Tragedi malang yang menimpa lima warga asing Bangladesh yang mengakibatkan seorang maut serta lima rakannya cedera parah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 29 Mac 2010 lalu ada cerita menarik disebaliknya.
Hasil pencarian yang member-member Awang buat berjaya menemui siapa sebenar kontraktor utama yang melaksanakan projek tersebut.
Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika (INOS-AKUATROP) yang sedang dalam pembinaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tersebut dibina oleh Syarikat Pembinaan M.A.N Sdn. Bhd.
Projek yang bernilai lebih RM25 juta (RM 25, 107, 122.50) itu adalah dibina oleh syarikat ‘Orang Kuat Umno’ (OKU) yang beralamat di 25-A Losong Masjid, 21000 Kuala Terengganu.
Rupa-rupanya, syarikat tersebut sebenarnya telah ‘dianugerahkan’ tender pembinaan projek itu pada Disember 2008 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Kerja-kerja pembinaannya dimulakan sejak 15 Disember 2008 iaitu tahun yang sama dan dijangka siap pada pada 18 Disember 2010 ini.
Pembinaan M.A.N Sdn. Bhd ini memang cukup ‘hebat’ kerana selang 10 hari sahaja dari tarikh menerima anugerah tender membina INOS-AKUATROP UMT, Syarikat yang sama dianugerahkan pula satu kontrak pembinaan Klinik Kesihatan Batu 2 ½ jalan Air Putih Chukai bernilai lebih RM13 juta (RM13, 833, 561.60).
Apakah keistimewaan syarikat ini sehingga disayangi dan ditatang bagai minyak yang penuh oleh kerajaan Malaysia yang memberikan kontrak bernilai lebih RM38.9 juta dalam tempoh 10 hari sahaja.
Sumber kenalan Awang memaklumkan, tidak lain dan tidak bukan kerana ia barangkali merupakan satu lagi program ‘Juara Rakyat’, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian di Utamakan’ dan ‘Orang Kuat Umno’ (OKU) melaksanakannya.
Menurutnya sumber yang enggan disebut namanya juga berkata Lembaga Pengarah Pembinaan M.A.N Sdn. Bhd adalah seramai empat orang yang terdiri dari kalangan adik beradiknya.
“Mohamed@Mohd Amran bin Nik dan Jannah@Zaleha binti Nik, serta dua orang yang dipercayai anak kepada Mohd Amran iaitu Suhaida binti Mohamad @ Mohd Amran dan Ahmad Shahril bin Mohamed@Mohd Amran,” jelasnya.
Katanya, Puan Jannah@Zaleha binti Nik (gambar) adalah bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Terengganu dari tahun 2005 hingga 2008.
Rupa-rupanya ‘Orang Kuat Umno’ atau ‘OKU’ yang dapat projek itu yang sudah pastinya ada pihak tertentu yang komesyennya dan tidak bersahaja begitu sahaja.
Manakala, nama-nama yang lain tidak dijumpai rekodnya sebagai aktivis Umno yang aktif di negeri ini tetapi tetap dikategorikan di kalangan ‘OKU’ jugalah.
Oleh itu, tidak hairanlah kalau Pembinaan M.A.N Sdn. Bhd mendapat layanan yang begitu ‘istimewa’ oleh kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Rekod juga menunjukkan betapa kayanya orang Umno Terengganu dengan rekod Pembinaan M.A.N Sdn. Bhd sendiri yang telah mendapat nilai kontrak kerajaan sebanyak lebih dari RM135 juta sejak tahun 2000.
Persoalannya, apakah bangunan-bangunan lain yang dibina dengan duit ‘ehsan’ atau dana khas Kerajaan Persekutuan yang ‘dirampas’ dari hasil royalti rakyat Terengganu itu selamat?
Awang masih ragu-ragu akan tahap keselamatan terhadap semua bangunan yang baru dibina terutama di zaman mantan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh antara tahun 2004 hingga 2008.
Begitu juga, dengan semua projek-projek sebelum itu antara tahun 2000 hingga 2004 yang dibina dengan duit dana khas terutama projek-projek sekolah yang banyak dibina baru dan tambahan.
Oleh itu, Awang hendak peringatkan kepada ibubapa, guru-guru dan masyarakat setempat dan pengundi dan rakyat Terengganu bahawa bangunan sekolah mungkin ada yang tidak selamat.
Mungkinkah, selepas ini kita semua dan rakyat Malaysia seluruhnya akan menerima pula berita ‘malang’ yang bukan kita doakan berlaku…tetapi, sebagai peringatan sebelum berlaku…tiba-tiba ada bangunan sekolah pula yang runtuh dan rebah menyembah bumi.
Apa yang berlaku itu, bukan kerana gempa bumi atau rebut taufan atau peperangan atau ledakan bom atom, tetapi hanya kerana ‘KECUAIAN’ manusia, kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said.
‘Mat Said’ kata, kes struktur bangunan yang runtuh di UMT yang mengorbankan seorang warga Bangladesh bernama Nurul Islam itu adalah kecuaian manusia.
Awang tidak pasti pula siapa yang cuai yang dimaksudkan oleh MB itu. Adakah pihak kontraktor atau pihak kerajaan yang memberi kontrak. Tetapi, ada orang kata yang dimaksudkan kecuaian manausia itu…adalah mereka yang sedang bekerja di tapak binaan tersebut.
Malang sekali, si mangsa (Nurul Islam) telah mati dan tidak boleh membela diri dan bangun untuk mempertahankan dirinya dan rakan-rakannya kerana dituduh cuai ketika bekerja.
Jikalah, ditakdirkan ‘Nurul Islam’ itu boleh hidup kembali dan bangun semula untuk mempertahankan dirinya, sudah pasti ‘dia’ (si mati) akan berkata: “hai si pemerintah, hai si kontraktor…kenapa kamu menganiayai aku dan rakan-rakanku?, aku dan rakan-rakanku hanya bekerja mencari rezeki halal dan aku dan rakan-rakanku tidak mengetahui sejauh mana pelaksanaan projek ini mengikut spesifikasi yang sepatutnya, sehingga aku dan rakan-rakanku menjadi mangsa korban”.
Akhir kata, sekali lagi sama-sama kita hadiah sedekah ‘AL-FATIHAH’ kepada si mangsa ini walau pun bukan dari bangsa Melayu tetapi dia adala saudara seIslam kita. Malah, dia lebih baik dan mulia dari sebangsa Melayu kita yang mengamalkan rasuah dan korupsi.
0 comments:
Catat Ulasan