MB Mat Said tidak diyakini

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang;-


Setelah lebih dua tahun Dato’ Seri Ahmad Said menerajui negeri sebagai Menteri Besar kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu tetapi kepimpinannya masih tidak diyakini.


Mandat yang dipikulnya sebagai ketua kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu hanya dipandang ‘sebelah mata’ oleh banyak pihak termasuk Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini.


Realitinya, apabila Ahmad sendiri pernah membidas tindakan sesetengah JKKK di daerah Kuala Terengganu yang gagal memberi komitmen untuk hadir pada suatu majlis perjumpaan khas dengannya di Stadium Negeri, tidak lama dahulu.


Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Umno Terengganu turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap pemimpin di peringkat akar umbi tersebut yang tidak seharusnya berlaku dan perlu diperbetulkan.


Malahan, apa yang lebih mengecewakannya majlis tersebut hanya dihadiri sekitar 60 peratus dari 4,000 ahli JKKK yang terdapat di seluruh daerah Kuala Terengganu.


“Kita (saya) tidak tahu apa masalah sebenar yang berlaku sehingga ahli JKKK di daerah ini (Kuala Terengganu) begitu sukar untuk memberi kerjasama, berbeza dengan keadaan di daerah Kemaman.


“Mungkin juga masalah ini (dingin) berpunca dari kepincangan kepimpinan di peringkat Umno bahagian (Kuala Terengganu) ini,” jelasnya pada satu sidang media selepas menghadiri perjumpaan tersebut.


Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh dan Adun Bandar, Toh Chin Yaw.


Senario tersebut lantas mendapat reaksi di kalangan pimpinan PAS serta Pakatan Rakyat yang sememangnya mahu mengekalkan keadaan ‘bercelaru’ itu berterusan dalam Umno-BN Terengganu.


Justeru itu, Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata masalah dalaman Umno-BN Terengganu tidak mampu diselesaikan dengan mudah.


Menurutnya, dakwaan tersebut jelas serta disedari di peringkat akar umbi (bawahan) melalui diskriminasi terhadap pemimpin yang dikatakan bukan menjadi kumpulan mereka.


“Mereka (Umno) yang kata tidak wujud kumpulan 10 itu hanya politik kerana untuk ‘menyelamatkan’ (berselindung) diri masing-masing. Krisis itu masih tidak selesai lagi,” jelasnya.


Katanya, pelbagai alasan diberikan oleh pemimpin Umno bagi memberi gambaran kepada rakyat bahawa masalah krisis dalaman kepimpinan Umno-BN Terengganu selesai.


Kesimpulannya, kepimpinan Umno Terengganu memang bermasalah tetapi ‘pengundi’ Umno yang berlambak di ceruk kampung, desa dan Felda belum tentu bermasalah dalam hal-hal tersebut.


Betullah ‘Mat Said’ semacam berbalah dengan ‘Idris Jusoh’. Betullah ‘Mat Said’ berperang dengan ‘Gang 10 Budak Hitam’ dan betullah segala-galanya tentang krisis dalaman Umno Terengganu.


Sekali pun berlaku ‘perang mulut’ atau ‘perang politik’ di kalangan pemimpin-pemimpin tertentu yang terbabit. Ini belum tentu sebagai jaminan boleh mengalahkan parti BN dalam pilihan raya umum akan datang dengan mudah.


Kenapa Awang berkata demikian? Adakah Awang tidak yakin dengan kemaraan PAS dan Pakatan Rakyat di Terengganu khususnya? Atau..dan atau…dan atau…


Ini kerana, bukan mudah orang Umno yang ‘berkarat’ biru ‘kepala otak’ mereka itu untuk bri undi kepada PAS dan Pakatan Rakyat dengan mudah jika mereka tidak didekati.


Sebab, Awang ada pengalaman manis ketika berkempen merayu undi pada tahun 1990 kira-kira 20 tahun lalu. Kata seorang pengikut Umno Tulin yang ketika ini sudah tidak ada lagi dalam dunia ini.


Kata ‘Pak Cik Umno’ itu kepada Awang…”Awang, jika orang beri pilihan kepada Pak Cik ini satu telaga ada ‘buaya’ dan disuruh pilih atau undi PAS. Pak Cik akan pilih telaga ada buaya lagi daripada PAS”.


Maknanya, orang-orang PAS atau PKR atau DAP yang duduk atas nama Pakatan Rakyat kena dekati orang Umno, dekati orang MCA, dekati orang MIC, dekati orang Gerakan dan dekati semua orang Barisan Nasional.


Kerana, itulah sebenarnya sasaran PAS dan Pakatan Rakyat. Sasaran kita (PAS) bukan orang PAS. Sasaran kita (PKR) bukan orang PKR dan sasaran DAP juga bukan orang DAP. Sasaran kita (Pakatan Rakyat) sebenarnya adalah orang BN.


Dan Sebenarnya…., Awang pinjam tajuk lagu dari artis Yuna. “Dan Sebenarnya”…orang PAS terutama pimpinan PAS disemua peringkat ingatlah bahawa ‘kemenangan Islam’ bukan mudah meski pun semudah “Kum Fayakum” dan jika Allah kata jadi maka jadilah. Jika Allah SWT kata menang, maka menanglah.


Dan Sebenarnya…, apa yang Awang bimbangkan adalah kerana ‘tidak ada gelombang’ kebangkitan rakyat Terengganu yang ketara. Awang belum nampak secara agresif tindakan jentera parti ke arah hendak mencapai kemenangan.


Awang lagi bimbang jika di kalangan ‘kita-kita’ hanya mulut bercakap hendak menang dan memerintah. Tetapi dari segi tindakan dan kerja-kerja untuk mencapai kemenangan itu tidak dilakukan.


Apakah PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat di Terengganu ini telah berpuas hati dengan kerja-kerja untuk mencapai kemenangan?


Jika itu telah dan sedang dilakukan…Awang ucap tahniah dan syabas kerana mungkin Awang ‘terlepas’ pandang serta ‘tersilap’ hitung kemampuan Pakatan Rakyat di Terengganu ini.


TETAPI….jika yang berlaku sebaliknya dan ada kebenaran terhadap apa yang Awang coretkan di sini. Segeralah bertindak dan melangkah ke hadapan dan jangan mengundur kebelakang atau berhenti di tengah jalan


.

NOTA: ‘Yang Cantik Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa’

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top