Usah terperangkap polemik Umno-BN

Salam Peringatan!;

KUALA TERENGGANU: Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Azmin Ali mengingatkan rakyat terutama kepada ahli-ahli Pakatan Rakyat agar tidak terperangkap dengan polemik ciptaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 mungkin bakal menjadi pilihan raya terakhir serta tali hayat bagi kerajaan Umno-BN.

“Usah kita (rakyat) terperangkap dengan polemik Umno yang dibuat melalui pelbagai isu yang sensasi menjelang pilihan raya ini.

“Saya cukup yakin bahawa PRU ke-13 ini adalah pilihan raya yang terakhir yang akan menjadi tali hayat kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional,” jelasnya pada Ceramah Pakatan Rakyat di perkarangan Masjid Chendering, dekat sini.

Menurutnya, Umno-BN akan menggunakan akhbar Utusan dan TV3 bagi melakukan fitnah terhadap Pakatan Rakyat hingga kepada pilihan raya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak menyifatkan Umno sanggup melakukan fitnah melampau yang tidak terbatas terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.

Bahkan, katanya tindakan melampau tersebut turut didedahkan di mahkamah terutama dalam perbicaraan kes liwat II terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Kita (Pakatan Rakyat) kena kerja kuat untuk lawan fitnah dan propaganda Umno yang melampau terhadap kita.

“Mereka (Umno) sanggup melakukan fitnah melampau dan tidak ada batasan seperti yang berlaku di mahkamah sekarang. Mereka guna Utusan (Malaysia) dan TV3 untuk lakukan fitnah hingga pilihan raya,” ujarnya.

Selain itu, kata Azmin hanya kerajaan Pakatan Rakyat sahaja mampu menutup Kem tahanan di Kemunting, Perak dan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sepenuhnya.

Katanya, janji Pakatan Rakyat dalam “Buku Jingga” akan hapus ISA dan tutup Kem Kemunting jika berjaya ke Putrajaya.

“Kita usah percaya kepada Najib (Perdana Menteri) yang hendak hapuskan ISA kerana kenyataan Hishamuddin (Kementerian Dalam Negeri) dan Nazri Aziz (Jabatan Perdana Menteri) bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri.

“Dua akta baru yang bakal menggantikan ISA itu bukti kerajaan BN tidak ‘ikhlas’ untuk hapuskan ISA,” jelasnya.

Menurutnya, apa yang penting rakyat umum perlu melakukan perubahan dengan menolak kerajaan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Tukar kerajaan “Barang Naik” (BN)

Salam Untuk Rakyat;

KEMAMAN: PAS Terengganu mengajak rakyat dan pengundi termasuk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sinonim dengan jolokan nama kerajaan “Barang Naik”.

“Kerajaan BN adalah kerajaan ‘Barang Naik’ (BN) dan PAS mempelawa rakyat dan pengundi seluruhnya menukarnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13,” kata Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Mesra Rakyat PAS Dun Chukai di perkarangan Markaz PAS Kampung Tengah, Chukai, baru-baru ini.

Katanya, rakyat dan pengundi di Terengganu ini wajar menghantar ‘signal’ awal bagi menukar kerajaan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.

Menurutnya, senario pemikiran rakyat hari ini di seluruh negara mahukan perubahan bagi menjamin masa depan Malaysia.

“Sekarang ini harga barang-barang semakin naik dan kerajaan Umno-BN sebenarnya tidak cakna rakyat.

“Pemimpin-pemimpin mereka (Umno-BN) kaya-raya tetapi rakyat masih dibelenggu kemiskinan dan kesusahan dengan kenaikan harga barang.

“Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, untuk pastikan harga barang turun kita (rakyat) kena beri ‘signal’ (amaran) kepada kerajaan dan tukar mereka (BN) dalam PRU ke-13, Insya’Allah,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai mendakwa rakyat Terengganu telah bosan dan benci kepada kerajaan Umno-BN yang korupsi serta banyak melakukan pembaziran harta rakyat.

Katanya, kerajaan BN Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said telah gagal membela rakyat dengan baik.

