Bantulah Umno-BN yang zalim!

Salam Perpaduan;

KUALA NERUS: Rakyat disarankan agar menghentikan kezaliman dan pengkhianatan yang dilakukan oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Ridhuan Hasyim berkata Islam mengajar umatnya agar membantu orang yang melakukan kezaliman dan yang kena zalim.

Katanya, membantu pihak yang zalim dengan cara menghalang dari terus melakukan kezaliman tersebut.

“Nabi Muhamad SAW ajar umat dia supaya tolong orang yang zalim dan orang yang kena zalim. Cara tolong yang yang buat zalim dengan menghalangnya dari terus melakukan kezaliman.

“Hari ini kita (rakyat) kena tolong Umno yang buat zalim dengan cara kita menghalang Umno dari terus melakukan kezaliman.

“Ini kerana, dengan ‘kuasa’ (memerintah) Umno boleh melakukan apa sahaja. Dia boleh bercakap apa sahaja dengan percakapan yang tidak bertanggungjawab. Cara kita hendak tolong Umno dengan tidak memberi kuasa atau undi kepada mereka dalam pilihan raya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis ceramah kelompok anjuran Muslimat Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu, di Kampung Banggol Donas, Kuala Nerus, 17 Ogos lalu.

Katanya, dalam amalan negara demokrasi kuasa rakyat yang menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan.

Menurutnya, undi dalam pilihan raya merupakan kuasa rakyat yang perlu digunakan dengan betul.

“Memang kita (PAS) nampak Umno ini zalim, khianat, jijik, hanyir dan busuk. Itu kesimpulan yang dapat kita gambarkan kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional Terengganu.

“Kuasa yang hendak hentikan kuasa itu ada pada rakyat. Dalam negara demokrasi berparlimen ini ‘tangan’ (undi) rakyat yang menentukan. Undi dalam pilihan raya merupakan kuasa rakyat.

“Sebab itu, kita (PAS) berusaha dapatkan undi yang besar. Sokong PAS dan Pakatan Rakyat cara untuk hentikan kezaliman Umno-BN,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus mengulangi penegasannya bahawa tidak ada pilihan menentang kezaliman tersebut.

Menurutnya, dalam isu pengambilan balik tanah rakyat di Kampung Banggol Donas-Jeram sangat tidak adil serta bersifat zalim dan khianat.

Oleh itu, katanya menjadi kewajipan terhadap setiap rakyat menentang segala bentuk kezaliman, penyelewengan Umno-BN.

“Umno dan Barisan Nasional guna pelbagai taktik dan tipu helah yang dilakukan, penyelewengan, penipuan dan kezaliman. Masing-masing kena main peranan menentang kezaliman itu.

“Khususnya, dalam isu pengambilan-balik tanah di Kampung Banggol Donas-Jeram. Maka, kita tidak ada pilihan lain wajib ke atas diri kita untuk menentang segala bentuk kezaliman, penyelewengan yang dilakukan oleh Umno-BN pada hari ini,” tegasnya.

Menurutnya, Islam menentang sebarang bentuk kezaliman yang berlaku bukan sahaja ke atas manusia juga ke atas binatang.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Dr Bala Chandran dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pengambilan Tanah Banggol Donas-Jeram, Salleh Embong.

Salah Bersih!!

Ayah Chik ucap “Terima kasih” peserta Bersih 2.0

KUALA TERENGGANU: PAS merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada seluruh rakyat dari pelbagai lapisan kaum yang menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) di Kuala Lumpur.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata perhimpunan Bersih 2.0 disertai oleh pelbagai lapisan kaum termasuk Melayu, Cina dan India.

Malah, katanya para peserta Bersih 2.0 itu berarak bersama-sama secara sopan serta mengikut arahan pimpinan masing-masing.

“Saya ucap terima kasih kepada Pemuda-pemuda kita (PAS) yang ikut sama muslimin-muslimat, saudara-saudari pelbagai kaum. Melayu Islam, Cina, India dan lain-lain berarak sama.

“Kita (PAS) arah jangan lakukan kekasaran. Kita tidak mahu berlawan dengan polis, tidak mahu berlawan dengan pasukan keselamatan. Kita tahu yang jadi ‘kepala halian’ ialah Umno-Barisan Nasional.

“Jika kita bergaduh dengan polis, akan jadi seperti ‘alu dengan lesung’ yang berlaga dan yang kenyangnya ayam. Mereka (Umno) yang ‘kenyang’ (untung), tidak ada gunanya.

“Alhamdulillah, pemuda-pemuda kita (Bersih 2.0) dari semua kaum ikut arahan. Walau pun mereka (kerajaan) sekat dari segenap penjuru dan ada orang yang ‘diharamkan’ masuk ke Kuala Lumpur,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 7,000 ahli dan penyokong PAS yang menyambut kepulangannya di tempat parkir kereta Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, 11 Julai lalu.

