Mek Hawa ‘bolot’ projek Mat Said

Assalamualaikum w.w.t;

‘Perang’ saraf yang dihalakan kepada anak seorang ‘tok nyadat’ yang sejak dari kecil lagi gemarkan ‘ubi gadong’ nampaknya belum kunjung padamnya.

Apatah lagi, sememangnya manusia ini berhati ‘batu’ serta ‘keras’ kepala dalam saingan politiknya di negeri Terengganu Darul Iman ini.

Beliau ialah Ahmad bin Said atau panggilan ‘manja’ Mat Said yang kini menjadi Menteri Besar Terengganu, Adun Kijal serta Timbalan Pengerusi Umno-BN Terengganu.

Namanya, semakin ‘gah’ sebab baru sahaja dapat gelaran Dato’ Seri sempena hari kebesaran Sultan Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

Apa yang hendak Awang bawa ceritanya kali ini mengenai suatu nama ‘misteri’ yang boleh dianggap ‘istimewa’ oleh pihak tertentu di negeri ini.

Sebuhungan itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu diminta memberi penjelasan bagaimana dakwaan ribuan pasang pakaian persekolahan tidak diagihkan kepada rakyat.

Ini kerana, kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM8 juta wang rakyat kepada sebuah syarikat ‘istimewa’ secara runding terus.

Sumber yang Awang perolehi memaklumkan bahawa sebuah syarikat bernama Syarikat Hamie Enterprise telah menghantar surat secara terus kepada Menteri Besar Terengganu.

Surat permohonan tersebut bagi membekalkan pakaian persekolahan dengan jenama 'Ganu Kita'.

Surat permohonan Hamie Enterprise tersebut ditandatangani oleh penamanya Hamie Azreen bin Ami Nordin dan diperkenankan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said untuk menjadi syarikat membekalkan pakaian sekolah.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Hamie Azreen bukanlah pemilik tunggal mahu pun rakan kongsi Syarikat Hamie Enterprise ketika ditubuhkan pada tahun 1994.

Syarikat Hamie Enterprise adalah syarikat perniagaan tunggal milik Mek Hawa binti Abdul Rahman dan Hamie Azreen hanya dimasukkan sebagai rakan kongsi pada 6 Januari 2008.

Kemudiannya, Hamie Azreen menarik diri serta meninggalkan Syarikat Hamie Enterprise pada 26 Ogos 2008.

Ini menunjukkan, Hamie Azreen hanya digunakan sebagai penama syarikat bagi tujuan memperolehi projek membekalkan baju sekolah sebagaimana diluluskan pada 31 November 2008.

Difahamkan, sejurus selepas itu Mek Hawa binti Abdul Rahman sebagai pemilik tunggal Syarikat Hamie Enterprise telah mendapat tender membekalkan pakaian sekolah kepada 53,300 orang pelajar bernilai RM7,995,000.00.

Setiap pakej satu set pakaian bersekolahan yang dibekalkan itu berharga RM150,00 untuk diagihkan kepada lebih 53,000 orang pelajar di Terengganu.

Oleh kerana, keputusan itu tergesa-gesa dibuat pada penghujung tahun 2008 perbelanjaan sebesar itu sepatutnya ditender oleh kerajaan negeri tetapi diberi secara rundingan terus.

Sumber itu memaklumkan, syarikat berkenaan telah membuat pembelian pakaian seragam persekolahan serta peralatan tersebut dari negara China tanpa membuat rujukan kepada keperluannya mengikut saiz sebenar.

Akibatnya, meski pun telah berlalu hampir dua tahun projek membekalkan pakaian sekolah termasuk stokin dan kasut masih 'berlambak' tidak habis diagihkan kerana saiz yang tidak sesuai.

Malah, menurut laporan semakan dibuat oleh Pejabat Pelajaran Hulu Terengganu sahaja pada 5 Oktober 2009 stok yang masih ada dalam stor pejabat pelajaran daerah tersebut masih banyak tersimpan.

Antaranya, kasut sebanyak 5402 pasang, seluar panjang (5066) helai, baju kemeja sekolah lengan pendek (4222) helai, baju kurung putih perempuan (4415) helai, kain sarung biru (936) helai dan kain tudung (jilbat) putih sebanyak 2910 helai.

Manakala, lebihan pakaian serta peralatan sekolah yang belum habis diagihkan itu dilaporkan berada tersimpan di Dewan Badminton kediaman rasmi Seri Iman Menteri Besar Terengganu.

Persoalannya, siapakah wanita bernama Mek Hawa bin Abdul Rahman di sisi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang cukup istimewa nasibnya.

‘Mek Hawa’ juga dilaporkan bukan dari kalangan pemimpin Wanita Umno terkenal mahu pun Puteri Umno tetapi berjaya ‘membolot’ jutaan ringgit projek-projek tertentu di negeri Terengganu.

Malah, kata sumber tersebut ‘Mek Hawa’ juga dikatakan telah dikurniakan satu kawasan balak seluas hampir 1,200 hektar di negeri ini.

Justeru itu, Dato’ Seri Ahmad kena menjawab persoalan tersebut kerana ianya tetap menjadi tanda tanya di kalangan rakyat termasuk ahli-ahli serta penyokong Umno sendiri.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top