Orang Melayu cukup kaya dengan peribahasa dan bahasa kiasan untuk menggambarkan sesuatu sama ada perkara yang baik atau yang buruk.
Awang teringat akan satu pepetah Melayu yang berbunyi ‘Rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi’.
Begitulah perumpamaan yang selayaknya diberikan terhadap sebuah projek Pasar Binjai Souq, di Batu 24, Kampung Binjai, Kemaman yang telah siap digunakan sejak setahun lalu.
Projek yang menelan belanja lebih RM16 juta itu dibina ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu diterajui oleh mantan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh.
Sebut sahaja nama ‘Idris Jusoh’ maka, sudah tentunya lemah segala urat-saraf dan sendi angkaran pemerintahannya yang berslogankan ‘Memahat Sejarah Mencipta Tamadun’.
Rupa-rupanya, banyak projek-projek semasa dia jadi Menteri Besar Terengganu yang boleh dilakarkan dalam sejarah untuk peringatan anak cucu sampai hari kiamat.
Ada orang beritahu Awang cara dan gaya pemerintahan Idris hanya mahu cepat dan dapat tunjuk-tunjuk kepada orang ramai yang ini dia (MB) buat. Dia boleh buat itu, dia boleh buat ini.
Tapi apa yang jadi buah mulut dan terkenal hasil bauh tangannya ketika menjadi MB Terengganu ialah banyak projek tidak menjadi dan tidak tahan lama. Akhirnya, runtuh dan rebah menyembah bumi.
Buat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang harganya hampir RM300 juta runtuh bumbungnya pada 2 Jun 2009 yang lalu sehari sebelum dijangka berlangsungnya satu acara sukan tertentu.
Buat Pusat Akuatik Kolam Renang di Batu Burok yang berharga belasan juta dan mungkin puluhan juta dibelanjakan pun akhirnya ‘retak menanti belah’ dan terpaksa ditutup lagi.
Buat projek Masjid Batu Putih di Kertih yang baru siap juga akhirnya runtuh bumbung yang mencederakan dua pekerjanya dan bernasib baik tidak ada kemalangan jiwa.
Bina Menara Komunikasi di Besut yang berharga jutaan ringgit juga akhirnya tumbang menyembah bumi.
Bina dan membesarkan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Kuala Terengganu juga menghadapi masalah bumbung dan landasan.
Buat Taman Rekreasi di Bandar Jertih dekat dengan Masjid Hadhari pun boleh tenggelam setiap tahun jika masuk musim tengkujuh.
Buat projek Pasar Jertih Souq pula terbengkalai dan kaku begitu sahaja. Projek pun ‘mampus’ tetapi bayaran kepada kontraktor hampir selesai dan ada yang mendakwa telah selesai.
Apa yang orang kata, barangkali semua projek-projek di zaman Idris dahulunya tidak selamat dan bakal runtuh, tumbang dan mengancam nyawa pada bila-bila masa sahaja.
Dan kembali kita kepada projek Pasar Binjai Souq pula menerima nasib yang sama walau pun lebih baik dari yang lain tetapi menjadi tekanan jiwa kepada para pengunjung dan peniaganya.
Awang diberitahu, rungutan serta keluhan para peniaga di bahagian pasar basah berkenaan kurang mendapat perhatian pihak berwajib sekadar ‘melepas batuk di tangga’ sahaja.
Terdapat ‘kecacatan’ pada beberapa bahagian struktur pasar tersebut sekaligus menggusarkan penghuninya.
Antara kerosakan paling ketara terdapat kesan kebocoran pada bahagian yang menempatkan tangki air serta berlaku keretakan struktur bangunannya.
Selain itu, banyak jubin lantai yang retak dan pecah menyebabkan berlaku banjir apabila hujan kerana dimasuki air dari bawah tanah.
Manakala, sebahagian besar dari kemudahan kipas angin tidak berfungsi dan semua pintu premis peniaga pasar basah rosak serta tidak boleh dikunci.
Bahkan, pasar berkenaan hanya ‘indah khabar dari rupa’ kerana tandasnya yang kotor, busuk serta menjijikkan para pengunjung.