Ustaz Abdul Hadi menyifatkan ‘larangan’ terhadap nama-nama yang tidak dibenarkan masuk ke Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, termasuk mereka yang tinggal di ibu negara tersebut sebagai tidak berasas.

Menurutnya, rakyat di negeri sendiri tidak dibenarkan masuk ke dalam negeri hanya kerana takutkan perhimpunan Bersih 2.0 yang tidak manasabah.

Namun begitu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi rakyat tidak mempedulikan larangan tersebut dan mengadakan perhimpunan yang sangat besar jumlahnya.

“Macam mana kita rakyat di negeri ini ‘diharamkan’ masuk ke dalam negeri kita sendiri. Orang Kuala Lumpur pun diharamkan juga masuk ke Kuala Lumpur.

“Dia duduk di Kuala Lumpur ‘doh’, haram macam mana. Alhamdulillah, kita (rakyat) masuk dan kita adakan perhimpunan dengan jumlah yang sangat besar,” ujarnya.

Beliau disambut dan diraikan sebagai “Wira Rakyat” apabila ditangkap oleh Polis bersama beberapa pimpinan Bersih dan Pakatan Rakyat termasuk Dato’ S Ambiga dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kepulangannya diiringi oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan disambut oleh ribuan ahli dan penyokong PAS yang memenuhi perkarangan LTSM.

Antara mereka menyambutnya, Timbalan Pesuruhjaya (I) dan (II) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Muhyidin Abdul Rashid, Setiausaha PAS negeri, Yahaya Ali, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran serta beberapa orang pimpinan PAS negeri dan Pemuda PAS Terengganu.

Syahidnya Si Kembar

Salam Persaudaraan!

HULU TERENGGANU: Nasib malang yang menimpa keluarga pasangan kembar seiras Nur Fatin Farzanah Hamid dan Nur Fatin Farzana berusia tiga tahun turut mendapat perhatian serta simpati Majlis Tindakan Dewan (MTD) Undangan Negeri Manir.

Kedua-dua kanak-kanak tersebut menjadi mangsa korban kebakaran rumah mereka di Kampung Durian Mas, Manir pada 5 Julai lalu.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir, Dato’ Harun Taib merakamkan ucapan takziah serta simpati terhadap nasib malang yang menimpa keluarga Hamid Mustafa dan Suriani Sulong.

Ucapan serta sumbangan MTD disampaikan oleh anaknya Mohd Hamdi yang mewakili Dato’ Harun yang keuzuran.

Mohd Hamdi, 24, menyampaikan ucapan salam serta takziah terhadap keluarga kanak-kanak kembar yang meninggal dunia tersebut.

Katanya, tentu ada hikmah Allah SWT bagi menguji kesabaran serta ketentuan Tuhan yang Maha Berkuasa.

“Ustaz (Dato’ Harun) kirim salam kepada keluarga Encik Hamid dan isterinya (Suriani) yang anak-anak mereka terkorban dalam kebakaran rumah.

“Harap (mereka) dapat sabar dan terima ketentuan ini sebagai takdir dan ada hikmah yang sangat besar dan tidak ketahui oleh kita, Insya’Allah,” ujarnya kepada Harakah ketika menziarahi keluarga malang tersebut.

Encik Hamid, 44, berkata kejadian berlaku terlalu pantas hingga gagal menyelamatkan kedua anak kembarnya Farzanah dan Farzana.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 9.00 pagi dan ketika itu beliau sedang tidur setelah makan ubat kerana mengidap sejenis penyakit ‘epilepsi’ (sawan).

“Saya tidak tahu macam mana terbakar dan kejadian terlalu pantas. Saya tertidur setelah telan ubat sakit sawan dan anak-anak bermain dalam bilik.

“Saya dikejutkan oleh sepupu yang berjiran, dan saya panggil nama mereka (anak) tetapi tidak dijawab hingga ditemui mati kebakaran,” jelasnya.

Katanya, tidak ada perasaan hendak digambarkan melain berserah kepada takdir Allah SWT dengan redha.

Ibu mangsa, Puan Suriani Sulong, 40, menyifatkan kedua-dua anaknya itu periang dan penghibur dalam keluarga.

Katanya, dalam usia tiga tahun tiga bulan telah boleh berdikari, rajin, ringan tulang dan cerdik meski pun belum bersekolah.

“Setiap hari, saya bekerja tukang sapu di sebuah sekolah di bandar Kuala Terengganu untuk menyara keluarga kerana suami (Hamid) tidak sihat dan keuzuran.

“Mereka (anak-anak) ditinggalkan bersama ayahnya (Hamid) di rumah, Farzanah dan Farzana senang dijaga, tidak buat karenah (masalah),” ujarnya.

Beliau menerima ketentuan tersebut dengan redha kerana Allah SWT lebih menyayangi mereka berdua.

Manakala, rombongan ziarah itu turut disertai oleh Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran dan Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing.

Mereka turut menyampaikan sumbangan dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran rumah tersebut.

