Warga beca perlukan perhatian

Salam Abang Beca;

KUALA TERENGGANU: Golongan penarik beca di daerah Kuala Terengganu kini semakin terpinggir dan wajar diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata warga penarik beca di daerah ini tinggal 52 orang termasuk yang kurang aktif.

Katanya, golongan tersebut wajar diberi perhatian oleh kerajaan kerana termasuk dalam kelompok miskin dan mudah miskin.

Beliau mendakwa warga penarik beca seolah-olah terpinggir dan tidak dipedulikan dalam dengan sewajarnya.

“Sekarang ini ada 52 orang penarik beca sama ada yang aktif atau tidak aktif lagi. Dan mereka sangat-sangat memerlukan perhatian dari kita.

“Selama ini mereka seolah-olah dipinggirkan. Pemberian (sumbangan) kita tidak seberapa tetapi cukup sekadar menunjukkan tanda keprihatinan kita terhadap golongan penarik beca,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Program Cakna Penarik Beca anjuran DAP Terengganu dengan kerjasama PAS Cawangan Jalan Banggol, Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, rakyat disemua lapisan masyarakat kini sedar pembaziran dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru itu, kata Dato’ Tengku Hassan ‘gelombang’ angin perubahan turut menjiwai warga penarik beca.

“Kita (PAS) harap mereka (penarik beca) boleh berfikir tentang isu-isu yang berlaku sekarang ini.

“Golongan ini juga tahu masalah pembaziran kerajaan dan penyelewengan yang menuntut ‘gelombang’ mahukan perubahan.

“Mereka sedih dan tertekan dengan kenaikan harga barang yang melampau kerana mereka tidak mempunyai pendapatan yang tetap,” jelasnya.

Menurutnya, ‘mood’ yang ada sekarang rakyat telah hilang kepercayaan kepada pemerintah Umno-BN.

Tambahnya, mudah-mudahan warga penarik beca dapat berfikir dengan lebih baik serta boleh membantu kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengerusi PAS cawangan Jalan Banggol, Haji Zakaria Muda, Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Ng Chai Hing dan Setiausaha DAP cawangan Sungai Tong Setiu, Encik Nasir Zainal.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top