Umno-BN ‘penggelap’ masa depan?

Bismillahhirahmanirrahim;-

Baru-baru ini, Awang berpeluang meninjau-ninjau ke Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang kebetulannya sedang meraikan Jubli Perak sempena 25 tahun usia penubuhannya.

Sekolah tersebut adalah Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila, Marang bersebelah dengan rumah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

PAS Terengganu menyifatkan dasar kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ‘menggelapkan’ masa depan generasi muda di negara ini.

Tetapi sebaliknya, PAS pula menjadi mangsa tuduhan liar pihak kerajaan Barisan Nasional terhadap institusi-isntitusi pendidikan yang diusahakan selama ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Jubli Perak Ma’ahad Darul Quran (MDQ) di Restoran Suria Rasa, Rusila, Marang, baru-baru ini.

Menurutnya, di peringkat awal penubuhan institusi-institusi pendidikan PAS pelbagai cemuhan serta kecaman dialami parti.

Namun begitu, katanya sokongan dan dokongan ahli-ahli parti, ibubapa serta masyarakat setempat telah membawa kepada kejayaan tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada anggota masyarakat yang memberi kepercayaan kepada kita (PAS) terutama kepada ibubapa dan masyarakat yang memberi kepercayaan kepada kita (PAS) untuk mendidik anak-anak kita (rakyat).

“Jika dalam dewan (Dewan Undangan Negeri) saya kena serang ‘sokmo’ (selalu) oleh Barisan (Barisan Nasional) dan dia (Umno-BN) kata golongan (PAS) yang ‘menggelapkan’ masa depan anak-anak orang kampung.

“Sebenarnya, yang menggelapkan masa depan anak-anak kita (rakyat) bukan kita (PAS). Mereka (Umno-BN) yang menggelapkan masa depan anak-anak kita (rakyat),” jelasnya dihadapan 200 para hadirin.

Menurutnya, kejayaan yang pernah dikecapan oleh pihak pengurusan Ma’ahad Darul Quran (MDQ) apabila berjaya menghantar lepasan pelajar ke beberapa buah Universiti di luar negara.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat berkata ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu tahun 1999 hingga 2004 hubungan kerjasama dengan beberapa buah Universiti luar negara dicapainya.

Katanya, lepasan pelajar MDQ serta institusi pendidikan PAS boleh menyambung pengajian masing-masing ke negara Timur Tengah serta Eropah.

Sebaliknya, kata Ustaz Harun usaha PAS memajukan bidang pendidikan tersebut sering kali diganggu-gugat oleh para pemimpin Umno-BN.

“Usaha kita (PAS) ini selalu diganggu oleh Barisan Nasional. Sijil kita (sekolah PAS) yang boleh memasuki Universiti al-Azhar, Mesir diganggu oleh Barisan Nasional dengan meminta pihak al-Azhar Universiti menghapuskan segala pengiktirafannya terhadap Sijil Thanawi yang dikeluarkan di negara ini.

“Dan ini (tidak iktiraf) bukan terkena kepada kita (sekolah PAS) sahaja tetapi juga sekolah-sekolah kerajaan (negeri) yang lain,” tegasnya.

Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan PAS Terengganu mendakwa antara kejayaan partinya dalam bidang pendidikan hingga ke peringkat penubuhan kolej universiti sendiri.

Menurutnya, kemampuan kerajaan PAS memerintah Terengganu hanya melalui wang zakat anak syarikat kerajaan negeri TDM mampu menghantar lebih 50 pelajar ke United Kingdom.

“Selepas itu, kita (PAS) membuat usaha lanjutan untuk membuka Pengajian Peringkat Diploma dan kita (PAS) membuka Kolej (Kolej Universiti Darul Quran Islamiah) dalam usaha untuk mengatasi masalah pendidikan.

“Semasa kita (PAS) memerintah (Terengganu) dulu dengan wang zakat TDM sahaja kita (PAS) mampu menghantar 51 orang pelajar kita ke United Kingdom,” ujarnya.

Justeru itu, katanya tuduhan liar pihak tertentu mendakwa institusi-institusi pendidikan di bawah kendalian PAS sebagai ‘menggelapkan’ masa depan anak-anak tidak berasas sama sekali.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Husin Awang, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top