Hadir sama mengiringinya, Pengerusi MTD Manir, Yusuf Embong dan Bendaharinya, Tengku Sulaiman Tengku Chik.

Salam Reformasi!

BESUT: Cuba kita pakat-pakat renung, pakat-pakat tengok tentang apa yang dipaparkan melalui gambar dan keterangan ini.

Apa benar Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri Terengganu khasnya dan Malaysia amnya hari ini seperti yang digambarkan.

Ini kerana, lebih 50 tahun Umno-BN memerintah negara sikap dan sifat tidak baik itu masih menjadi darah-daging pemimpin dan parti berkenaan.

Ibarat kata, “Pokok tidak bergoyang, jika tidak ada angin bertiup”…tetapi kadang-kala memang tidak ada angin pun pokok boleh bergoyang kerana adanya “Beruk, Kera dan rakan” yang sewaktu dengannya.

Jika benar ini masih berlaku, Awang nasihatkan supaya pihak berkenaan segera memperbetulkan keadaan secara baik atau rakyat akan memperbetulkan keadaan itu secara terpaksa.

PAS sedia terima ‘tetamu’ Pemuda Umno?

Salam Perjuangan!

KUALA TERENGGANU: Pemuda Umno Terengganu yang merancang mahu mengadakan demontrasi di hadapan Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu akhirnya membatalkan rancangan tersebut.

Ini kerana, pihak PAS telah menerima maklumat awal tentang rancangan tersebut yang dijadualkan pada jam 3.00 petang dengan melibatkan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) tertentu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata beliau dimaklumkan Pemuda Umno merancang untuk datang berhimpun di depan Pejabat PAS tetapi tidak diketahui tujuannya.

Oleh itu, katanya PAS sedia menerima ‘tetamu’ yang ingin berkunjung dengan apa tujuan sekali pun sebagai tuan rumah.

“Saya dimaklumkan ada orang nok (hendak) mari (datang) jumpa. Jadi bila orang nok mari ke rumah kita, saya macam wakil rakyat bila orang nok mari ke rumah, kita tunggulah.

“Jika niat molek (baik) kita sambut dengan molek. Tapi jika dia mari sekadar nok buat caca-merba dengan niat tidak berapa molek. Kita akan hadap mereka dengan apa cara sekali pun,” tegasnya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 300 pemuda PAS yang sedang menunggu dan berhimpun di hadapan Pejabat PAS Terengganu, di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, PAS tidak berhasrat mencari musuh dan sedia menerima kunjungan ‘tetamu’ yang ingin datang secara baik.

Malah, kata Abdul Wahid jika ada pihak yang ingin menyerahkan memorandum sekali pun PAS tidak menjadi halangan menerimanya.

“Jika dia (Umno) hendak datang cara baik kita (PAS) terima. Jika dia hendak hantar memorandum, kita terima. Dia hendak ajak berdebatkan tidak menjadi masalah. Kita hendak berbincang cara baik.

“Bukan niat kita (PAS) hendak cari musuh dan bukan niat hendak cari ‘baloh’ (gaduh). Kita hendak buat sesuatu untuk kebaikan rakyat semua sekali,” jelasnya.

Katanya, beliau tidak mahu berlaku seperti mana di pejabat Parti KeADILan Rakyat (PKR) Kuala Lumpur dan mereka datang membuat demontrasi serta memaki hamun ketika ketiadaan orang di pejabat.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengharapkan agar pihak berkuasa membenarkan perhimpunan secara aman anjuran Bersih 2.0 di Kuala Lumpur.

Menurutnya, usah disekat dengan sewenang-wenang hak dan kebebasan rakyat bersuara dalam negara demokrasi.

“Kita (rakyat) ada hak untuk berhimpun secara aman di mana-mana sahaja. Itu sebab sepatutnya, kita tidak diganggu. Sekarang ini orang tidak puas hati dalam banyak perkara soal ekonomi, soal taraf hidup, soal hak bersuara.

“Jadi kita hendak dalam suasana ini diberi ruang kepada semua pihak. Sama ada NGO atau parti politik untuk menyatakan hasrat dan pandangan mereka.

“Kita harap sungguh-sungguh jangan ada terutama pihak yang berkuasa menggunakan jentera kerajaan dengan sewenang-wenang untuk menyekat hak dan kebebasan rakyat,” ujarnya.

Tinjauan mendapati terdapat sekitar 20 orang pemuda berbaju merah ‘Patriot’ berkumpul berhampiran Stadium Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Sebaliknya, rancangan Pemuda Umno untuk berdemontrasi di hadapan pejabat PAS tersebut telah bertukar menjadi perhimpunan Pemuda PAS tanpa dirancang.

Jais vs Gereja: Perangkap Umno?

KUALA TERENGGANU: PAS mengingatkan ahli dan pemimpinnya disemua peringkat agar tidak terpengaruh dengan “perangkap” Umno dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan gereja.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali menyeru pemimpin dan ahli PAS agar tidak terperangkap atau terjebak dengan ‘perangkap’ Umno dalam isu tersebut.

Ini kerana, katanya Umno dan agen-agen berkenaan dipercayai memainkan peranan tertentu serta mempunyai matlamat politik.

“Saya menyeru dan minta supaya kalangan pimpinan PAS dan orang PAS sendiri supaya tidak terperangkap atau terjebak dengan ‘perangkap’ Umno.

“Saya menyeru kepada semua lapisan penyokong, pemimpin PAS supaya tidak terjebak dengan perangkap Umno dalam isu yang berkait dengan Jais dan Gereja ini.

“Saya dapat maklumat ‘dalaman’ Jais semalam (14 Ogos), berkait dengan operasi Jais pada 3 Ogos 2011 lalu bahawa ada eleman dan peranan Umno dalam operasi Jais terhadap majlis yang diadakan di kawasan Gereja Methodist, Damansara Utama, Petaling Jaya itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, dekat sini, 15 Ogos lalu.

Dato’ Mustafa mendakwa mempunyai maklumat ‘dalaman’ yang boleh dipercayai serta bersedia mendedahkannya pada pertemuan dengan pihak Jais nanti.

Menurutnya, matlamat politik Umno mahu menjadikan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sebagai ‘destabilize’ (menjadikan sesuatu tidak stabil).

Ini kerana, katanya kerajaan di Selangor mempunyai pelbagai komponen dan usaha cuba ditimbulkan konflik dalaman Pakatan Rakyat.

“Ini maklumat ‘dalaman’ yang tersangat boleh dipercayai. Sebab itu, saya hendak dedahkan perkara ini. Oleh kerana, timbul pelbagai tafsiran tentang operasi yang dilakukan itu.

“Matlamat politiknya (Umno) ialah untuk ‘destabilize’ kerajaan negeri Selangor. Sebab, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor ini mempunyai pelbagai komponen dan isu-isu sensitif ini mudah.

“Ada usaha hendak timbulkan konflik dalaman Pakatan Rakyat. Ini (isu) penting bagi Umno. Walau pun tidak secara langsung, dia (Umno) guna Perkasa dan sebagainya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dato’ Mustafa sedia mendedahkan maklumat tersebut kepada Pengarah Jais dalam pertemuan yang akan diadakan nanti.

“Kami akan dedah maklumat-maklumat ini kepada beliau (Pengarah Jais). Ini bergantung kepada Jais, jika esok dia hendak berjumpa kita dedah esok, hendak jumpa bila pun, insya Allah,” ujarnya.

Sepatutnya, kata beliau pemimpin PAS mengadakan perjumpaan dengan Jais tetapi ditangguhkan atas nasihat Tuanku Sultan Selangor sehingga siasatan selesai.

Sementara itu, katanya Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib kini menghadapi krisis keyakinan di kalangan orang Melayu sendiri.

Menurutnya, Umno sedaya upaya mahu mempertahankan undi orang Islam dan beranggapan orang Melayu bersama Umno dalam isu tersebut.

“Memang dia (Umno) hendak mempertahankan undi orang Melayu Islam kerana didapati bahawa Najib (Perdana Menteri) menghadapi krisis keyakinan di kalangan orang Melayu sendiri waktu ini, termasuk ‘dalaman’ Umno sendiri.

“Mereka (Umno) mahu supaya orang Melayu bersama dengan Umno dan PAS dilihat sebagai orang yang ‘terkena’ dengan isu yang sensitif ini,” jelasnya.

Hadir sama pada siding media tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali dan Penolong Setiausaha PAS negeri, Zakaria Dagang.

Aqidah: PAS tidak berkompromi

KUALA TERENGGANU; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali menegaskan PAS tidak akan berkompromi dalam isu menjaga aqidah umat Islam.

Menurutnya, dasar dan perjuangan PAS sejak dahulu hingga sekarang tidak melindungi sesiapa pun yang berusaha memurtadkan orang Islam.

Malah, katanya sejarah lalu dalam beberapa isu sensitif seumpama itu dijuarai oleh PAS termasuk kes murtad.

“Bagi kita, perkara berkait dengan aqidah ini sudah mesti perjuangan PAS sejak dahulu hingga sekarang. Bahkan, sejarah lalu dalam beberapa isu sensitif yang berkait dengan Aishah Bukhari dan lain-lain itu, kitalah yang menjuarainya.

“Sikap PAS ini kita tidak akan melindungi sesiapa pun yang berusaha untuk memurtadkan orang Islam. Ini kita (PAS) tidak ada berkompromi sama sekali,” tegasnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu, 15 Ogos lalu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kontroversi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan pihak Gereja Methodist, Damansara Utama, di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu yang menimbulkan pelbagai tafsiran tentang operasi yang dilakukan itu.

Menurutnya, isu murtad bukan perkara baru tetapi telah berlaku sejak berpuluh tahun lalu di negara ini.

Beliau turut mempersoalkan apa yang kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) buat selama ini bagi membendung kegiatan tersebut.