Sistem perparitan serta pembentungan yang tidak mengikut ‘spesifikasi’ menyebabkan pelbagai masalah timbul dan menyusahkan para peniaga terbabit.
Seorang peniaga ikan, Encik Mohamad Zawai Mustafa, 42, berkata aduan kepada pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPk) pernah dibuat tetapi kurang mendapat perhatian.
“Kami (peniaga) ada buat beberapa kali aduan tentang masalah dan kerosakan, cuma mereka (pihak berkuasa) datang dan baiki sikit-sikit.
“Masalah besar kita (peniaga) sistem pembentungan tersumbat, kebocoran dan banjir setiap kali hari hujan,” ujarnya.
Menurutnya, setiap blok premis tersebut disewa dengan pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPk) antara RM60 hingga RM120 sebulan.
Rakannya, Shamsuddin Othman, 53, mendakwa hasil perniagaan di Pasar Binjai Souq yang baru ini kurang memuaskan.
Katanya, hasil jualan rata-rata para peniaga merosot antara 30 hingga 40 peratus dari pasar lama sebelum ini.
Menurutnya, pelbagai masalah dihadapi oleh para peniaga serta pengunjung pasar terutama dari segi keselamatan.
“Jualan kami (peniaga) merosot hampir 30 hingga 40 peratus dari tempat (pasar) lama dahulu.
“Kami (peniaga) tidak tolak pembangunan tetapi biarlah ‘benda’ (keadaan) yang lebih baik dan memuaskan,” jelasnya.
Katanya, kebimbangan para peniaga dan pengunjung tentang ‘CF’ kerana banyak kerosakan dan kecacatan dapat dilihat di pasar tersebut.
Menurutnya, projek Pasar Binjai Souq ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak mengikut ‘spesifikasi’ yang betul.
Sementara itu, seorang aktivis Kebajikan dan Kemasyarakatan Kemaman, Encik Zulkifli Mohd Yakim mahukan pihak MPk segera memberi perhatian tentang masalah di Pasar Binjai Souq.
Kata beliau, pelbagai masalah ditimbulkan oleh para peniaga termasuk keselamatan, kebocoran, keretakan struktur bangunan dan sebagainya.
“Saya harap tindakan segera diperlukan untuk baiki dan periksa kembali struktur bangunan (pasar) ini.
“Jika dinding boleh retak, jubin lantai boleh retak dan pecah, pembentungan air boleh melimpah, banjir kilat boleh berlaku sudah tentu ada yang tidak kena,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan kenapa di bahagian pasar kering satu blok masih belum boleh digunakan dan terbiar sejak setahun lalu.
Menurutnya, bangunan hadapan Pasar Binjai Souq ini umpama ‘gajah putih’ yang tersergam indah tetapi tidak boleh dimanfaatkan.
“Pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPk) diminta menjelaskan kepada orang ramai mengapa bangunan Pasar Binjai Souq ini masih belum digunakan walau pun dikatakan siap sepenuhnya.
“Orang ramai perlu tahu apa statusnya (Binjai Souq), mengapa para peniaga kuih-kuih masih berniaga di luar pasar.
“MPk mesti jelaskan kedudukan sebenar, kebajikan dan keselamatan para peniaga perlu ditentukan,” tegasnya.
Beliau menyifatkan kerja-kerja penyudah atau ‘finishing’ yang dilakukan oleh pihak kontraktor terbabit dibuat secara sambil lewa sekadar siap sahaja.
“Saya lihat ada bahagian penyudah atau ‘finishing’ yang dibuat oleh kontraktor berkenaan ambil jalan mudah dan buat sekadar siap sahaja.
“Pihak penyelia pula tidak amanah dengan memastikan kerja-kerja dilakukan menggunakan bahan dan mengikut spesifikasi ditetapkan,” ujarnya.
Pasar Binjai Souq mempunyai sebanyak 48 buah premis kesemuanya. Manakala, 24 buah menempatkan gerai basah seperti ikan, daging, ayam serta sayur-sayuran dan selebihnya untuk kuih-muih dan barangan runcit.
RENUNG-RENUNG SALAH…FIKIR-FIKIR SALAH
0 comments:
Catat Ulasan