Guane ‘Gamok’ PAS Kite?




Muslimat PAS khususnya di negeri Terengganu disarankan supaya mengambil berat untuk memperkasakan parti disemua peringkat dalam usaha menjayakan misi menjana kemenangan.

Saranan itu, dibuat oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh kepada kepimpinan Muslimat PAS Terengganu dan jentera-jentera partinya.

Sejak akhir-akhir ini, scenario politik ‘Teganu Kite’ (Terengganu) agak tidak menentu cuacanya.

Pihak lawan PAS yakni Umno-Barisan Nasional (BN) sejak dari mula lepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 tahun 2008 lalu hingga sekarang pun masih tidak ‘sendik’.

Mereka (Umno-BN) berbalah sesama sendiri tidak pernah selesai lagi sebenarnya antara puak-puak tertentu.

TETAPI….PAS dan Pakatan Rakyat pula semacam ‘tidak berminat’ untuk kembali ‘merampas’ kerusi-kerusi politik yang dijatuhkan pada PRU Ke-11 tahun 2004 lalu.

Sehinggakan, waktu itu (2004) PAS Terengganu hanya tinggal empat batu nisan yang seharusnya kena bangkit dengan kuasa ‘superman’ atau ‘ultraman’ dan bertarung dengan raksasa ‘plastik’ atau harimau ‘tidak bertaring’ Umno-BN itu.

Awang ingin sampaikan ‘apa yang orang kata’ dan menjadi percakapan di kedai-kedai kopi, warung MLM, pasar raya rakyat dan di mana sahaja.

Ramai orang kata dalam keadaan Umno-BN ‘bermasalah’ dengan penyakit ‘angin ahmar’, ‘stroke’, ‘jantung berlubang’, ‘darah tinggi’ dan semua ada tetapi PAS pula tunggu dan lihat.

Awang pun hendak juga tanya kepada orang-orang PAS, pemimpin-pemimpin tertinggi PAS dan jentera-jentera parti PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan.
PAS Terengganu ini hendak memerintah atau tidak? Apa yang orang kata, semacam tidak mahu jadi kerajaan ‘doh’…dan jika hendak pun PAS Terengganu Kita rasa macam duduk dalam ‘zon selesa’.

Benarlah kata-kata Ketua Muslimat PAS itu bahawa untuk merealisasikan kemenangan Islam beberapa ciri memperkasakan parti perlu dilakukan.

Katanya, usaha memperkasakan parti disemua peringkat perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

“Pertama, Allah SWT memerintahkan kita mewujudkan kumpulan Islam yang melaksanakan Islam secara menyeluruh yang merangkumi bidang kehidupan dengan aqidah, syariah, akhlak, ekonomi, pemerintahan dan sebagainya bagi kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara.

“Kedua, mewujudkan saf kumpulan Islam yang teguh ukhuwwahnya serta izzah dalam menghadapi musuh-musuh Islam tanpa rasa putus asa, takut dan hina.

“Ketiga, sedia berjihad secara faham dan bijak sehingga Islam tegak, berkuasa dan memerintah.

“Dan keempat, wala’ kepada Rasul dan kepimpinan Islam yang berwibawa iaitu kepimpinan yang tunduk dan taat hanya kepada Allah dan Rasul,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Muslimat PAS Negeri Terengganu yang bertemakan ‘Muslimat Penjana Kemenangan’ di Masjid Rusila, Marang, pada 6 Februari lalu.

Oleh itu, katanya sebagai pendokong gerakan Islam seperti PAS ini muslimat juga perlu diperkasakan.

Menurutnya, setiap ahli disemua peringkat organisasi parti mesti diperkasakan secara dalaman yang bercirikan kehendak Islam.

“Kita (muslimat) sebagai pendokong gerakan Islam PAS, kita (muslimat) wajib memperkasakan setiap ahli disemua peringkat organisasi parti secara dalaman dengan bercirikan kehendak Islam.

“Dalam masa sama, kita (muslimat) wajib mengatur langkah dan strategi perjuangan sebijak mungkin dalam merealisasikan kebijaksanaan berpolitik dan bermasyarakat,” tegasnya dihadapan lebih 3000 peserta dan pemerhati.

Justeru itu, beliau menyarankan agar Muslimat PAS mempunyai kemampuan berdakwah serta mengajak manusia kepada Islam.

Bahkan, katanya hingga mampu mengajak orang bukan Islam menjadi penyokong serta pendokong gerakan Islam PAS.

“Kita (muslimat) hendaklah berkemampuan mengajak manusia kepada Islam dengan menjadi penganutnya (Islam) dan mengajak bukan Islam menjadi penyokong dan pendokong kita (PAS) kerana kita (muslimat) yakin yang Islam itu adil untuk semua,” ujarnya.

Menurutnya, inilah peranan utama umat Islam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dalam menempuh kehidupan duniawi yang sementara.

Ada orang beritahu Awang yang hadir sama pada majlis tersebut Penasihat Muslimat PAS Terengganu, Hajah Fatimah Ismail, isteri Presiden PAS, Datin Seri Hajah Zainab Awang dan Ketua Muslimat Terengganu, Safinah Jusoh.

Akhir sekali, ingin Awang beri sedikit ‘pendapatan’ (pendapat) dan ‘pemandangan’ (pandangan) bahawa…bukan mudah untuk PAS tewaskan dan tumbangkan seekor ‘raksasa plastik’ atau ‘harimau tidak bertaring’ Umno-BN.

Kenapa Awang kata begitu?... sebab kedua-dua jenis ‘natang’ itu boleh ‘membunuh’ kita yang sedang tidur, asyik tidur dan selalu tidur jika tidak ada persiapan sewajarnya.

RENUNG YANG BAIK….FIKIR YANG BURUK

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top