Strategi Umno-BN ‘lagakan’ PAS-PR

Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Menyayang;


Salam Untuk Semua….Awang tujukan kepada sesiapa sahaja semoga diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT, Tuhan Semesta Alam ini.


Baru-baru ini, timbul lagi isu ‘Negara Islam’ yang menjadi isu yang tidak pernah ‘mati’ dan sentiasa boleh ‘dihidupkan’ oleh pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).


Pedulikan ‘apa orang kata’ tetapi hari ini Awang tetap hendak ketengahkan isu ‘Negara Islam’ sebelum isu ‘Hudud’ yang sehari dua ini kembali menjadi ‘hangat’ seolah-olah berlaku perselisihan ‘besar’ antara pemimpin PAS-DAP.


‘Dan Sebenarnya’…bagi PAS juga tetap tidak pernah berubah dengan pendirian serta dasar-dasar Islam sejak ditubuhkan hampir mencecah usianya 60 tahun lalu.


Sebab itu, jika seseorang itu matang dalam ‘beragama’ dan matang dalam ‘berpolitik’ tidak timbul lagi soal PAS dengan Negara Islam kerana jika tidak sebut pun PAS tetap dengan dasar Negara Islamnya.


Dan alangkah bodohnya, jika masih ada di kalangan pemimpin Islam Melayu Umno yang kononnya ingin mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat terutama Parti DAP dengan isu ‘Negara Islam’.


Sekadar peringatan, setiap kali isu (Negara Islam) ini ‘ditimbulkan’ sebenarnya secara sedar tidak sedar yang ‘terperangkap’ dengan mainan media massa tersebut adalah Mr Karpal Singh (DAP).


Musuh sentiasa mahu ‘melaga-lagakan’ di kalangan pemimpin PAS, PKR dan DAP antara satu sama lain agar tidak wujudnya Pakatan Rakyat sebenar.


Tetapi, yang ‘letih’ lagi ‘meletihkan’ adalah rakyat yang ‘buta kayu’ atau sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat terutama orang bukan Islam seperti orang Cina dan India.


Penjelasan demi penjelasan sudah tidak dihiraukan lagi kerana orang Melayu, orang Cina, orang India dan rakyat umumnya yang kurang pengetahuan Islam mudah ‘melenting’.


Awang masih ingat dengan kata-kata mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika beliau datang ke Kuala Terengganu dan bercakap mengenai itu tersebut.


Ketua Umum Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu ‘Negara Islam’ sebenarnya sengaja ditimbulkan bagi melaga-lagakan keutuhan Pakatan Rakyat.


Menurutnya, isu Negara Islam telah lapuk pernah dibangkitkan sejak 20 tahun lalu serta menjadi senjata terakhir Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).


Bahkan, katanya isu tersebut kini langsung tidak menjejaskan Pakatan Rakyat terbukti dalam beberapa siri pilihan raya kecil dari Kuala Terengganu hingga ke Sibu, Sarawak.


“Isu (Negara Islam) ini sudah 20 tahun dibangkit dan 10 tahun dulu sewaktu saya di penjara pun telah dibangkitkan dan sekarang ini pun dibangkitkan lagi.


“Tapi, saya tengok dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu hingga ke pilihan raya kecil di Sibu tidak menjejaskan (Pakatan Rakyat).


“Ini percubaan ‘akhir’ Umno dan Barisan Nasional hendak cuba melemahkan Pakatan Rakyat. Itu sahaja,” jelasnya.


Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Seharum dan Pilihanraya Parti KeADILan Rakyat Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Hotel Kenangan, dekat sini, 9 Julai lalu.


Katanya, isu rekaan Umno seperti Negara Islam merupakan isu ‘berkala’ atau ‘drama’ bersiri yang sering kali diulang-ulang hampir enam bulan sekali.


“Masalah (isu) ini rekaan Umno untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat tetapi dia (Umno-BN) telah cuba dan hampir setiap enam bulan sekali dibangkitkan isu ini. Isu ‘berkala’, ‘drama’ banyak siri,” ujarnya.


Selain itu, beliau mendakwa sambutan rakyat terhadap parti-parti kompunan Pakatan Rakyat seperti PAS, DAP dan PKR jauh lebih baik dari sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.


Katanya, antara negeri-negeri seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka kini mempunyai jumlah keanggotaan, jentera, kegiatan serta program yang cukup baik.


“Parti KeADILan (PKR), PAS dan DAP sekarang ini jauh lebih kuat di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka berbanding sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, tahun 2008.


“Dari segi keanggotaan, dari segi jentera, dari segi kegiatan dan program. Apakah ia cukup memuaskan, itu kita (parti) boleh buat penilaian. Apa yang nyata jauh lebih hebat dari sebelumnya,” ujarnya.


Ketika ditanya oleh para wartawan mengenai saman Menteri terhadap Parti KeADILan Rakyat (PKR) mengenai isu ‘Felda Bangkrap’, Dato’ Seri Anwar menyifatkan suatu perkembangan positif bagi rakyat.


Katanya, isu orang Melayu yang menjadi peneroka di Felda kini mula ‘terdedah’ dan ‘diketengahkan’ untuk diketahui umum.


“Pada saya (Isu Felda) bagus, bagi saya ini suatu perkembangan yang positif kerana isu Felda sekarang ‘terdedah’ dan ‘ketengah’. Orang (rakyat) akan mula tertanya-tanya, kenapa isu ini berbangkit.


“Kita (Pakatan Rakyat) ada jasa kita untuk membela nasib orang Melayu terutamanya dan peneroka Felda yang terpinggir.


“Apa janji Tun Razak. Kata dia (Razak) tidak sekali-kali kita (kerajaan) akan ambil tanah peneroka. Itu janji dia (Razak) di Parlimen dan kita (pembangkang) ulang kenyataan dia (Razak). Apa yang berlaku sekarang banyak tanah tergadai,” tegasnya.


Maknanya, isu ‘Negara Islam’ ditimbulkan kembali waktu itu untuk menutup kes Felda bakal menjadi ‘Bankrap’ jika keadaan tidak berubah dan semakin merosot.


Dan Umno-BN cukup bimbang dan ‘takut’ sekali dengan isu Felda kerana terlalu banyak penyelewengan, penipuan serta salah guna kuasa ketika menguruskan harta rakyat.


Maka, rakyat umumnya terutama di kalangan orang Melayu Umno di kawasan pendalaman serta felda yang hanya ‘bergurukan’ tv dan ‘berkitabkan’ surat-surat khabar seperti ‘Utusan Meloya’, ‘Berita Hairan’ serta yang sewaktu dengannya adalah ‘tali hayat’ parti pemerintah hari ini.


Justeru itu, tidak menjadi salah kepada rakyat untuk ‘membeli’, ‘membaca’ atau ‘meminjamkan’ media-media yang disebutkan tadi. Cuma yang diminta supaya berfikiran matang dan merdeka minda.


Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing dan pimpinan PKR Pusat, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Terengganu, Abdul Rahman Yusuf.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top