Selamatkan Melayu Islam

Salam Saudaraku!:

Melayu Islam perlu diselamat dan dibebaskan dari penjajahan pemikiran yang dibawa oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Umno-BN sememangnya mahukan Melayu Islam ‘bodoh’ dan mudah ‘diperbodohkan’ supaya senang dikontrol oleh parti tersebut.

Melayu Islam perlu sedar dan menyedarkan diri masing-masing jika mahukan perubahan. Perubahan tidak akan berlaku dalam negara ini jika Melayu Islam tidak berubah.

Sebab, orang Melayu masih lagi dominan yang memegang kuasa. Sekali pun Umno tidak lagi memerintah tetapi tetap ada penggantinya, iaitu PAS.

Dan jika Melayu Umno bimbang jika Umno kalah kuasa orang Melayu akan ‘hilang’ itu tidak betul pada teorinya. Sebab, Melayu PAS masih ada dan boleh menggantikan Melayu Umno yang telah lama memerintah dengan penuh kefasidan.

Sebab itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata perubahan tidak boleh berlaku kerana 60 peratus pengundi di negara ini merupakan pengundi Melayu Islam.

Katanya, menjadi bertanggungjawab kepada PAS untuk membebaskan pemikiran Melayu Islam yang selama ini ‘dijajah’ oleh Umno.

“Kita (PAS) kena ingat 60 peratus pengundi Malaysia adalah Melayu Islam. Perubahan tidak boleh berlaku sekiranya PAS tidak boleh membebaskan Melayu Islam daripada penjajahan pemikiran yang dibawa oleh Umno.

“Tanggungjawab kita (PAS) untuk membebaskan pemikiran mereka (Melayu Islam) sangat besar dan jentera penerangan PAS perlu menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana Lajnah Penerangan & Dakwah Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di sebuah hotel, dekat sini, baru-baru ini.

Namun begitu, katanya suatu perkembangan baru berlaku apabila PAS mula mendapat sokongan dari kalangan pengundi bukan Islam.

Menurutnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 telah berlaku perubahan di kalangan pengundi-pengundi bukan Islam menyokong Pakatan Rakyat.

Dato’ Seri Abdul Hadi menjelaskan kepercayaan pengundi bukan Islam kepada PAS meningkat sehingga tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

“Pilihan raya (PRU ke-12) 2008, kita (PAS) melihat berlaku perubahan di kalangan pengundi-pengundi bukan Islam menyokong Pakatan Rakyat.

“Kepercayaan meningkat kepada PAS sehingga kita (PAS) menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kalangan orang bukan Islam. Ini satu perkembangan baru,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan manusia mesti diselamatkan dengan Islam dan bukan dengan bangsa sahaja.

Katanya, jika mahu ditegakkan dengan Melayu sahaja nescaya Melayu dan negara pun tidak selamat.

“Manusia mesti diselamatkan dengan Islam dan inlah yang hendak kita (PAS) perkenalkan dalam tanah air kita (Malaysia).

“Banyak orang bercakap tentang perpaduan Melayu dan menggunakan Islam untuk perpaduan Melayu.

“Jika hendak letakkan Islam di belakang, Islam secara sekular, Islam yang tidak berkuasa dan berdaulat, Islam yang tidak boleh menunjukkan adil kepada semua manusia. Melayu sahaja ditegakkan, melayu tidak selamat dan negara pun tidak selamat,” jelasnya.

Ustaz Abdul Hadi mengingatkan bahawa tidak menjadi kesalahan menyayangi bangsa dan keluarga dalam Islam.

Menurutnya, kesalahan haram serta berdosa jika memutuskan hubungan silaturrahim dan pertalian keluarga.

Tetapi, katanya jika mempertahankan kaum dan keluarga yang ‘zalim’ merupakan suatu perkara yang sangat diharamkan.

“Tidak menjadi salah sayang kepada bangsa, tidak menjadi salah sayang kepada keluarga. Islam mewajibkan hubungan silaturrahim.