Menurutnya, pelbagai isu pembaziran, penyelewengan serta tidak berlaku adil terhadap rakyat di negeri ini.

“Setiap tahun berbilion bajet negeri diluluskan tetapi hasil yang dinikmati oleh rakyat terlalu sedikit melainkan untuk memperkayakan kroni-kroni pemimpin Umno tertentu sahaja,” jelasnya.

Justeru itu, katanya PAS bersama rakan Pakatan Rakyat menawarkan kepada rakyat dan pengundi di Terengganu suatu pemerintahan yang adil dan saksama.

Menurutnya, pemerintahan berdasarkan Islam yang menjadi asas kepada Negara Berkebajikan menjamin keselamatan, keamanan dan keadilan untuk semua rakyat.

“PAS sejak ditubuhkan tahun 1951, kita sudah 60 tahun berada di tengah masyarakat. Kita (PAS) tawarkan sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada rakyat.

“Dasar Islam kita menjadi asas sebuah Negara Berkebajikan yang akan menjamin keselamatan, keamanan dan keadilan kepada semua rakyat di Malaysia,” ujarnya.

Inilah, katanya peluang terbaik bagi rakyat dan pengundi menentukan masa depan negeri dan negara melalui pilihan raya akan datang.

Tinjauan Awang mendapati hampir 5,000 orang mengunjungi majlis anjuran MTD Chukai tersebut yang diadakan buat kali keduanya di tempat yang sama pada tahun 2010 yang lalu.

Pelbagai jenis makanan disediakan termasuk acara selingan membelah kek sempena ulang tahun ke-60 penubuhan PAS di negara ini yang telah mengadakan sambutannya di peringkat pusat di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Majlis tersebut rasmikan oleh Yang Dipertua PAS Kemaman, Ismail Harun dan dihadiri mantan Exco Kerajaan PAS Terengganu, Ustaz Awang Dagang @ Yusuf serta pimpinan PAS kawasan Kemaman dan MTD Chukai.

PAS bantu pelajar luar negara

Salam Pelajar;

KUALA NERUS: PAS amat prihatin dalam semua perkara termasuk bidang pendidikan yang dianggap sebagai pelaburan masa depan.

Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, M.Sukrimun Shamsuddin berkata pendidikan merupakan suatu bidang yang penting dan tidak boleh diabaikan.

Oleh itu, katanya semua pihak dan tidak terkecuali kepada kerajaan sahaja melaburkan wang ringgit dalam bidang tersebut.

Menurutnya, pendidikan yang baik sangat menguntungkan kerana sumbangan tersebut dikira sebagai amal baik hingga hari kiamat.

“Bidang pendidikan ini sangat penting dan semua pihak patutlah melaburkan wang ringgit mereka untuk pendidikan.

“Ini tidak terkecuali kepada pihak kerajaan sahaja. Sebab, ‘pelaburan’ ini (ilmu) sangat menguntungkan kerana dikira oleh Allah SWT hingga hari kiamat, Insya’Allah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar ke luar negara di Pejabat PAS Kuala Nerus.

Sehubungan itu, katanya harapan PAS kepada para pelajar berkenaan agar dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk orang lain kelak.

Menurutnya, ilmu yang bermanfaat digunakan bagi meneruskan perjuangan Islam yang semakin terpinggir ini.

Katanya, pelajar yang baik akan dapat menyumbang ilmu tersebut untuk dakwah dan bukan mencari keuntungan dengan dakwah.

“Kita (pelajar) mesti menyumbang kepada dakwah dan bukan bergantung mencari keuntungan dengan dakwah.

“Saya harap yang ini (pelajar) boleh jadi pelapis kepimpinan masa depan kerana yang lama (tua) akan pergi dan yang baru (muda) akan mengganti (kepimpinan),” jelas beliau kepada hampir 20 orang penerimanya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak, Penolong Setiausaha (III) PAS Terengganu, Ustaz Zakaria Dagang dan Penolong Setiausaha PAS Kuala Nerus, Harun Salleh.

Manakala, di Kuala Terengganu, PAS Cawangan Losong Atap Zin telah merealisasikan sebahagian dari konsep Negara Berkebajikan yang bakal diketengahkan sebagai manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Seramai 26 orang pelajar yang bakal melanjutkan pengajian masing-masing ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara menerima sumbangan tersebut.

Pesuruhjaya PAS Terenganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengagihkan sumbangan berupa wang tunai kepada 16 orang pelajar ke luar negara dan 10 orang yang melanjutkan pengajian di dalam negeri.

Katanya, PAS sejak sekian lama sentiasa memberi perhatian dalam bidang pendidikan atas tanggungjawab sosial.

Menurutnya, keprihatinan PAS tersebut terbukti dengan kewujudan pendidikan pra-sekolah seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), sekolah rendah, menengah, Institusi Pengajian Tinggi dan Kolej.

“PAS memang prihatin dengan pusat pendidikan yang jadi sebahagian dari tanggungjawab sosial kita dalam jamaah Islam.

“Kita (PAS) ada Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam), kita ada Sekolah Dar-dar (rendah), kita ada peringkat menengah, kolej dan kolej universiti,” ujarnya pada Majlis Sumbangan Amal dan Kebajikan, di Surau al-Amin, Losong Atap Zin, dekat sini.

Katanya, pelajar yang baik dan beramanah dengan ilmu yang dipelajari akan menjadi manusia bertanggungjawab kelak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menaruh harapan tinggi agar para pelajar berkenaan berjaya dengan cemerlang.

Menurutnya, pelajar yang cemerlang dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi bagi perjuangan Islam.

Seorang pelajar, Mohd Farezuan Mat Azhar, 23, dari Kampung Bukit Kecil merupakan pelajar tahun tiga di Mesir dalam jurusan Syariah Islam.

Beliau akan ke Mesir semula pada pertengahan September 2011 bagi menyambung pengajiannya.

“Saya sudah belajar di Mesir tahun tiga dan akan kembali pada pertengahan September ini, Insya’Allah.

“Terima kasih kepada PAS cawangan ini (Losong Atap Zin) dan Pesuruhjaya PAS yang prihatin kepada golongan pelajar,” ujarnya.

Rakannya, Mohd Farid Azmi, 20, anak pertama dari tujuh adik-beradik juga bakal melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir bersama beberapa orang yang lain.

“Saya bercita-cita menamatkan pengajian di Al-Azhar (Universiti) dan manfaatkan ilmu untuk perjuangan Islam, Insya’Allah.

“Saya mahu mengikut jejak langkah kepimpinan Islam yang berjaya dan bercakap benar dengan ilmu Islam,” jelasnya.

Beliau merupakan anak kepada mudir Madrasah Darul Salam yang dikendalikan di bawah Dewan Ulama’ PAS Terengganu sejak 20 tahun lalu.

Manakala, Nur Dahana Mohd Anuar, 19, akan melanjutkan pengajiannya ke Jordan dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Bapanya, Mohd Anuar Abdullah bekerja sendiri mempunyai enam orang anak yang masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah.

“Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan sudi menghulurkan sumbangan untuk kami yang akan melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara,” ujarnya.

Beliau merupakan anak keempat dari enam adik-beradik bercita-cita menjadi seorang yang berjaya di peringkat yang lebih tinggi.

Warga beca perlukan perhatian

Salam Abang Beca;

KUALA TERENGGANU: Golongan penarik beca di daerah Kuala Terengganu kini semakin terpinggir dan wajar diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata warga penarik beca di daerah ini tinggal 52 orang termasuk yang kurang aktif.

Katanya, golongan tersebut wajar diberi perhatian oleh kerajaan kerana termasuk dalam kelompok miskin dan mudah miskin.

Beliau mendakwa warga penarik beca seolah-olah terpinggir dan tidak dipedulikan dalam dengan sewajarnya.

“Sekarang ini ada 52 orang penarik beca sama ada yang aktif atau tidak aktif lagi. Dan mereka sangat-sangat memerlukan perhatian dari kita.

