Melayu Felda selamanya ditipu?








BENARKAH….’Dulu, Kini dan Selamanya’ orang-orang Melayu terutamanya di kawasan Felda-felda dan pendalaman ditipu oleh pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN)?

Jika benarlah begitu..kenapa? dan apa buktinya bagi menguat-kukuh hujah yang memperkatakan sedemikian itu.

Awang pun ada juga serba sedikit melihat perkembangan serta memandang serius pendapat yang sedemikian dan jika benar malanglah sekali nasib orang-orang Melayu ini.

Cuba kita pakat-pakat renung dan fakir sejenak bagaimana dengan senario terakhir yang berlaku di Hulu Selangor bagi mencari hujah tersebut.

Ada orang kata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan menewaskan calon Pakatan Rakyat, Dato’ Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil P94 Hulu Selangor kerana sikap pengundi Melayu di kawasan Felda dan pendalaman.

Sikap pengundi Melayu Felda di seluruh negara sebenarnya hampir sama yang sukar membuat perubahan serta mudah ditipu selama-lamanya oleh kerajaan Umno-BN.

Keputusannya, calon MIC-BN, P Kamalanathan menang dengan memperolehi 24,997 undi, calon Parti KeADILan Rakyat (PKR) dari Pakatan Rakyat, Dato’ Zaid Ibrahim mendapat 23,272 undi, majoritinya 1,725 undi dan undi rosak 731 undi.

Peratusan keluar mengundi kali ini sebanyak 75.87 peratus dan meningkat sedikit dari tahun 2008 sebanyak 75.24 peratus dengan jumlah 63,701 pengundinya.

Berikutan itu, Awang sempat bertanyakan kepada salah seorang dari kalangan pimpinan PAS Terengganu iaitu Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Hanafiah Mat.

Beliau menyifatkan kemenangan BN di Hulu Selangor kerana berjaya memanipulasikan pengundi Melayu di Felda dan di kawasan pendalaman.

Katanya, pemimpin BN berjaya menawarkan pelbagai janji, pembangunan dan kemudahan kepada rakyat di Hulu Selangor.

“Pengalaman kami (PAS) sepanjang tempoh 10 hari berkempen mendapati rakyat di Feldan dan pendalaman berada dalam Zon selesa.

“Peneroka terutama warga emas diberi pendapatan tetap sebanyak RM1,500 sebulan cukup untuk menampung keluarga,” jelasnya.

Menurutnya, peneroka menaruh keyakinan yang sangat tinggi bahawa hanya felda yang boleh menyelesaikan masalah.

Bahkan, rakyat seakan percaya dan yakin dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak akan membela nasib peneroka dan generasi keduanya.

“Contohnya, peruntukan RM30 juta untuk projek perumahan di Felda Suharto yang telah dirasmikan majlis pecah tanah tanpa perbincangan dengan kerajaan negeri.

“Peneroka tidak sedar yang mereka sering kali ‘digula-gulakan’ dan mudah ditipu setiap kali janji pilihan raya berlaku sebenarnya,” ujar Hanafiah.

Selain itu, katanya maklumat kebaikan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat Selangor selama ini tidak sampai kepengetahuan rakyat.

Menurutnya, rakyat di pendalaman dan felda beranggapan apa yang dilakukan kebajikan oleh kerajaan negeri tersebut adalah peruntukan pusat di bawah Barisan Nasional.

Katanya, generasi kedua, ketiga dan keempat felda juga masih belum merasai nikmat kebajikan di bawah kerajaan negeri yang baru masuk tahun kedua pemerintahan.

“Kita (PAS) dapat kesan berlaku ugutan dari agensi Felda yang mengugut para peneroka dan akan diambil tindakan jika menyokong Pakatan Rakyat.

“Contoh, ada peneroka yang telah bersedia untuk memberi rumah mereka sebagai pentas ceramah tiba-tiba anaknya telefon minta dibatalkan kerana ada tekanan,” ujarnya.

Selain itu, kata Hanafiah Umno-BN berjaya ‘menjinakkan’ anak-anak muda di felda-felda dengan umpan duit serta hiburan.

Menurutnya, gejala sosial berleluasa seperti masalah pengambilan dadah, aktiviti merempit, jenayah curi motosikal, pergaulan bebas berlaku terutama di kalangan penyokong tegar Umno-BN.

“Saya lihat kurangnya program keagamaan seperti kelas fardhu ain, kuliah agama di surau dan masjid yang boleh memberi kesedaran Islam,” ujarnya.

Namun begitu, katanya kehadiran PAS serta para petugas kempen di panjang pilihan raya tersebut disambut baik oleh sebahagian besar penduduk dan rakyat setempat.

Menurutnya, kesemua kepimpinan PAS Terengganu turun ‘padang’ dan berkampung di Hulu Selangor dalam semangat setiakawan Pakatan Rakyat.

Jika benarlah pandangan seperti di atas maka, adalah wajar pemimpin Pakatan Rakyat membuat pendekatan baru mendekati golongan tersebut dan usah biarkan ‘dihanyutkan’ oleh pemimpin Umno-BN.

Usaha selamatkan generasi muda perlu diambilkira jika PAS-Pakatan Rakyat bercita-cita benar untuk mara ke Putrajaya bagi mengambil-alih ‘pemandunya’ dan bukan sekadar menjadi ‘penumpang’ melawat Putrajaya tersebut.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top