Perak ‘mini’ Malaysia



Salam Perpaduan;-


Pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya berusaha untuk sedaya upaya bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kerana bimbang boleh model kepada rakyat seluruhnya.


Sebab itu, perancangan rapi dilakukan dengan terancang melibatkan penggunaan wang berjuta-juta ringgit termasuk bagi ‘membeli’ wakil rakyat Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, DAP dan PKR.


Setakat ini, wakil rakyat PAS ‘kebal’ kerana telah melalui proses kematangan dalam berparti sejak lebih 50 tahun ditubuhkan di negara ini.


Begitu juga dengan parti DAP dan jika masih berlaku pun kes terpencil tetapi juga menuju proses kematangan berpolitik.


Namun begitu, wakil rakyat PKR kini masih dalam proses menuju kematangan untuk ‘membuang’ seberapa banyak ‘duri dalam daging’ dan ianya telah, sedang dan akan berlaku dari masa ke semasa.


Kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak melalui ‘rampasan’ kuasa secara kotor dan jijik itu kini menjadi bahan sejarah yang akan dikenang oleh rakyat hari ini hingga ke generasi akan datang.


Awang cuba juga merungkai kenapa Perak menjagi idaman yang amat sangat oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) hingga sanggup berbelanja besar semata-mata mahu Perak dikembalikan ke tangan Umno-BN walau dengan apa cara sekali pun…halal atau haram.


Bekas Menteri Besar kerajaan Pakatan Rakyat yang ‘digulingkan’ di Perak, Dato’ Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin mendakwa Perak merupakan contoh ‘mini’ Malaysia.


Ini kerana, katanya suasana di negeri-negeri lain tidak sama dengan ciri-ciri komposisi kaum dan status rakyat di negara ini kecuali Perak.


“Perak merupakan contoh ‘mini Malaysia’. Selangor tidak, Pulau Pinang tidak, Kedah dan Kelantan tidak, Terengganu pun tidak mempamerkan Malaysia.


Malaysia dipamerkan jika saudara dan saudari lihat di negeri Perak. Komposisinya, status rakyatnya seakan-akan Malaysia dan itulah ‘mini’ Malaysia,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang Kali Ke-26 di Masjid Rusila, Marang, baru-baru ini.


Menurutnya, selama masa 10 bulan setengah kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negeri Perak pelbagai persepsi diberi dan dimainkan oleh media dan kerajaan Barisan Nasional (BN).


Katanya, tindakan serta mesej yang ingin disampaikan oleh PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak betul tetapi telah dipersepsikan dengan cara yang negatif.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut mendedahkan terdapat di kalangan pimpinan profesional bukan Islam dari DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) sebelum ini pernah memusuhi PAS.


Menurutnya, sebelum wujud Pakatan Rakyat di kalangan bukan Islam diberikan persepsi yang terlalu negatif terhadap PAS.


“Mereka (bukan Islam) pernah mengakui sebelum adanya Pakatan Rakyat, mereka (rakyat) membenci PAS dan membenci Islam ini.


“Tetapi, hari ini mereka (bukan Islam) berikan sokongan yang cukup kuat dan padu tanpa ragu-ragu kepada PAS dan Pakatan Rakyat,” ujarnya.


Dato’ Seri Nizar turut mengulangi peringatan dari pesanan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz agar menjaga harapan seluruh rakyat serta tidak khianat.


“Selama 10 bulan setengah saya memimpin kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan hampir setiap bulan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru, Dato’ Nik Aziz menelefon dan berpesan kepada saya.


“Peliharalah harapan ini, jaga molek-molek dan jangan khianat. Harapan rakyat Malaysia Melayu, Cina dan India kepada PAS,” tegasnya.


Bahkan, katanya selama tempoh tersebut terdapat di kalangan pimpinan bukan Islam dari DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) mula mengenali Islam.


Menurutnya, pemimpin DAP, PKR dan orang bukan Islam mula mengenali Allah SWT, ilmu Islam serta rapat dengan ayat-ayat al-Quran.


Pada majlis tersebut beliau turut menerima borang kemasukkan keahlian kelab penyokong PAS kawasan Marang daripada pengerusinya, Encik Chai Seng bersama lima rakan tionghuanya dan disaksikan oleh Yang Dipertua PAS Marang, Yahaya Ali.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top