Indeks jenayah komersial naik 15.2 peratus





Salam Peringatan;-

APA SUDAH JADI… dengan negeri Terengganu Darul Iman tanahairku. Kejadian jenayah berlaku sudah tidak tentu masa dan tempat lagi. Malah, aktiviti tersebut semakin menjadi-jadi dan terus meningkat.


Sebelum diperkenalkan dengan ‘Islam Hadhari’ rasanya tidak seteruk ini dan bukanlah tidak ada kejadian jenayah langsung. Tetapi, sejak diperkenalkan Islam tiruan di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri yang lalu, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Islam semakin ‘bercelaru’ di negeri dan negara ini.


Di Terengganu, ‘Islam Hadhari’ didokongi pula oleh mantan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh ‘Enterprise’. Seorang yang ‘cerdik’ dan ‘bijak’ menghabiskan duit rakyat seperti ‘mencurah air ke daun keladi’.


Banyak projek-projek mega yang boleh dibanggakan dan menjadi realiti. Pembangunan yang dibawanya bukan lagi sekadar ‘memahat sejarah’ tetapi ‘mengukir sejarah’ kerosakan dan kemusnahan.


Contoh pertama yang Awang berikan di sini seperti runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu yang harganya ratusan juta.


Kedua, runtuhnya bumbung Masjid di Batu Putih, Kertih Kemaman. Ketiga, runtuhnya bangunan yang masih dalam pembinaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).


Keempat, tumbangnya menara telekomunikasi di Hulu Besut serta menimpa pejabat khidmat Adun Hulu Besut. Kelima, berlaku kebocoran dan keretakan kolam renang yang menjadi Pusat Arkuartik di Batu Burok, Kuala Terengganu.


Keenam, runtuhnya bumbung stesyen bas di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Ketujuh, runtuhnya bumbung Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai, di Ajil Hulu Terengganu dan banyak lagi.


Kesemua kejadian tersebut merupakan satu ‘jenayah’ dan pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin dan pemerintah negeri di kalangan orang politik yang terlibat secara langsung dengan projek-projek tersebut.


Hari ini pula, Polis Terengganu mendedahkan indeks jenayah komersial di negeri ini meningkat dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2010 ini.


Peningkatan indeks jenayah tersebut sebanyak 15.2 peratus hingga membabitkan kerugian RM2.14 juta berbanding tempoh sama tahun 2009 lepas.


Ketua Polis Terengganu, Dato’ Mohd Syukri Dahlan berkata bagi tempoh berakhir Mac lalu terdapat 219 kes dilaporkan berbanding tahun 2009 sebanyak 173 kes yang melibatkan kerugian RM2.852 juta.


Menurutnya, kegawatan ekonomi secara global adalah antara kesan kepada peningkatan kes yang disiasat.


“Pada masa kini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial kita (Polis) telah menyelesaikan sebanyak 101 kes daripada 219 kes yang dilaporkan untuk tempoh 2010 atau 46.1 peratus,” ujarnya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Terengganu di padang kawad perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, baru-baru ini.


Selain itu, katanya jumlah tangkapan mengenai penyalahgunaan dadah yang mendadak di negeri ini juga membimbangkan.


Menurutnya, pihak polis telah melakukan tangkapan seramai 2,753 orang daripada 2,640 kes sepanjang tiga bulan pertama ini berbanding 1,738 kes dengan tangkapan 1,875 orang tahun lalu.


“Perangkaan ini memperlihatkan peningkatan kes sebanyak 52 peratus dan peningkatan kes tangkapan sebanyak 47 peratus berkitan undang-undang Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983,” jelasnya.


Sementara itu, Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad turut melahirkan rasa dukacita dengan peningkatan kadar jenayah komersial di negeri ini.


Katanya, peningkatan kes dalam jenayah tersebut bukti ekonomi di negara kita masih gawat dan tidak stabil.


“Kami (PAS) rasa dukacita dan bimbang dengan laporan peningkatan jenayah komersial di Terengganu ini.


“Sebenarnya, mengikut laporan pakar ekonomi berlaku peningkatan jenayah dalam sesebuah negara itu menunjukkan bukti bahawa ekonomi negara kita (Malaysia) juga masih gawat,” ujarnya.


Oleh itu, kata beliau pemimpin negara hari ini masih gagal memulihkan keadaan serta mewujudkan kestabilan ekonomi yang berkesan.


Kesimpulannya, berlaku kejadian peningkatan jenayah sebenarnya berkait rapat dengan dasar dan corak pemerintahan sesebuah negeri atau negara. Jika, ‘kepala’ (ketua) negara itu tergolong di kalangan yang sama label sudah pasti ‘ekornya’ (rakyat) akan mengikutnya.


Maknanya, rakyat kena suluh dan melihat secara mendalam adakah ketua negara atau ketua negeri kita ini di kalangan orang yang beriman atau termasuk di kalangan ‘kaki rasuah’, ‘kaki botol’, ‘kaki betina’, ‘kaki judi’ atau ‘kaki pembohong’.


Rakyat kena buah pilihan yang benar-benar bebas dan berani sama seperti rakyat di Sibu, Sarawak baru-baru ini. Meski pun, ada di kalangan rakyat dan pengundinya masih berminat ‘makan kera’ atau ‘bercawat’ kata orang. Tetapi, penderian mereka bebas dan merdeka.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top