MBKT tidak ‘reti’ urus padang bola?


Salam For All;


Sebuah padang bola sepak milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini dilihat terbiar usang, tidak terurus serta ‘menyakitkan’ mata memandangnya.

Lokasinya yang terletak di tengah pusat bandar Jalan Sultan Omar Kuala Terengganu sekaligus mencemar imej sebuah bandaraya yang diistiharkan sejak dua tahun lalu.


Ini sebenarnya, menggambarkan ‘kelemahan’ pengurusan serta kecelaruan dalam pemerintahan kerajaan negeri yang belum selesai sejak Menteri Besarnya diterajui oleh Dato’ Seri Ahmad Said.


Padang bola tersebut sebelum ini pernah dijadikan tempat menjalani latihan bagi pasukan skuad bola sepak negeri Terengganu.


Malah lebih mengecewakan apabila padang bola berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan gelanggang futsal dan bola keranjang tidak diuruskan dengan baik oleh pihak berwajib.


Baru-baru ini, Awang ada bertemu dengan member lama iaitu Pengerusi Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Mohamad Fauzi Abu Samah dan sedikit sebanyak kami bercakap juga hal tersebut.


Beliau menggesa pihak berkenaan supaya segera mengambil tindakan memulihkan padang bola MBKT yang terbiar usang itu.


Katanya, tindakan membiarkan harta kerajaan yang masih elok hingga rosak merupakan suatu pembaziran tidak wajar berlaku di negeri ini.


“Saya minta pihak MBKT segera ambil tindakan menjaga semula padang bola sepak yang terbiar usang dan mencemarkan pemandangan.


“Ini (padang) harta kerajaan dan harta rakyat yang telah dibelanjakan ribuan ringgit setiap tahun untuk kemudahan awam,” ujarnya.


Menurutnya lagi kegagalan menguruskan sebuah padang milik kerajaan memberikan menggambarkan imej bahawa ‘kelemahan’ kerajaan negeri.


Selepas itu, Awang bertemu pula dengan Pengarah Jabatan Amal Terengganu, Mohd Saiful Ambia Darusa, 39, di sebuah kedai di Jalan Sultan Omar itu.


Beliau pula berpendapat daripada padang bola sepak MBKT itu terbiar serta tidak dijaga adalah lebih baik diswastakan sahaja.


Katanya, Jabatan Amal Terengganu sebagai sebuah badan NGO di negeri ini amat memerlukan tempat-tempat permainan seumpama itu.


“Kami (Amal) memerlukan tempat-tempat rekreasi untuk kemudahan menjalankan aktiviti kepada belia remaja.


“Dari terbiar usang lebih baik diswastakan kepada mana-mana pihak terutama Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti kami (Jabatan Amal),” jelasnya.


Menurutnya, pelaburan kerajaan puluhan ribu ringgit disia-siakan yang patut dimanfaatkan sebagai tempat bersukan dan aktiviti remaja.


Saudara Mohamad Zaidan Abdullah pula berkata lokasi padang bola yang terletak di tengah pusat Bandar Kuala Terengganu menarik perhatian orang ramai.


Namun begitu, kata beliau melihat keadaan padang bola yang terbiar itu ‘menyakitkan’ pemandangan mata melihatnya.


“Melihat pada padang bola memang menyakitkan pemandangan mata. Saya rasa malu terutama kepada pengunjung luar kerana persekitaran yang kotor, sampah sarap dan terbiar,” ujarnya.


Sumber yang Awang perolehi memaklumkan bahawa padang bola MBKT tersebut terbiar usang sebaik sahaja selepas pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari 2009 lalu.


Ini kerana, padang bola tersebut pernah dijadikan markas sementara bagi menempatkan ribuan anggota-anggota polis yang bertugas sepanjang musim kempen pilihan raya tersebut.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top