Katanya, semua negeri mempunyai masalah tersebut tetapi tidak ada langkah-langkah pencegahan dibuat oleh kerajaan.

“Ini sudah berpuluh tahun berlaku dan bukan ‘benda’ (perkara) baru. Apa yang kerajaan Umno-BN buat selama ini untuk membendung kegiatan murtad ini. Semua negeri ada masalah ini tetapi tidak ada pun langkah-langkah dibuat membendungnya.

“Ianya (murtad) bukan sahaja bercanggah dengan prinsip Islam, malah dalam Perlembagaan Malaysia pun tidak mengizinkannya.

“Jadi satu kesalahan seseorang itu hendak memurtadkan atau ‘dakyah’ yang cuba hendak tarik orang Islam supaya keluar daripada agama (Islam) ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dato’ Mustafa menggesa agar Jais mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab berusaha memurtadkan orang Islam.

Ini kerana, katanya Enakmen Jais boleh bertindak mendakwa jika ada bukti dan Perlembagaan Malaysia juga menghalang kegiatan tersebut.

“Jika Jais ada maklumat itu, kita (PAS) minta supaya Jais melakukan tindakan undang-undang dan mendakwa orang-orang yang dikatakan bertanggungjawab dan berusaha hendak tarik orang Islam ini keluar daripada Islam.

“Enakmen Jais jelas dan dia boleh bertindak. Perlembagaan Malaysia jelas orang tidak boleh berbuat demikian. Ini yang perlu dilakukan oleh Jais jika dia mempunyai bukti-bukti tersebut,” tegasnya.

Namun begitu, katanya seolah-olah terdapat campurtangan politik pihak tertentu dalam menangani isu kontroversi antara Jais dengan Gereja tersebut.

“Saya difahamkan juga dari maklumat dan sumber ini bahawa memang sengaja Jais menangguh-nangguh dan melewat-lewatkan ini supaya isu ini menjadi isu politik. Dia (isu) ada latar-belakang dan matlamat politik dalamnya.

“Kita (PAS) tidak pernah mempertikaikan kewujudan institusi agama seperti Jais ini ialah bertujuan untuk menjaga dan mempertahankan apa yang menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan itu yang berkait dengan soal agama. Dan sepatutnya, institusi ini bebas dari campurtangan politik,” ujar Dato’ Mustafa.

Hadir sama pada siding media itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali dan Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Zakaria Dagang.

Mat Said sahkan warga asing pengundi di Terengganu

KEMAMAN: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said mengesahkan dakwaan PAS Terengganu wujudnya pengundi warga asing dari Myanmar, Rohingya dan Kemboja di negeri ini.

Namun begitu, katanya isu pengundi warga asing Myanmar yang dimaksudkan itu sebenarnya berasal dari Malaysia.

Menurutnya, warga asing Myanmar tersebut merupakan pelarian ketika zaman pemerintahan British sebelum merdeka.

“Sebenarnya mereka (pengundi warga asing) sudah berada di negeri ini lebih 20 tahun. Sebelum saya jadi wakil rakyat lagi mereka sudah mengundi.

“Memang kita ada beri kerakyatan kepada orang Rohingya, Kemboja dan Myanmar yang jadi pelarian asalnya orang Malaysia, dikerah buat jambatan maut waktu zaman British dan pendudukan Jepun di negara ini dulu.

“Mereka ini semua kita bawa balik dan beri kerakyatan dan kebanyakan mereka dari Kedah,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dana Raya kepada penduduk di Seri Bandi, Kemaman, 11 Ogos lalu.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian bagi menyangkal pendedahan PAS Terengganu yang berjaya mengesan ribuan warga asing memiliki kad pengenalan dan berdaftar sebagai pengundi di beberapa kawasan di Terengganu.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mendakwa Jabatan Pilihan Raya parti berjaya mengesan ribuan warga asing yang dipercayai memiliki kad pengenalan mendaftar sebagai pengundi di negeri ini.

Katanya, kad-kad pengenalan tersebut telah dikeluarkan di Kedah dan didaftarkan sebagai pengundi di beberapa kawasan di Terengganu.

“Kami (PAS) melalui Jabatan Pilihan Raya parti telah mengesan sebanyak 5,006 bangsa asing yang berketurunan Myanmar didapati tersenarai sebagai pengundi di beberapa kawasan di negeri ini.

“Daripada 5,006 pengundi itu, sebanyhak 1,239 pengundi terdapat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal. Dun Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said sendiri.

“Seramai 529 pengundi lagi dikesan di Dun Air Putih khususnya di Cheneh Baru dan beberapa kawasan lain di Kemaman,” jelasnya pada satu sidang media sempena lawatannya bersama kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) ke Bazar Ramadan Alor Tembesu, Dungun, 10 Julai lalu.

