Nur Ain Nabila…begitulah namanya. Di rumah kami panggil dia Nabila atau Ila sahaja. Kini usianya, baru mencecah empat tahun dengan fizikalnya agak kecil mungkin berbanding dengan rakan-rakan sebayanya masa kini.
Namun begitu, Nabila seorang kanak-kanak normal yang lincah serta mudah faham percakapan kami sebagai ibubapanya.
Pun begitu, Nabila ada sedikit kelainan dari adik-beradiknya yang lain iaitu dari segi pertuturannya agak ‘pelak’ kata orang Terengganu atau secara mudahnya tatabahasa yang kurang tepat.
‘Dan Sebenarnya’…Awang sengaja hantar lewat sedikit untuk Nabila masuk pra-sekolah pada usianya empat tahun. Bukan apa, cuma Awang rasa dia macam tidak boleh berdikari lagi.
Namun, setelah sebulan berlalu…Nabila selalu merenget untuk ke sekolah dan sering kali membawa beg sekolah meski pun belum ke sekolah.
Akhirnya, kami buat keputusan untuk menghantarnya setelah dia (Nabila) bersungguh-sungguh sangat untuk ke sekolah bersama seorang kakaknya iaitu Nur Humairah.
Nur Humairah kini berusia enam tahun dan merupakan pelajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Qaryah Tok Jiring.
Nabila sangat bersemangat untuk ke sekolah bersama-sama kakaknya itu hingga hari ini baru seminggu lebih dia ke sekolah Pasti tersebut.
Nabila ini seorang kanak-kanak aktif dan lincah sebenarnya. Setiap malam tidurnya lewat kerana suka bermain. Walau pun abang-abang dan kakak-kakaknya telah tidur hingga melewati jam 12.00 tengah malam. Tetapi Nabila belum tidur.
Pun begitu, setiap pagi hari persekolahan…dia (Nabila) merupakan anak yang paling mudah bangun. Cuma perlu seru namanya sahaja dia mudah bangun untuk ke sekolah.
Nabila…Nabila…0oooo Nabila, bangun…Nabila nok gi sekoloh dok..? Sejurus selepas itu, dia pun bangun dan menuju ke bilik air untuk mandi.
Ada pun, abang-abang dia dan kakak-kakak dia yang berada di Tahun Satu, Tahun Empat, Tahun Lima dan Tingkatan Satu sangat payah untuk bangun pagi.
Kadang-kala dan selalunya, ‘rotan’ jawapannya untuk membangunkan yang payah-payah itu.
Kembali kepada Nabila, nampak kesungguhan dia untuk belajar dan apabila pulang dari sekolah. Awang selalu juga tanya-tanya apa yang Nabila belajar hari ini? Dia boleh jawab dan ceritakan apa-apa peristiwa yang berlaku di sekolah Pastinya.
Beberapa pembelajaran asas yang gurunya ajar di sekolah sedikit sebanyak boleh dikuasai dan diingatinya.
Pun begitu, sehari dua ini sudah pandai nok duit belanja. Apabila ditanya untuk apa? Dia (Nabila) jawab untuk beli gila-gula atau ais krim.
Awang suka tengok Nabila ke sekolah kerana selalu bersemangat dan ceria. Berbanding dengan kakaknya (Nur Humairah) yang selalunya tertidur kembali dalam kereta ketika dalam perjalanan ke sekolah Pasti tersebut.
Awang harap dan doakan semoga Nabila boleh jadi anak yang baik dan berjaya serta maju dalam pembelajarannya…Insya’Allah.
RENUNG JAUH-JAUH….FIKIR-FIKIR MASA DEPAN
1 comments:
oooo nabiiiilaaaaaaaa......moga jadi muslimah cemerlang suatu hari nanti.
Catat Ulasan