“Memutuskan silaturrahim, hubungan keluarga adalah haram dan dosa besar tetapi mempertahankan kaum dan keluarga yang zalim adalah suatu yang sangat diharamkan,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib, Bendahari PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

Kedah Terus Maju Di Bawah PAS

Salam Perjuangan Untuk Semua;

Kerajaan PAS Kedah dikatakan telah berjaya meneruskan agenda pembangunan ekonomi negeri Kedah meski pun terdapat kekangan dari kerajaan pusat.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak berkata selepas dua tahun lima bulan PAS menerajui kerajaan Kedah pembangunan ekonomi semakin subur.

Ini kerana, katanya kerajaan PAS berjaya menyakinkan semua pihak termasuk pentadbiran negeri dan rakyat di Kedah.

“Kita (PAS Kedah) juga menghadapi kekangan di peringkat pusat (persekutuan) tetapi selepas dua tahun, kita (PAS) mentadbir (negeri) pihak pusat memberi respon yang begitu positif.

“Kerjasama yang baik dengan kerajaan negeri sehingga kita (PAS) mampu menarik banyak pelabur ke Kedah.

“Jadi kita (PAS) tidak ada masalah dengan kerajaan pusat dalam meneruskan agenda pembangunan ekonomi di Kedah,” jelas.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam serta Dialog Peluang Ekonomi & Pelaburan Negeri Kedah di Nor Arfa Craf Centre (NACC), Chendering, Kuala Terengganu, tidak lama dahulu.

Ustaz Azizian menjelaskan selama tempoh dua tahun lima bulan lalu PAS Kedah lebih memberi tumpuan terhadap penyusunan pentadbiran negeri.

Bahkan, katanya agenda pembangunan ekonomi di Kedah juga diteruskan melalui dua cara yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.

“Selepas kita (PAS) menang dua tahun lima bulan yang lepas, kita (PAS Kedah) lebih banyak tertumpu kepada penyusunan pentadbiran negeri termasuk pentadbiran dan pembangunan ekonomi.

“Pembangunan ekonomi ini kita (PAS) ada dua cara. Pertama, meneruskan sistem atau pentadbiran ekonomi negeri yang sedia ada dan keduanya, menggunakan dasar baru pembangunan ekonomi negeri,” tegasnya.

Namun begitu, beliau mengakui bukan lalauan mudah kerana Kedah juga sama seperti negeri Terengganu yang ‘dicengkam’ oleh kerajaan Umno-BN sejak sekian lamanya.

“Walau bagaimana pun, kita (PAS) tidak mendapat laluan mudah kerana Kedah macam juga dengan Terengganu dahulunya ‘dicengkam’ oleh Barisan Nasional sejak lebih 52 tahun.

“Dalam masa dua tahun lebih ini kita (PAS) cuba menyakinkan semua pihak, menyakinkan rakyat, menyakinkan pihak pentadbiran bahawa kita (PAS) mampu meneruskan kerja-kerja untuk membina negeri,” ujarnya.

Kelihatan bersama pada majlis tersebut Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib, Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik serta Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali.

Bantulah Kami Wahai Saudaraku!

Salam Persaudaraan Islam Nusantara…

Wahai Saudara-saudaraku, muslimin dan muslimat dan sesiapa sahaja yang bermurah hati lagi budiman. Sesungguhnya, pada tahun 2010 ini, sekali lagi Awang serta rombangan akan ke bumi Mindanao.

Bumi umat Islam yang serumpun dengan kita dari bangsa Moro Nusantara Kepulauan Melayu. Sesungguhnya, umat Islam di sana lebih memerlukan bantuan serta sumbangan dalam bentuk apa sekali pun kerana kemiskinan dan peperangan.

Atas kesedaran inilah, maka tahun ini Awang sekali lagi akan ke sana untuk menyediakan serta menyempurnakan ibadah Qurban secara langsung menemui saudara kita di sana.

Apa yang sangat-sangat Awang harap dan merayu adalah sumbangan dari saudara-saudaraku sekalian. Tolonglah, kami akan ke Mindanao pada 12 November 2010 ini.

Cuma kurang seminggu lagi, rombangan kami akan berlepas dari Kuala Lumpur ke Manila. Sumbangan masih tidak banyak dan kami sangat mengharapkannya.

