Salam Orang Kampungku:
Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu digesa agar menyelesaikan segera masalah 46 buah rumah penduduk di Kampung Habib Mohsin Kuala Kemaman yang bakal dirobohkan.
Penduduk terbabit sebenarnya merupakan saki baki dari ratusan buah rumah penduduk yang terlibat dengan mangsa hakisan ombak di Kuala Kemaman dan perpindahan ke Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) sejak tahun 20000.
Ketika kerajaan PAS Terengganu memerintah sebelum ini pernah mengagihkan sebahagian besar penduduk terbabit ke RTB Kampung Fikri dan RTB Paya Berenjut selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-10, lalu.
Kebetulannya, Awang lama tidak balik kampung dan ketika sekali-sekala balik kampong dapat melihat serta menyelami apa permasalahan yang berlaku sebenarnya.
Awang diberitahu masih terdapat hampir 50 buah rumah penduduk yang masih tinggal menetap di tanah milik persendirian tersebut sejak lebih 40 tahun lalu.
Dilema penduduknya hari ini apabila pemilik tanah berkenaan telah mengeluarkan notis amaran bertulis agar mengosongkan hartanah tersebut pada 11 Jun 2009 lagi.
Seorang penduduk warga emas, Ismail Awang, 67, dari Kampung Habib Mohsin memohon agar kerajaan negeri menyediakan tanah-tanah lot di kawasan perpindahan di Kampung Fikri atau Paya Berenjut.
Katanya, kebimbangan penduduk kerana pemilik tanah telah beberapa kali mengarahkan secara bertulis dan lisan agar dikosongkan segera.
“Saya tinggal di sini (Kampung Habib Mohsin) sejak lebih 40 tahun lalu dan ratusan penduduk tinggal menumpang.
“Sebahagian dari kami (penduduk) telah diberi tanah lot perpindahan di Kampung Fikri dan Paya Berenjut semasa kerajaan PAS Terengganu dan sebelumnya lagi.
“Saya merayu kerajaan negeri menyelesaikan masalah rakyat yang miskin dan tidak ada penempatan lain,” jelasnya yang dikenali dengan panggilan Pok Weil.
Beliau mengakui tidak ada pilihan lain untuk berpindah kerana tidak mempunyai tanah serta menghadapi masalah kesihatan.
Saudara Ahmad Ariffin Mohid Mohamad, 39, pekerja bengkel anak tiga berkata penduduk bukan berdegil tidak mahu pindah tetapi tidak ada pilihan.
“Saya bekerja di bengkel kereta, anak ada tiga orang dan isteri pula sering kali tidak sihat. Saya tidak ada pilihan untuk berpindah kerana tidak mampu dengan sumber kewangan.
“Saya dilahir dan dibesarkan di sini (Kampung Habib) tetapi menumpang di atas tanah milik orang lain,” ujarnya.
Beliau merayu dan memohon agar kerajaan negeri yang berslogankan ‘rakyat didahulukan’ dan ‘merakyatkan pembangunan’ menyediakan keperluan tersebut.
Katanya, penduduk sedia berpindah ke rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang disediakan oleh pihak kerajaan negeri.
Seorang nelayan, Mohd Alwi Jusoh, 51, tinggal bersama ibunya seorang warga emas, Puan Zainab Ismail, 70, turut menerima notis agar berpindah.
Katanya, pendapatan seorang nelayan tidak mampu untuk menyediakan rumah baru tanpa tanah penempatan.
“Saya bekerja ‘ke laut’ (nelayan) sejak dari ‘budak’ (remaja) dan tidak pandai untuk buat kerja lain untuk sara hidup diri.
“Ibu saya (Puan Zainab) juga berkerja ambil upah menyiang ikan untuk dibuat keropok lekor di kampung (Habib Mohsin) ini,” ujarnya.
Sepatutnya, kata beliau ibunya sebagai menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) layak menerima rumah PPRT yang disediakan kerajaan negeri.
Menurutnya, banyak kes yang berlaku penerima bantuan rumah PPRT adalah terdiri dari kalangan yang mampu serta telah mempunyai rumah kediaman masing-masing.
Encik Ali @ Salleh Mat, 65, bekerja sendiri telah menetap di atas tanah tumpang di Kampung Habib Mohsin ini sejak lebih 30 tahun lalu.
“Saya pun terima notis dari tuan tanah yang jadi pewaris sekarang supaya dikosongkan segera oleh semua penduduk di sini.
“Masalahnya, kami (penduduk) semua tidak ada tanah lain untuk berpindah dan kerajaan kena bantulah rakyat hari ini,” jelasnya.
Beliau yang merupakan seorang imam di Surau Kampung Habib Mohsin buntu serta bimbang masa depan keluarga kelak.
‘Dan Sebenarnya’…, penempatan di Kampung Habib Mohsin ini berlaku sejak lebih 50 tahun lalu dan kini pewarisnya menuntut agar tanah-tanah tersebut dikosongkan bagi tujuan pembangunan.
Persoalannya, kerajaan mewar-warkan ‘rakyat didahulukan…pencapaian diutamakan’. Benarkah begitu? Awang tidak boleh jawab persoalan itu tetapi yang boleh beri jawapan adalah rakyat sendiri.
Jika rakyat didahulukan kenapa masih terdapat di kalangan rakyat yang hidup susah, termiskin dan merepat di tanahair sendiri.
Siasatan Gisbh: Hukum Pihak Bersalah, Hindari Ketidakadilan
2 bulan yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan