kepada kakitangan kerajaan, pekerja swasta, orang kampung di Felda, golongan nelayan dan sebagainya. Mereka (Umno-BN) guna ugutan dan secara zahir rakyat tidak berani untuk menyokong kita (PAS). Dan kita (PAS) yakin senario ini akan berubah dalam pilihan raya akan datang.
S: Umno Terengganu hari ini mendakwa partinya berada dalam keadaan selesa, baik dan bersatupadu. Apa pendapat Ustaz selaku Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu?
J: Perpaduan di kalangan pimpinan Umno Terengganu sebenarnya bercelaru, walau pun dia (Umno-BN) mendakwa telah bersatu tetapi hakikat sebenarnya, kita (rakyat) lihat secara umum pun Umno Terengganu ‘berpecah’ dan perpecahan itu tidak mudah untuk selesai hingga pilihan raya akan datang. Walau pun Umno Terengganu dipimpin oleh seorang Menteri iaitu Dato’ Seri Hishammuddin Tun Husin tetapi ‘puak-puak’ yang berbalah msih ada dan terus berlaku hari ini.
S: PAS dan Pakatan Rakyat tidak boleh mengharapkan ‘kelemahan’ musuh terutama Umno-Barisan Nasional (BN) Terengganu. Jentera parti PAS bagaimana sekarang?
J: Ya, memang kita tidak mengharapkan kelemahan musuh untuk menang dalam PRU Ke-13 ini, terutama perpecahan dia (Umno) dan kelemahan ‘dalaman’ parti dia (BN). Kita (PAS) sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya dan jika pilihan raya bakal diadakan sekarang pun, kita (PAS) telah bersedia dari segi jentera parti disemua peringkat. Jentera kita bermula dari peringkat akar umbi di Unit Peti Undi (UPU), Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD), Kawasan-kawasan dan negeri. Kita (parti) telah membuat persiapan-persiapan untuk menghadapi pilihan raya tersebut.
S: Berapa kerusi yang menjadi sasaran PAS pada PRU Ke-13. Apakah PAS yakin boleh mengekalkan kerusi-kerusi Dewan Undangan negeri (Dun) yang sedia ada hari ini?
J: Kita (PAS) sangat yakin mampu untuk mengekalkan kelapan-lapan kerusi Dun yang telah dimenangi seperti Dun Sura, Dun Rhu Rendang, Dun Bukit Payong, Dun Ladang, Dun Batu Burok, Dun Wakaf Mempelam, Dun Bukit Tunggal dan Dun Manir. Berdasarkan pengalaman sejarah PRU ke-10 tahun 1999 dan kita (PAS) pernah menguasai 28 dari 32 kerusi Dun di Terengganu. Jadi tidak mustahil kita (PAS) mampu dan PAS Terengganu mempunyai keupayaan untuk memerintah semula negeri Terengganu ini. PAS mampu mengembalikan kemenangan tersebut sebagaimana kemenangan tahun 1999 yang lalu. Ini kerana, perbezaan undi yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) sangat kecil dan jika berlaku sedikit perubahan kita (PAS) boleh memerintah Terengganu. Kita (PAS) optimis untuk kekal lapan kerusi sedia ada dan menambah paling kurang lapan kerusi Dun yang berpotensi untuk kita (PAS) menang.
S: Ada pihak berpandangan gerak kerja PAS agak lesu serta tidak menampakkan keghairahan untuk menang. Benarkah begitu?
J: Saya menafikan gerak kerja kita (PAS) lesu dan kita melihat sekarang ini kita (PAS) sedang melaksanakan program kemasyarakatan, ceramah-ceramah semakin aktif, semakin rancak kembali dan yang terbaru program bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu. Sambutan sangat baik dengan kehadiran puluhan ribu rakyat. Ceramah kita (PAS) juga semakin mendapat sambutan dan hampir setiap minggu di setiap Dun-dun mengadakan aktiviti ceramah. Rakyat mesti pekalah dengan persekitaran dan aktiviti.
S: Bagaimana dengan perubahan sikap pengundi muda, kaum wanita serta golongan terpelajar terhadap PAS mutakhir ini?
J: Kita (PAS) melihat mutakhir ini ada kecenderungan golongan muda untuk bersama dengan PAS. Pemuda dengan program ‘Orang Mude Geng Kite’ dan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 10K) juga mendapat sambutan yang hebat dengan penyertaan puluhan ribu pengunjungnya. Himpit 10K ini paling ramai pernah dicatatkan kehadirannya. Program massa Pemuda seperti ceramah, dialog, himpunan pemuda di peringkat kawasan-kawasan dan sebagainya. Sememangnya, mendapat sambutan yang baik dari pengundi-pengundi muda termasuk di kalangan wanita. Kita (PAS) melihat mereka semakin ramai memberikan sokongan kepada PAS. Cuma, halangannya dari Umno dan kerajaan BN sendiri dengan memperalatkan pengagihan wang ehsan atau dana khas kepada golongan belia remaja serta pengundi muda. Cabaran Pemuda di Terenggani ini lebih hebat berbanding di negeri-negeri lain. Contohnya, maklumat yang jelas pengundi muda akan diberi sejumlah wang jika mereka menyertai Umno dan didaftarkan oleh Umno-BN sebagai pengundinya. Mereka akan menerima ‘habuan’ duit ehsan yang lumayan antara RM200 hingga RM700 seorang. Dan mereka terpaksa melalui kursus atau kem-kem yang dianjurkan. Ini yang berlaku di Terengganu dan kita (PAS) tidak mampu berdepan dengan ‘umpan’ duit sedemikian. Walau pun itu yang dibuat oleh Umno tetapi kita (PAS) yakin pemuda masih bersama dengan kita (PAS).
Jika Awang berpeluang sama di masa akan datang bertemu dengan Ustaz Ariffin ini ada beberapa persoalan yang ingin Awang ajukan kepadanya dalam usaha mewarnai politik di Terengganu ini.
InsyaAllah, di masa dan waktu yang lain akan Awang usahakan untuk bersama dengan beliau untuk mendapat penjelasan lanjut dari apa yang telah diperkatakan tadi. Awang cukup bimbang dan ‘takut-takut’ apa yang dinyatakan tadi tidak bertapak di bumi yang nyata.
Apa pun, Awang benar-benar berharap segalanya akan menjadi kenyataan dan mengikut ketentuan Allah SWT serta mencapai kemenangan seperti yang diharapkan, Insya’Allah.
WAS-WAS ITU DARI SYAITAN !!!
0 comments:
Catat Ulasan