“Selama ini mereka seolah-olah dipinggirkan. Pemberian (sumbangan) kita tidak seberapa tetapi cukup sekadar menunjukkan tanda keprihatinan kita terhadap golongan penarik beca,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Program Cakna Penarik Beca anjuran DAP Terengganu dengan kerjasama PAS Cawangan Jalan Banggol, Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, rakyat disemua lapisan masyarakat kini sedar pembaziran dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru itu, kata Dato’ Tengku Hassan ‘gelombang’ angin perubahan turut menjiwai warga penarik beca.

“Kita (PAS) harap mereka (penarik beca) boleh berfikir tentang isu-isu yang berlaku sekarang ini.

“Golongan ini juga tahu masalah pembaziran kerajaan dan penyelewengan yang menuntut ‘gelombang’ mahukan perubahan.

“Mereka sedih dan tertekan dengan kenaikan harga barang yang melampau kerana mereka tidak mempunyai pendapatan yang tetap,” jelasnya.

Menurutnya, ‘mood’ yang ada sekarang rakyat telah hilang kepercayaan kepada pemerintah Umno-BN.

Tambahnya, mudah-mudahan warga penarik beca dapat berfikir dengan lebih baik serta boleh membantu kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengerusi PAS cawangan Jalan Banggol, Haji Zakaria Muda, Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Ng Chai Hing dan Setiausaha DAP cawangan Sungai Tong Setiu, Encik Nasir Zainal.

Bilal Ayob dapat motosikal

Salam Tok Bilal;
KUALA TERENGGANU: Keprihatinan PAS membantu rakyat sebenarnya tidak boleh dinafikan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) meski pun bukan atas nama kerajaan negeri.

Ini terbukti, apabila seorang warga emas yang bertugas sebagai bilal di Surau Al-Amin, Kampung Losong Atap Zin menerima sumbangan sebuah motosikal jenis Honda-70.

Penerimanya, Encik Ayob Abdullah, 62, bertugas sebagai bilal di Surau Al-Amin melahirkan rasa terharu dan bersyukur dengan sumbangan tersebut.

Kata beliau, selama ini sering kali bergilir menggunakan sebuah motosikal milik salah seorang anaknya.

“Saya rasa terharu, bersyukur dan berterima kasih kepada pihak PAS cawangan Losong Atap Zin ini yang prihatin dengan masalah saya.

“Selepas ini, tidak jadi masalah lagi untuk saya ulang-alik dari rumah ke surau ini untuk berkhidmat sebagai bilal sukarela, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Amal dan Kebajikan yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut di Surau al-Amin, Losong Atap Zin, baru-baru ini.

Menurutnya, tugas sebagai bilal sukarela sebanyak lima waktu sehari semalam perlu kepada sebuah motosikal sendiri.

Katanya, inisiatif yang dilakukan oleh PAS cawangan tersebut wajar dicontohi di tempat lain jika mempunyai masalah sama.

Salam...Bersua Kembali Kite

Salam Ukhuwwah Islamiah;

Bertemu kembali kita diarena media baru seumpama ini. Salam kemaafan kerana hampir lebih dua bulan Awang tidak menulis dan membisu seribu bahasa.

Sebenarnya, bukan Awang 'mogok' atau 'protes' menulis tetapi kerana kesibukkan masa yang tidak sempat untuk menguruskan posting di laman blog "apaorangkata" ini.

Insya'Allah, jika diizinkan Awang akan mula kembali aktif untuk mengisi ruang-ruang yang sedia ada ini untuk santapan rakan-rakan blog sekalian.

Apa pun, ribuan dan jutaan kemaafan diharapkan dan Awang sedar siapalah diri ini dan Awang bukanlah seorang penulis yang besar dan tersohor. Ini pun, sekadar mengiri ruang-ruang lompang yang ditinggalkan.

Doakan Awang agar mempunyai ruang masa dan kesihatan yang baik untuk meneruskan kalam-kalam ini.

Sekian, terima kasih....SELAMAT MEMBACA
 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top