“Melayu Bangkit”-Tangguh Takut BN Kalah Sibu

Salam…’Anti Rasis’:-
Umno disyaki menjadi ‘dalang’ bagi penganjuran satu program “Melayu Bangkit” bersama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sepatutnya dijadualkan pada 13 Mei 2010 ini.

Namun begitu, ianya ‘terpaksa’ dibatalkan setelah mendapat bantahan dari pelbagai pihak termasuk dari kalangan rakan-rakan Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan.

Pada pendapat serta pandangan Awang dan berdasarkan ‘apa orang kata’ program tersebut terpaksa ditangguhkan buat sementara kerana Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, Sarawak, hari ini (16 Mei 2010).

‘Dan Sebenarnya;…BN takut kalah di Sibu jika program tersebut yang bersifat perkauman diteruskan kerana mengingati tragedi hitam 13 Mei 1969.

Program tersebut anjuran Institut Integriti kerajaan negeri dengan kerjasama sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) yang dipengerusikan Timbalan Ketua Umno Marang, Razali Idris.

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) telah membuat satu laporan polis berkaitan program tersebut di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu, dekat sini.

Ketuanya, Ustaz Mohd Noor Hamzah berkata Pemuda PAS menganggap program “Melayu Bangkit” tersebut bertentangan dengan Akta Hasutan serta berbentuk sentimen perkauman.

“Hari ini, kita (Pemuda PAS) buat satu laporan polis tentang program yang dianjurkan pihak kerajaan negeri dibawah Institut Integriti bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Program ‘Melayu Bangkit’. Kami (PAS) anggap program ini dalam tiga keadaan iaitu Pertama, program ini bercanggah dengan Akta Hasutan kerana ia membentuk sentimen perkauman.

“Seolah-olah melahirkan kebencian perkauman dan menyemarakkan semula perasaan rasa marah dan permusuhan antara kaum dan mengancam keselamatan dalam negara kita.

“Kedua, program ini memberikan satu respon yang buruk terhadap bangsa Melayu. Seolah-olah, bangsa Melayu lemah, bangsa Melayu hina dan bangsa Melayu tidak memiliki maruah. Inilah penilaian yang dibuat oleh Umno terhadap bangsa Melayu.

“Ketiga, program yang dianjurkan oleh Umno ini adalah untuk menarik dan menipu rakyat kerana Umno sebenarnya pengkhianat dan bersifat hipokrit terhadap bangsa Melayu sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian di perkarangan IPD Polis Kuala Terengganu selepas membuat laporan polis pada jam 9.40 pagi terhadap penganjurnya.

Katanya, PAS mempunyai hujah yang kuat bagi penilaian hipokrit Umno terhadap bangsa Melayu sendiri.

Menurutnya, beberapa contoh sebagai bukti hipokrit Umno apabila bertindak merampas royalti minyak dari kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong menegaskan kerajaan yang dipilih oleh rakyat itu majoritinya Melayu tetapi hak rakyat Melayu ini dinafikan di negeri Terengganu dan Kelantan.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika dibawah pemerintahan Tun Dr Mahathir telah memberhentikan bantuan perkapita bagi Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR).

“Ketika dibawah pemerintahan Tun Dr Mahathir lagi bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat (SAR) diberhentikan serta memberi suatu ancaman besar dan tekanan hebat penindasan terhadap sekolah agama rakyat,” ujarnya.

Begitu juga, katanya penyerahan dan tergadainya pulau Singapura kepada bangsa bukan Melayu oleh kepimpinan Umno-BN waktu itu.

Menurutnya, Pulau Redang yang mempunyai nilai pelancongan diserahkan kepada taukeh judi besar Vincent Tan.

Manakala, katanya episod pembolotan projek-projek yang bernilai jutaan ringgit di Pulau Wan Man dan Pulau Duyong oleh Patrick Lim serta kroni-kroni Umno-BN.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda PAS Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas menggesa pihak polis segera melakukan siasatan terhadap program “Melayu Bangkit” yang bakal diadakan 13 Mei 2010 ini.

Katanya, pihak polis tanpa perlu rasa takut serta memihak hendaklah menyiasat program tersebut kerana dikhuatiri wujud unsur-unsur jenayah dan provokasi.

“Ini jelas, apabila tajuk “Melayu Bangkit” itu dipadukan dengan tarikh 13 Mei sudah dimaklumi bahawa ianya sejarah hitam peristiwa berdarah antara kaum di Malaysia yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969,” tegasnya.
Malah, katanya badan NGO Gertak juga perlu disiasat di bawah Akta Pertubuhan bagi memastikan pengesahan pendaftaran pertubuhan berkenaan.

Beliau turut menyifatkan program seumpama itu bersifat menipu rakyat dan bangsa Melayu agar bersama-sama dengan Umno.

Menurutnya, sifat hipokrit Umno itu sehingga sanggup melanggar Akta Hasutan serta undang-undang di negara ini.

“Hakikatnya, Melayu sebenarnya perlu bangkit untuk menyedarkan Umno dan menjatuhkan Umno dalam pilihan raya yang akan datang kerana sifat hipokrit mereka (pemimpin) sehingga mereka (Umno) sanggup melanggari Akta Hasutan yang ada dalam negara kita.

“Kita (PAS) minta pihak keselamatan (polis) membatalkan segera program seumpama ini yang sebenarnya mengganggu dan mengancam keselamatan negara.

“Ini juga bercanggah dengan konsep 1Malaysia dan jika mereka (Umno) benar-benar mempunyai niat yang baik untuk menyatukan rakyat. Mereka (Umno) tidak buat berbentuk sentimen perkauman tetapi berbentuk sentimen rakyat Malaysia,” ujarnya.

Hadir sama mengiringi DPPNT membuat laporan polis Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Syeikh Mohd Hanafi Syeikh Abdul Aziz, Pengarah Jabatan Amal Terengganu, Ustaz Mohd Saiful Ambia Darusa serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa Pemuda Negeri.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top