Selamatkah Kondo Rakyat Darul Iman?





‘Rakyat Didahulukan…Pencapaian Diutamakan’ sewajarnya ditukar kepada ‘Kroni Didahulukan…Komesyen Diutamakan’ barulah sedap didengar.

Jika masalah rakyat, usaha terpekik-terlolong tidak diutamakannya oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu ini, kata member-member Awang.

Ketika Awang berada di Dungun baru-baru ini. Awang telah dihubungi melalui panggilan handphone yang meminta Awang segera ke Kondo Rakyat Darul Iman yang baru dibeli dan diduduki oleh rakyat kelas tiga.

Awang diberitahu yang penduduk sedang berkumpul di Flat Kondo Rakyat tersebut di Blok Haruan yang menjadi masalah paling besar berlaku hari ini dalam sejarah.

Tapi sayangnya, Awang tidak sempat pulang ke Kuala Terengganu kerana masih dalam tugasan tertentu dalam satu masa.

Keesokkan harinya, Awang hubungi teman Awang tersebut dari bangsa tionghua yang aktif dalam politik sejak lebih 20 tahun lalu di negeri ini.

Rupa-rupanya, kes rumah kondo rakyat yang dibuat sambil lewa seperti melepas ‘kentut di tangga’ sahaja oleh pihak kontraktor terbabit.

Awang dimaklumkan, kemungkinan besar kontraktor berkenaan dari kalangan ‘OKU’ atau ‘Orang Kuat Umno’ juga yang buat projek tersebut.

Awang juga diberitahu bahawa Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAWNT) yang menjadi pemilik sebenar Pangsapuri Kos Rendah melalui projek Kondo Rakyat (Darul Iman) Sdn. Bhd.

Pembeli rumah di 120 unit kondo rakyat tersebut mendakwa bangunan berkenaan yang baru disewabeli itu mempunyai banyak masalah serta diragui tahap keselamatannya.

Awang dibawa melawat ke lokasi berkenaan ternyata mendapati pelbagai kerosakan diadukan oleh penghuni di Blok Haruan Kondo Rakyat Darul Iman serta diibaratkan ‘rumah sudah siap, pahat masih berbunyi’.

Seorang pemilik, Encik Goh Yeow Beng, 52, mendakwa rumah flat kondo rakyat yang dibeli dengan harga RM28,000 seunit di Blok Haruan banyak kecacatan serta tidak selamat.

Katanya, kabel elektrik terkeluar dari permukaan lantai rumah di setiap bilik, kebocoran atap serta retakan berlaku dengan ketara.

“Ini rumah flat apa macam ini, wayar kabel elektrik terkeluar dari lantai simen di setiap bilik, permukaan lantai yang tidak sama, kebocoran atap, bilik air dan tandas yang tidak sempurna.

“Aduan demi aduan telah dibuat oleh para pembeli tetapi belum ada sebarang tindakan oleh pihak pemaju Kondo Rakyat (Darul Iman) Sdn. Bhd,” jelasnya.

Beliau turut melahirkan rasa hairan bagaimana pula pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) boleh mengeluarkan Sijil Kelayakan Menduduki Sementara Bangunan (CF) dalam keadaan tidak siap sepenuhnya.

Menurutnya, sijil CF tersebut telah dikeluarkan pada 6 Disember 2009 lalu di bawah Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan.

Kata beliau, semua pembeli rumah flat di Blok Haruan ini melahirkan rasa kebimbangan tahap keselamatan bangunan serta kecewa dengan mutu kerja pemajunya.

Jirannya, Encik Lee Boon Kiat, 50, terkilan serta melahirkan rasa tidak puas hati dengan keadaan fizikal bangunan di Blok Haruan Kondo Rakyat Darul Iman.

Katanya, terlalu banyak kecacatan fizikal bangunan, kerosakan, keretakan serta kemasan kerja yang dibuat sambil lewa oleh pihak kontraktor.

