Selamat Ulang Tahun Faris al-Audah

Salam Untuk Semua;


Bertemu kembali kita diarena penulisan ini. Rasanya telah beberapa hari Awang tidak mencoretkan apa-apa penulisan mengikut kehendak ‘apa orang kata’.

‘Dan Sebenarnya’…sejak beberapa hari lalu, Awang terlalu sibuk dan tidak cukup masa kerana menguruskan beberapa masalah keluarga dan anak-beranak.

Pertama, keadaan si-isteri yang agak keuzuran dan sangat terganggu dengan kesihatannya. Al-maklumlah, kami kini sedang menunggu kehadiran ‘orang baru’ di dunia ini.

‘Dan Sebenarnya’…ini bukanlah kali pertama kami menunggunya. Bahkan, ini merupakan kehadiran ‘orang’ yang ke-9 dalam hidup kami yang aman damai ini.

Ya…kami sedang menanti kelahiran anakanda yang ke-9. Semoga, kelahirannya kelak dalam keadaan selamat dan penuh keberkatan, Insya’Allah.

Sebab Awang berkata demikian kerana dua tahun yang lalu, Awang pernah menerima pemberi Tuhan sepasang anak kembar. Kesemuanya, adalah ‘mujahidin’ (lelaki) dan kembar seiras.

Betapa gembiranya kami ketika itu hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui-Nya dan bukan kerana kelahiran pertama tetapi kerana bersyukur dengan Rahmat-Nya.


Meski pun, pendapatan Awang tidak sebesar mana tetapi rezeki Allah untuk anak-anak tetap ada dan ditentukan-Nya.

Maka, ditakdir oleh Allah SWT…pada 12 Mei 2008 lahirlah dua orang putera mujahidin kami di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu. Setelah ibunya, ‘bertaruh’ nyawa semalaman.


Kelahiran pertama, sekitar jam 5.54 pagi dan sebaik sahaja keluar dan belum dibersihkan lagi. Maka, Awang pangku dan segera azan dan iqamah di teliga kanan dan kirinya. Mujahidin kelapan ini selamat dan sihat.

Beberapa minit kemudian, berlaku pula proses kelahiran kedua dan berlaku di depan mata Awang sendiri. Kelihatan para pembantu jururawat agak ‘cemas’ ketika proses tersebut.

Waktu itu, isteri Awang memaklumkan beberapa kali yang kelahiran kedua ini hamper keluar. Namun, ‘ditahan’ oleh salah seorang jururawat yang bertugas.

Awang pun rasa pelik kenapa ‘ditahan’ sedangkan anak mahu keluar. Awang agak ‘jahil’ kerana bukan bidang Awang.

Setelah 18 minit, barulah proses kelahiran dilakukan apabila seorang doktor hadir sama untuk menyelesaikan keadaan tersebut.

Kelahiran kedua untuk anak kelapan kami itu berjaya dikeluarkan pada jam 6.12 minit pagi selepas 18 minit kelahiran yang pertama untuk anak ketujuh tersebut.

Keputusannya, anak kami itu disahkan meninggal dunia dan Awang redha tetapi agak terkilan kerana kecuaian manusia yang bernama doktor.


Maksudnya, bukan kecewa dengan takdir tetapi kecewa kerana kecuaian manusia. Ini kerana, sebelum itu, setiap bulan, setiap minggu dan setiap hari diperiksa kandungan itu sihat serta tidak bermasalah.

Bahkan, disaat kelahiran dan Awang menemani isteri beberapa jam bersama di bilik bersalin. Mengikut bacaan alatan di hospital kandungan baik, anak sihat-sihat belaka cuma menunggu masa keluar.

Tiba-tiba, apabila kelahiran pertama berjaya dan selamat dan kelahiran kedua meninggal dunia di saat kelahirannya. Maka, pihak hospital dan doktor yang bertanggungjawab memaklumkan kepada kami.

“Maaf encik, anak kedua kembar tuan-puan tidak hidup dan telah lama meninggal dunia ketika di dalam perut lagi dan mungkin seminggu lalu”, kata doktor.

Jawapan tersebut, sebenarnya cukup membakar hati dan jiwa Awang. Tetapi, Awang bersabar kerana melihat keadaan isteri yang masih lemah.

Setelah dibawa pulang untuk urusan pengkebumianya dan ketika proses memandikan jenazah tersebut. Timbul suatu hujah yang menguatkan kata hati Awang kematian itu kerana kecuaian doktor dan jururawat.

Ketika jenayah putera mujahidin itu dimandikan. Awang dapat melihat dengan jelas, darah masih mengalir keluar dari lubang hidung dan telinganya. Keadaan kulit dibahagian alat sulit bayi tersebut luka dan terkoyak.


Jika benar, bayi telah meninggal dalam tempoh dua minggu ketika di dalam perut kata doktor. Kenapa, sebelum itu setiap hari diperiksa hingga beberapa jam sebelum kelahiran pertama dikhabarkan selamat kepada kami.

Pada mulanya, Awang bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang tetapi terpaksa dibatalkan kerana tidak mahu panjangkan isu tersebut.


‘Dan Sebenarnya’…Awang telah abadikan satu nama kepada anakanda Awang yang kini berada di alam Syurga itu dengan satu nama kanak-kanal Palestin yang juga Syahid dibunuh dengan kereta kebal oleh tentera Yahudi-Israel.

Nama kanak-kanak Palestin itu ialah as-Syahid Faris Audah. Gambar kanak-kanak itu menjadi idola melalui poster-poster ketika kanak-kanak berusia 9 tahun itu sedang melontar anak-anak batu kepada tentera Israel.

Faris Audah itu ditembak dari jarak dekat dan syahid di hadapan kereta kebal Israel. Ceritanya, cukup menyayat hati jika kita mendengar dari ucapan ibunya.

‘Dan Sebenarnya’…nama itu telah Awang ilhamkan dan simpan ketika seminggu kelahiran anak kami yang keenam (perempuan) bernama Nur Ain Nabila. Tetapi, oleh kerana cinta Awang yang cukup kuat pada nama tersebut (Faris Audah). Maka, Awang abadikan pada anakanda Awang juga yang syahid itu.

Namun begitu, pasangan kembarnya yang hidup itu juga Awang namanya dengan nama Faris al-Audah dan nama yang hampir sama dengan si adik yang meninggal dunia itu ‘Faris Audah’.

Hari ini, Rabu (12 Mei 2010) genaplah usia dua tahun anakanda kami Faris Al-Audah. Anak lelaki yang lincah dan aktif dan cukup menghiburkan. ‘Selamat Hari Jadi’ semoga dipanjangkan umur hendak-Nya.

Dan disaat ini juga, kami sedang menunggu lagi kelahiran ‘orang baru’ di dunia ini. Entah lelaki, entah perempuan…apa yang pasti kandungan tersebut masih sihat dan wal’afiat disaat ini.

Kerana hal-hal demikianlah…membuatkan pergerakan Awang agak terhad dan terbatas. Selagi, tidak ‘selesai’ (kelahiran) selagi itulah pergerakan masa Awang agak terbatas.

Apa pun, Awang akan cuba penuhi ruang-ruang waktu yang ada untuk menulis dan menulis sekadar kemampuan yang terbatas. Selepas ini, Awang akan cuba lakarkan paling kurang satu hari satu penulisan dan satu isu, Insya’Allah.



0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top