Malah, katanya PAS Terengganu turut mengesan 44 orang pengundi yang didaftarkan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi tidak ada rekod di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

PAS kesan ribuan pengundi asing di Terengganu


DUNGUN: PAS Terengganu mendakwa daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri ini tidak bersih setelah pihaknya berjaya mengesan kepincangan yang ketara.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata Jabatan Pilihan Raya parti berjaya mengesan ribuan warga asing yang dipercayai memiliki kad pengenalan mendaftar sebagai pengundi di negeri ini.

Beliau difahamkan, kad-kad pengenalan tersebut telah dikeluarkan di Kedah dan didaftarkan sebagai pengundi di beberapa kawasan di Terengganu.

“Kami (PAS) melalui Jabatan Pilihan Raya parti telah mengesan sebanyak 5,006 bangsa asing yang berketurunan Myanmar didapati tersenarai sebagai pengundi di beberapa kawasan di negeri ini.

“Daripada 5,006 pengundi itu, sebanyhak 1,239 pengundi terdapat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal. Dun Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said sendiri.

“Seramai 529 pengundi lagi dikesan di Dun Air Putih khususnya di Cheneh Baru dan beberapa kawasan lain di Kemaman,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena lawatannya bersama kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) ke Bazar Ramadan Alor Tembesu, Dungun, 10 Julai lalu.

Menurutnya, jumlah pengundi warga asing yang ramai itu merupakan usaha terancang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi mengekalkan kemenangan di Terengganu.

Abdul Wahid yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mendesak agar pihak SPR bertanggungjawab serta melakukan siasatan terperinci sebelum pilihan raya.

Bahkan, katanya terdapat 43 orang pengundi yang didaftarkan dalam daftar pemilih SPR tetapi tidak ada rekod di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kita (PAS) mahu SPR siasat secara terperinci kemasukan terancang ini. Jumlah pengundi warga asing yang ramai didaftarkan satu-satu Dun dipercayai untuk memenangkan Umno-BN dalam pilihan raya.

“Kita (PAS) juga berjaya mengesan 43 nama pengundi yang tidak ada rekod di Jabatan Pendaftaran Negara tetapi ada dalam senarai daftar pemilih SPR,” ujarnya.

Menurutnya, meski pun angka 43 orang itu tidak ramai tetapi menunjukkan daftar pemilih yang ada hari ini tidak bersih.

Katanya, tindakan tersebut merupakan suatu pengkhianatan terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi di negara ini.

“Ini satu pengkhianatan, siapa nak percaya dengan sistem pilihan raya dan demokrasi di negara ini sekiranya perkara (kepincangan) ini berlaku?

“Tidak mungkin SPR tidak tahu dan kita harap SPR dapat perbetulkan segera sebelum pilihan raya ini. Jika tidak, kita akan mengambil tindakan mengikut kesesuaian di seluruh negara,” tegasnya.

Hadir sama pada sidang media tersebut dua timbalannya Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Dr Alias Razak.

Gelombang Hijau bakal lenyapkan Umno-BN

KUALA TERENGGANU: Dewan Muslimat PAS Kuala Terengganu melancarkan “Gelombang Hijau” sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof berkata Gelombang Hijau merupakan strategi Muslimat PAS berdepan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana, katanya Umno-BN telah menggunakan segala kekuatan termasuk jentera kerajaan, media dan kewangan berhadapan dengan PAS.

Menurutnya, dengan suntikan gelombang tersebut PAS mampu bangkit menentang Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.

“Gelombang Hijau adalah satu strategi yang kita (PAS) buat untuk berdepan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN). Kita memerlukan strategi yang khusus.

“Kita (PAS) melihat mereka (BN) menggunakan segala kekuatan yang ada termasuk jentera kerajaan. Mereka menggunakan media massa, mereka menggunakan kekuasaan yang ada pada mereka untuk menjatuhkan PAS,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Gelombang Hijau & 1Hati serta Pelancaran Matawang Syariah Dinar & Dirham di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, di Kuala Ibai, dekat sini, baru-baru ini.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menyarankan agar muslimat PAS melipat-gandakan usaha dan kerja memenangkan PAS.

Katanya, strategi kerja yang tersusun, kemas dan bersistem mampu mencapai kemenangan yang diharapkan.

Menurutnya, dalam pilihan raya PAS memerlukan sokongan orang ramai tanpa mengira bangsa dan lapisan masyarakat.

“Jika kita (PAS) hendak menang kena buat kerja luar biasa dan bukan macam biasa. Dengan keadaan (strategi) yang tersusun, kemas dan luar biasa.

“PRU, kita memerlukan seramai mungkin orang yang boleh memberi sokongan kepada kita. Di depan kita ada pelbagai lapisan masyarakat. Ada di kalangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), ada non-muslim, kita ada DAP, kita ada KeADILan (PKR).

“Kita perlu mengabung-jalinkan kekuatan ini untuk kita mendapat semaksima mungkin sokongan untuk kita berdepan PRU ke-13,” tegasnya.

Beliau selaku Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Muslimat PAS Pusat yakin Terengganu mampu bangkit menebus kekalahan parti pada pilihan raya 2004, lalu.

