PASTI jambatan masyarakat

Salam Ukhuwwah Untuk Semua;-

Kewujudan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) jika tidak silap Awang bermula tahun 1985 lagi dan jika tersilap harap dapat diperbetulkan kemudian. (rekod ada tapi tidak sempat hendak check-harap maaf).

Kewujudan Pasti juga pada awalnya menghadapi pelbagai rintangan, mehnah dan tribulasi agar pusat pendidikan pra-sekolah tersebut ‘mati’.

Oleh yang demikian, kewujudannya juga seolah-olah ‘mengancam’ pihak pemerintah sekaligus membawa kepada pelbagai tekanan cuba dilakukan.

Bahkan, Pasti tersebut pernah diheret ke mahkamah dan gurunya didakwa bagi menakut-nakutkan para ibubapa serta orang ramai.

“Dan Sebenarnya… Awang melihat Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) boleh dijadikan tali penghubung serta ‘jambatan’ antara PAS dan masyarakat setempat.

Peranan Pasti sejak lebih 20 tahun lalu juga tidak boleh dinafikan serta boleh diterima kewujudannya dalam masyarakat.

Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Wakaf Mempelam, Ghazali Abd Ghani berkata peranan serta kewujudan Pasti dalam masyarakat di negeri ini tidak boleh dinafikan.

Katanya, pusat pendidikan pra-sekolah Pasti yang diwujudkan oleh PAS berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang dalam akademik.

“Pasti kita (PAS) telah wujud sejak lebih 20 tahun lalu dan berperanan besar dalam masyarakat terutama pendidikan pra-sekolah.

“Saya lihat Pasti boleh jadi tali penghubung antara kita (PAS) dengan ibubapa dan masyarakat setempat seperti ‘jambatan’,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakah pada majlis penyampaian hadiah sempena Pertandingan Sukan Pasti Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, di Gelanggang Futsal Durian Burung, dekat sini, baru-baru ini.

Pengarah program, Yusuf Embong berkata aktiviti sukan Pasti Dun Wakaf Mempelam ini merupakan agenda tahunannya.

Katanya, program seperti ini boleh merapatkan hubungan antara Pasti dengan ibubapa serta masyarakat setempat.

“Ini (sukan) program tahunan kami (Pasti) yang boleh menjalinkan hubungan baik dengan ibubapa pelajar dan masyarakat setempat.

“Sebab, bukan semua ibubapa pelajar Pasti orang PAS sahaja dan melalui aktiviti bersukan boleh mengenali lebih dekat antara satu sama lain,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti sukaneka diadakan yang melibatkan para pelajar di tujuh buah Pasti dalam Dun Wakaf Mempelam seperti Pasti Darul Salam, Pasti Matlain Badrin, Pasti As-Sabiqun, Pasti Pintar, Pasti Al-Ehsan, Pasti Al-Rahman dan Pasti Al-Imran.

TAMAT

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top