Kebencian serta ‘amarah’ umat Islam terhadap Israel semakin hangat apabila rakyat di negara ini didedahkan dengan perjanjian sebuah Syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd dengan kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, lebih 1000 umat Islam di Terengganu menyertai Himpunan Aman Membantah Kerjasama Malaysia-APCO Worldwide di hadapan Masjid Pengadang Baru, dekat sini, hari ini.
Awang juga tidak ketinggalan mahu menyertai sama kerana peluang untuk kita ke Palestin belum tentu bilanya dan dengan cara menzahirkan penentangan kita di sini (tempat kita) pun ‘pahalanya’ lebih kurang saja walau pun tidak sama 100 peratus.
Walau macam mana pun, hasrat dan cita-cita untuk ke bumi ambia itu tetap ada sama ada cepat atau lambat, tercapai atau tidak bukan kuasa kita…semua itu kuasa Allah SWT.
Selama ini pun, Awang pernah ke luar negara yang pada adatnya tidak mungkin Awang boleh sampai jika diukur dengan sumber kewangan semasa.
Awang bukan anak tauke balak, bukan anak jutawan dan bukan anak korporat tetapi dengan takdir Allah Ta’ala dapat juga Awang menjejak kaki ke beberapa buah Negara termasuk ke negara Ahmadinejad.
Maka, berkatalah Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dengan mengingatkan umat Islam bahawa agen-agen Israel telah menyusup masuk ke negara ini.
Katanya, agen Israel boleh masuk ke Negara ini melalui perjanjian kerajaan Malaysia dengan sebuah Syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd yang ada hubungan dengan bangsa Yahudi.
“Kita berkumpul di sini bagi menunjukkan kita (umat Islam) benci terhadap Israel, kita kena ingat bahawa ‘badan’ Israel, agen Israel telah dalam negara kita.
“Jangan kita (umat Islam) tidak ambil peduli kerana tahap keselamatan negara kita boleh terancam dan terdedah kepada Israel.
“Kita khabarkan kepada seluruh rakyat yang kita membantah perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan APCO Worldwide ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan tersebut sebagai tanda reaksi menentang hubungan kerjasama secara tidak langsung antara Malaysia-Israel.
Dan Setiausaha Pemuda, Ustaz Wan Ahmad Faizul Wan Abas pula mahukan kerajaan Malaysia segera memutuskan hubungan kerjasama dengan syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd yang dikaitkan dengan Yahudi-Israel.
“Kita minta kerajaan Malaysia segera bertindak menamatkan hubungan kerjasama dengan APCO Worldwide itu.
“Perhimpunan hari ini merupakan sebahagian dari bantahan yang dibuat serentak di seluruh negara terhadap isu APCO Worldwide dengan Malaysia,” ujarnya.
Oleh itu, katanya, umat Islam perlu prihatin serta ambil peduli dengan isu semasa yang semakin terancam di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Terengganu, Syeikh Mohamad Hanafi menyifatkan pemimpin negara ini tidak memahami hasrat rakyat yang sebenar.
“Pemimpin-pemimpin negara kita tidak memahami hasrat rakyat yang menentang Israel. Mereka (pemimpin Umno-BN) membuat hubungan dengan Yahudi-Israel tanpa pengetahuan rakyat,” ujarnya.
Katanya, wang rakyat dibelanjakan lebih RM70 juta bagi membiayai sebuah syarikat dari Yahudi dalam perjanjian APCO Worldwide tersebut.
Justeru itu, katanya Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak layak lagi untuk disokong dan dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Manakala, anak Presiden PAS, Ustaz Mohamad Khalil Abdul Hadi mendakwa tindakan kerajaan Malaysia menjalinkan kerjasama dengan syarikat APCO Worldwide merupakan suatu bentuk pengkhianatan.
“Apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan mengambil syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd yang ada kaitan dengan Israel merupakan suatu kemungkaran dan mesti ditentang dan dibantah oleh umat Islam.
“Ini juga merupakan suatu bentuk pengkhianatan terhadap umat Islam di Palestin yang dizalimi, ditindas dan dibunuh setiap hari,” tegasnya.
Katanya, Nabi Muhamad SAW melarang umat Islam memberi wala’ atau apa-apa bentuk kerjasama dengan orang Yahudi yang terkenal jahat.
Pada akhir perhimpunan tersebut Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah mengetuai upacara kemuncaknya dengan membakar bendera Israel sebagai tanda protes dan ‘amarah’ umat Islam Terengganu terhadap kerjasama tersebut.
Demontrasi secara aman tersebut sebenarnya anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) yang diadakan sejurus selesai solat Jumaat sekitar jam 2.15 petang dan berakhir setengah jam kemudiannya.
Kebetulan hari ini Awang turut serta membawa tiga orang ‘mujahidin’ (anak lelaki) yang cukup bersemangat dan sengaja Awang bawa untuk pendedahan awal agar mereka tidak ketinggalan zaman dari cerita-cerita jihad.
Anak pertama, namanya Muhamad Al-Fateh berusia 13 tahun, anak kedua bernama Solahuddin Al-Ayyubi, 11 tahun dan anak keempat yang Awang bawa bersama menyertai bantahan ini bernama Salman Al-Farisi, 7 tahun.
Pengalaman mereka juga pernah Awang bawa ketika menyertai Demontrasi Membantah Pengajaran Pembelajaran Sains Matematik Bahasa Inggeris (PPSMI) di Ibu Kota Kuala Lumpur, setahun lalu.
Kami anak-beranak termasuk ibunya yang ketika itu membawa bersama seorang lagi anak lelaki Awang yang ke-7 bernama Faris Al-Audah, berusia setahun ketika itu.
Kami anak-beranak pernah dikejar ‘barua-barua’ berbaju merah dan disembur dengan air water canan dan terhidu gas pemedih mata bersama-sama dengan Sasterawan Negara, Dato’ A.Samad Said dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Pengalamannya, waktu itu kami dari kumpulan Mat Sabu yang berarak ke Istana Negara dengan tangan kosong tanpa senjata dan bukan untuk merusuh.
Hakikatnya, kami semua bersama puluhan ribu rakyat dari seluruh Negara ‘dilayan’ sama seperti Israel melayani rakyat Palestin hari ini.
Oleh itu, sama-samalah kita fakir dan renung baik-baik akan masa depan umat Islam, anak-cucu, generasi akan datang, agama, bangsa dan negara kita.
‘SELAMATKAN MALAYSIA….SELAMATKAN TERENGGANU KITE’
1 comments:
Awang oh awang... :)
Catat Ulasan