“Insya’Allah, PRU ke-13 ini saya yakin muslimat Terengganu akan bangkit semula untuk menebus kembali kekalahan kita (PAS) pada pilihan raya yang lepas.

“Kita tawan semula Terengganu dan kita bina balik sistem Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala,” ujarnya dihadapan 300 petugas parti.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang, Wan Ubaidah Omar, Ketua Muslimat PAS Kuala Terengganu, Zaitun Abas dan Ketua Lajnah Ekonomi Muslimat PAS Terengganu, Khairiah Mokti.

Umno akan ‘ranap’ dengan undi Bersih

MARANG: PAS mendakwa Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan ‘ranap’ serta lenyap jika sistem pilihan raya di negara ini berlaku secara adil dan bersih.

Naib Presiden PAS, Dato’ Paduka Husam Musa berkata tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) mahukan setiap pengundi dikenakan celup dakwat dijari masing-masing.

Katanya, Umno cukup takut dan bimbang jika tuntutan tersebut dipenuhi bakal mengakhiri zaman pemerintahannya.

“Sebab itu, Bersih 2.0 hendak tiap-tiap pengundi kena ada cap jari. Bila ada cap jari, seseorang yang telah mengundi di Jertih, Terengganu tidak boleh lagi mengundi di Pasir Putih, Kelantan.

“Jika tiap-tiap pengundi hanya boleh mengundi sekali seorang Umno akan ‘ranap’ seluruh negara. Ini yang Umno takut dan ini talian hayat Umno.

“Sesetengah tempat penipuan itu berlaku dan akan terus berlaku secara besar-besaran,” jelasnya ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Pasca Bersih 2.0 dan Pelancaran Dana Pembangunan Dewan Besar oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Dataran Rusila, Marang, baru-baru ini.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan menyifatkan kes penipuan paling besar berlaku dalam sistem pilihan raya di negara ini di Terengganu tahun 2004 lalu.

Malah, katanya statistik-statistik menunjukkan angka pertambahan pengundi pilihan raya di negeri tersebut tidak masuk akal.

“Kes di Terengganu 2004, bukti paling besar pilihan raya negara kita penuh dengan penipuan. Statistik-statistik menunjukkan angka pilihan raya di Terengganu 2004 tidak masuk akal.

“Pengundi bertambah 62 peratus paling tinggi dalam dunia. Pengundi baru bertambah dan pengundi Umno bertambah 62 peratus.

“Sedangkan, undi PAS jika dalam kes di Besut hanya lapan peratus. Seluruh negeri Terengganu hanya lima peratus. Undi kita turun lima peratus tapi undi Umno naik 62 peratus,” ujarnya.

Katanya, dalam kes Terengganu ada tujuh undi yang tidak boleh disahkan kerana jumlah yang keluar mengundi tidak sama dengan daftar pemilih.

“Pertambahan pengundi muda yang baru didaftarkan pun tidak sama macam itu. Dalam kes Terengganu ada tujuh undi yang tidak boleh disahkan.

“Undi dapat tetapi dari segi daftar pemilih tidak ada banyak itu pengundi yang keluar mengundi. Ada tujuh undi yang menunjukkan ada dua kali mengundi. Satu orang mengundi dua atau tiga kali mengundi,” dakwanya.

Menurutnya, tuntutan Bersih 2.0 yang disokong oleh parti-parti politik Pakatan Rakyat mahukan pilihan raya bersih dan adil.

Katanya, Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, PKR dan DAP boleh memerintah Negara dengan sistem pilihan raya yang bebas.

Hadir sama pada majlis tersebut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dua Naib Presiden PAS lain iaitu Dato’ Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayob serta beberapa orang pimpinan Hamas, Palestin.

Pemikiran Umno “primitif, kolot”

KEMAMAN: PAS menyifatkan pemikiran pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) “primitif” dan “kolot” mengenai dasar PAS.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata dasar PAS tetap dan konsisten mengikut Fasa 3 Perlembagaan PAS menyatakan dasar PAS ialah Islam.

Menurutnya, yang sentiasa berubah setiap tahun adalah tema Muktamar Tahunan PAS yang menjadi ucapan dasar presiden parti.

“Kita (PAS) tidak pernah mengubah dasarnya sepertimana dakwaan pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang berfikiran ‘primitif’ dan ‘kolot’.

“Konsep ‘Negara Berkebajikan’ yang menjadi tema Muktamar Tahunan PAS Pusat adalah ucapan dasar Presiden PAS dan tema ini akan berubah setiap tahun, tahun lepas temanya ialah ‘Islam Adil Untuk Semua’ jadi di mana realistiknya dakwaan Umno-BN yang PAS telah mengubah dasarnya”,

“Dasar PAS adalah tetap dan konsisten iaitu Fasa 3 Perlembagaan PAS menyatakan 'Dasar PAS ialah Islam dan tidak pernah berubah walau pun pemimpin PAS silih bertukar ganti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kutipan Dana Ramadhan & Fisabillillah, PAS Kawasan Kemaman di sebuah hotel di Cherating, baru-baru ini.

