‘Terima kasih, Tok Guru..selamatkan saya’




PADA hari raya cina (Ahad-14 Februari 2010) lalu, ketika hari cuti dan masing-masing mempunyai aktiviti sendiri. Maka, tidak terkecuali juga kepada seorang tokoh individu ulama’ tersohor di negeri Terengganu Darul Iman ini.

Ketokohannya, bukan sekadar kerana ilmunya atau kepetahan pidatonya tetapi juga kerana ilmu bermasyarakat dan ilmu hobinya.

Sebab itu, beliau layak diberi nama oleh orang tuanya yang juga terdiri dari kalangan tokoh ulama’ yang memimpin di negeri Darul Iman.

Nama Abdul Hadi adalah membawa erti dan makna ‘Yang Memimpin’. Jadi, ketokohan seorang Presiden sebuah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini kini telah teruji baik dipersada dunia antarabangsa, mahu pun di tanahair sendiri.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kini merupakan seorang pemimpin sebuah parti Gerakan Islam PAS di Malaysia.

Bahkan, nama ‘gah’ tersebut merupakan antara beberapa pimpinan Gerakan Islam Dunia yang banyak menyumbang kepada dunia Islam amnya.

Namun begitu, kali ini Awang bukannya hendak membicarakan perihal yang ilmiah tentang ketokohan beliau itu. Tetapi, cuba mendedahkan kepada rakan-rakan dan orang ramai sesuatu yang jarang kita ketahuinya.

Tok Guru Haji Hadi atau lebih ‘mesra’ dengan panggilan ‘Ayah Chik’ merupaka anak keempat dari enam adik-beradiknya. Dua lelaki dan empat perempuan.

Oh ya, minggu lepas…adik perempuan ‘Ayah Chik’ iaitu Allahyarham Hajah Aishah Haji Awang, 58, telah kembali kerahmatullah akibat sakit buah pinggang, jantung dan lain-lain.-ALFATIHAH.

Kembali kita, kepada kehebatan ‘Ayah Chik’ ini meski pun bertaraf ulama’ antarabangsa tetapi kehidupannya seperti ‘orang kampung’ sahaja.

Beliau duduk dalam masyarakat setempat yang disekelilingnya orang-orang kampung sejak dia kecil hingga mencapai taraf warga emas kini.

Ayah Chik mempunyai hobi ‘kelaut’ dan mahir menangkap ikan ke tengah lautan yang luas. Ayah Chik tidak ‘mabuk’ laut sebagaimana orang lain yang tidak pernah menceburi bidang tersebut.

Masa kosong yang terluangnya, jala, pukat, mata kail dan bot menjadi ‘teman’ mencari ketenangan dan inspirasi mencari kekuatan mindanya.

Perihal yang hendak Awang lakarkan di sini kali ini. Bagaimana, orang sehebat Tok Guru ini menyelamatkan satu nyawa dari mati lemas ketika mandi di Pantai Rusila, Marang.

Awang diberitahu sendiri oleh mangsa lemas yang diselamatkan oleh ‘Ayah Chik’ yang pada ketika itu ombak besar serta boleh meragut nyawanya.

“Kurang 10 minit lagi, saya ingat mungkin saya akan mati lemas dan dihanyutkan ke laut.

“Hampir setengah jam saya bertarung dengan ajal dan maut tetapi takdir menentukan saya masih dipanjangkan umur oleh Allah SWT,” kata mangsa lemas, Encik Ahamad Mat Zin, 58, dari Kampung Rusila, Marang.

Beliau hampir lemas di laut sebelum dapat diselamatkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama dua anak dan menantunya yang kebetulan berada di pantai tersebut.

Kejadian tersebut berlaku pada hari Ahad (14 Februari) lalu kira-kira jam 5.30 petang yang hampir meragut nyawa Ahamad jika kurang 10 minit lagi diselamatkan.

Ahamad atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pok Mat Jaga’ merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada ‘Tok Guru’ dan Syukur kepada Allah SWT.

“Saya ucap syukur kepada Allah SWT dan terima kasih kami sekeluarga kepada Tok Guru (Ustaz Abdul Hadi) dan anak-anaknya yang telah menyelamatkan saya.

“Saya sangat terharu kerana Tok Guru anak-beranak sanggup bergadai nyawa untuk menolong saya yang hampir lemas dan tenggelam pada hari itu,” jelasnya.

Menceritakan detik kejadian, katanya ketika sedang mandi di tepi laut air hanyalah di paras dada sebelum datangnya satu pukulan ombak yang besar.

“Ketika saya mandi air hanya di paras dada dan tiba-tiba datang satu pukulan ombak besar yang menarik saya ke tengah laut.

“Rupa-rupanya, arus laut di bawah kuat dan berpusar disertakan dengan ombak kuat memukul saya.

“30 minit saya ‘bertarung’ berusaha menyelamatkan diri dengan pertolongan orang ramai,” jelasnya ketika ditemui di rumahnya.

Menurut beliau sudah keletihan bergelut hampir 30 minit sebelum dapat diselamatkan oleh Tok Guru Haji Hadi dan anak-menantunya itu.

Awang dimaklumkan, pada hari tersebut selepas solat asar sekitar jam 5.15 petang Ustaz Abdul Hadi bersama anak dan menantunya ke pantai untuk memancing.

Tiba-tiba mereka (Tok Guru dan keluarga) mendengar seorang wanita berteriak 'orang lemas...orang lemas' sambil menunjukkan tangannya ke arah laut.

Menurut anak Ustaz Abdul Hadi iaitu Abdul Rahman, 28, bahawa ayahnya terus menyuruh beliau terjun ke laut dan menyelamatkan mangsa lemas tersebut.

"Saya terus ambil pelampung dan terjun ke laut...saya cuba campakkan pelampung itu kepadanya tetapi tidak berjaya kerana ombak besar pada ketika itu.

“Saya cuba tarik tangan beliau (Ahamad). Abang Khalil dan Abang Zaharudin juga membantu dan menyeret mangsa lemas ke pantai.

"Ayah (Ustaz Hadi) juga bersama kami ke dalam air untuk memapah mangsa naik ke pantai," jelasnya.

Keberanian ‘Tok Guru’ yang sanggup menggadai nyawanya sendiri biar pun beberapa kali dipukul ombak besar untuk menyelamatkan mangsa lemas tersebut bukan ‘main-main’.

Ini bermakna, Ustaz Abdul Hadi bukan sahaja berusaha menyelamatkan aqidah umat Islam dari tersesat ‘kelemasan’ tetapi juga menyelamatkan nyawa manusia.

Ketika kejadian itu berlaku, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi bersama dengan anaknya iaitu Abdul Rahman dan Mohamad Khalil serta menantunya Zaharudin sedang memancing di pantai tersebut.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top