“Selepas saya beli dan dapatkan kunci untuk duduk di bangunan yang baru disewabeli ini tetapi terkejut dengan 1001 macam masalah.

“Kami (penghuni) tidak ada pilihan dan terpaksa duduk dan perbaiki sendiri segala masalah yang berlaku setakat kemampuan,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri yang mahu ‘merakyatkan pembangunan’ dan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ sekadar retorik sahaja.

Seorang penghuni, Puan Faridah Eny Mohd Rafin, 33, berkata meski pun rumah yang dibeli ini tidak siap sepenuh tetapi terpaksa kerana tidak ada pilihan lain.

Menurutnya, pelbagai masalah berlaku dengan rumah yang baru dibeli ini dan palin ketara di bahagian tandas dan bilik air.

“Tandas rumah saya ini bocor teruk dan menyebabkan air kumuhan tandas boleh masuk ke dalam rumah jiran di tingkat bawah flat.

“Masalah (bocor) ini telah kami (pembeli) ajukan kepada pihak bertanggungjawab tetapi hingga kini belum ada tindakan memperbaiki,” jelasnya.

Katanya, borang aduan kerosakan yang disediakan oleh pihak pemaju kepada para pembeli rumah berkenaan sekadar ‘penyedap hati’ sahaja.

Sementara itu, Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hing mendakwa masalah berlaku kerana kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu memantau kerja-kerja kontraktor di peringkat awal.

Katanya, projek yang dikatakan sudah siap dan selamat diduduki tetapi penghuni menghadapi banyak masalah yang wajar diberi perhatian.

“Kerajaan beritahu rakyat rumah kondo rakyat telah siap dan selamat tetapi berlaku keretakan bangunan, kebocoran, pendawaian elektrik tidak sempurna dan kemasan kerja yang lemah.

“Saya lihat pada masalah yang banyak berlaku ini bukan kerja sebenar kontraktor binaan. Saya yakin bangunan (Kondo Rakyat Darul Iman) ini dibuat tidak mengikut spesifikasi sebenar,” tegasnya.

Menurutnya, mungkinkah projek Pangsapuri Kos Rendah Blok Haruan tersebut diberikan kepada kontraktor ‘OKU” (Orang Kuat Umno) yang tidak berwibawa.

Harakah dimaklumkan, sebelum ini bangunan tersebut pernah terbengkalai selama lima tahun dan kondo rakyat berkenaan kini dijual dengan harga antara RM25,000 hingga RM28,000 satu unit.

Sehubungan itu, Pengurus Besar Kondo Rakyat (Darul Iman) Sdn. Bhd, Mohd Ikram Abdullah menjelaskan mengikut peraturan jual beli pihaknya diberi masa setahun untuk melakukan kerja baik pulih rumah pembeli berkenaan.

Katanya, masa setahun itu bermula dari tarikh surat makluman penyerahan kunci yang telah dikeluarkan kepada pembeli Blok Haruan tersebut bertarikh 23 Januari 2010.

“Kami (Pemaju) mempunyai masa selama setahun untuk menyelesaikan sebarang permasalahan penghuni di sini (Kondo Rakyat) selepas penyerahan kunci.

“Jadi, kenapa soal (masalah) ini dibangkitkan sedangkan ia (tempoh) masih awal dan pihak kami masih mempunyai masa untuk menyelesaikan masalah mereka (pembeli),” jelasnya.

Kesimpulannya, jawab boleh belaka dan manis-manis belaka tetapi hakikatnya rakyat yang terpaksa menanggung kerugian.

Maka, semacam ada kebenarannya apabila ada orang kata semua projek dibolot oleh ‘OKU’ bagi melengkapkan slogan baru…‘Kroni Didahulukan…Komesyen Diutamakan’.

‘JANGAN MARAH…NANTI KENA JUAL’…kata Tuan Direktor, Ahmad Nisfu dalam filem Tiga Abdul.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top