Katanya, Umno-BN masih keliru dengan konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS kepada rakyat.

Menurutnya, Negara Berkebajikan tersebut bukan seperti mana 'welfare state' yang diamalkan di negara-negara barat hingga rakyat tidak bekerja dan kerajaan terpaksa membayar elaun sara hidup.

“Konsep Negara Berkebajikan yang diajarkan oleh Islam ialah kerajaan menyediakan 'basic needs' dan barisan kepimpinan pemerintahan dibentuk dengan dua ciri utama iaitu pemimpin mesti bersifat amanah dan adil,” ujarnya.

Katanya, pemimpin yang amanah dan adil amat penting kerana rakyat akan mengikut agama serta perangai pemimpin sesebuah negara.

Menurutnya, apabila pemimpin itu amanah segala hasil negara akan diurus dengan baik dan telus.

Malah, katanya jika pemimpin negara seorang yang khianat dan zalim rakyat akan menderita serta berada dalam ketakutan.

“Seorang pemimpin yang amanah, segala hasil negara akan diurus dengan baik dan penuh ketelusan manakala, jika pemimpin seorang yang khianat dan zalim, rakyat akan menderita dan sentiasa dalam ketakutan,” tegasnya.

Ustaz Idris menyifatkan negara boleh bangkrap meski pun mempunyai hasil bumi yang banyak seperti minyak, gas, bijih timah, emas, balak sebagainya.

Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia, Dato' Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, dua orang mantan Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Awang Dagang dan Haji Yusof Tahir dan Penolong Setiausaha PAS Kemaman, Hanafiah Mat.

Terengganu juara Sukan Pasti Malaysia 2011


MARANG: Kontinjen Pasti Terengganu berjaya merangkul kejuaraan keseluruhan Pesta Sukan Pasti Malaysia 2011 yang diadakan di negeri pada 25 Jun lalu.

Seramai 360 pelajar dan guru pengiring terlibat dalam penganjuran sukan tersebut yang mensyaratkan 20 orang peserta setiap negeri di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Majlis perasmian penutupnya telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang diadakan di Kolej Latihan TM, Rusila, Marang.

Dimaklumkan, sebanyak 12 pasukan yang mewakili negeri masing-masing bertanding dalam kejohanan bola jaring bagi banat (perempuan) dan bola sepak untuk walad (lelaki).

Antaranya, kontinjen Pasti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Kontinjen Pasti Terengganu bergelar Johan pertandingan bola jaring apabila berjaya mengalahkan pasukan Melaka sebagai Naib Johan. Tempat ketiga, Pasti negeri Johor dan tempat keempat, Pasti Kedah.

Pertandingan final bola sepak pula, Pasti negeri Perak dinobatkan Johan setelah menewaskan Pasti negeri Selangor 1-0. Tempat ketiga dan keempat adalah milik Pasti negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Manakala, anugerah pemain terbaik bola jaring dinobatkan kepada Sarah Umairah binti Faisal,6, dari pasukan Terengganu dan Mohd Firdaus Nur Halim bin Sharul untuk penjaga gol bola sepak dari negeri Perak.

Ketua Pengarah Jabatan Pasti Malaysia, Hashan Ahmad merakamkan ucapan syabas kepada Terengganu yang berjaya merangkul kejuaraan keseluruhan.

Katanya, pertandingan ini merupakan kemuncak bagi semua pertandingan bola sepak dan bola jaring pelbagai peringkat Pasti yang telah diadakan di seluruh negeri.

“Melalui kegiatan sukan seperti ini, Pasti ingin memberi mesej dakwah kepada masyarakat bahawa Islam turut menitikberatkan aspek kesukanan.

“Bersukan merupakan ibadah dalam Islam, ada adap-adap dan akhlak bersukan yang perlu dipatuhi,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pasti Terengganu, Sulaiman Sulong berkata Pesta Sukan Pasti Malaysia telah menghimpunkan seluruh kontinjen dari segenap pelusuk negara.

Menurutnya, kepercayaan diberi kepada Terengganu sebagai tuan rumah bagi kejohanan ini merupakan satu amanah.

“Pesta Sukan Pasti Malaysia kali ini menghimpunkan Pasti-pasti seluruh negara dalam bentuk kontinjen masing-masing.

“Kepercayaan diberi kepada Terengganu sebagai tuan rumah, ini merupakan satu amanah yang amat berat untuk dilaksanakan tanpa sokongan semua pihak,” ujarnya.

Katanya, tahniah kepada kontinjen-kontinjen yang menang termasuk pasukan dari Terengganu dan bertemu kembali ditahun hadapan.

Tinjauan mendapati penganjur dan para penonton berpuas hati melihat gelagak kanak-kanak Pasti yang berbakat besar dalam bidang kesukanan negara di masa akan datang.

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top