Sepintas lalu, Awang ceritakan serba sedikit apa yang berlaku dan diperlukan oleh saudara-saudara kita di Mindanao. Ini berdasarkan catatan tahun 2009 lalu.

Secara geografinya Filipina terbagi kepada dua wilayah kepulauan besar iaitu di sebelah utara kepulauan Luzon dan gugusannya serta di selatan dengan kepulauan Mindanao dan gugusannya.

Islam Moro atau bangsa Moro merupakan komuniti Muslim yang berada di kepulauan Mindanao-Sulu serta gugusannya di Filipina bagian selatan.

Sejarah membuktikan, Islam masuk ke wilayah Filipina Selatan khususnya di kepulauan Mindanao-Sulu tersebut pada tahun 1380.

Seorang ulama’ keturunan Arab bernama Karimul Makhdum dan Raja Baguinda dicatat sebagai orang pertama yang menyebarkan ajaran Islam di kepulauan tersebut.

Menurut catatan sejarah tersebut Raja Baguinda merupakan seorang pangiran dari Minangkabau (Sumatera Barat). Beliau tiba di kepulauan Sulu-Mindanao sepuluh tahun selepas Zamboanga dan Basilan.

Akhirnya, hasil kerja keras tersebut juga menyebabkan Kabungsuwan Manguindanao iaitu Raja terkenal dari Manguindanao telah memeluk Islam.

Maka, bermulalah peradaban Islam di wilayah berkenaan dan pada waktu itu telah diperkenalkan sistem pemerintahan dan kodifikasi hukum iaitu Manguindanao Code of Law atau Luwaran yang berlandaskan Minhaj dan Fathu-i-Qareeb, Taqreebu-i-Intifa dan Mir-atu-Thullab.

Manguindanao kemudian menjadi seorang Datu yang berkuasa atas propinsi Davao di bagian tenggara pulau Mindanao.

Setelah itu, Islam disebarkan ke pulau Lanao dan bagian utara Zamboanga serta daerah-daerah lainnya. Sepanjang pantai kepulauan Filipina semuanya berada di bawah kekuasaan pemimpin-pemimpin Islam yang bergelar Datu atau Raja. Bahkan, Manila (ibu negara Filipina sekarang) berasal dari perkataan Amanillah (negeri Allah yang aman).

Namun begitu, kepulauan tersebut pernah dijajah oleh penjajah dari Sepanyol sejak lebih 400 tahun selepas itu. Ini menyebabkan, Islam serta segala peradabannya menjadi asing dan terpinggir.

Difahamkan, bangsa Moro di kepulauan Mindanao di sebelah Selatan masih mampu bertahan serta berpegang dengan ajaran Islam tersebut hingga ke hari ini.

Rombongan tiga kumpulan yang diketuai oleh Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad mewakili Muslim Care Malaysia dan Jundi Resausess, Ustaz Haji Awang Ibrahim Embong mewakili Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Negeri Terengganu (Yakep) dana Khairul Azlam Mohamad mewakili Lepasan Siswa-Siswi Institut Berakan Negeri Terengganu (Sisbakti) meninjau sebuah sekolah rakyat di sebuah daerah Cotabato.

“Kami sempat berkunjung ke sebuah madrasah yang dikendalikan 100 peratus oleh penduduk setempat untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak di Mindanao,” kata Ustaz Awang Embong.

Menurutnya, sebuah sekolah agama rakyat yang dikenali dengan nama Ma’ahad Salih al-Islame Shariff terletak di Kabunsuan, Cotabato.

Katanya, Ma’ahad tersebut dibina di atas sebidang tanah wakaf serta mempunyai seramai 450 orang pelajar muslimin dan muslimat.

“Sekolah Agama Rakyat (SAR) seperti ini mesti dipertahan dan diteruskan di Mindanao dan kepulauan sekitarnya.

“Hanya dengan sekolah ini sahaja yang mampu mempertahankan aqidah umat Islam di Mindanao,” ujarnya.

Menurutnya, institusi pondok dan pendidikan Islam sahaja yang akan mempertahankan aqidah serta syariatNya.

Seorang pelajar, Junayde Kadir, 23, bercita-cita menjadi seorang pendakwah Islam yang hebat dan berjaya.

Katanya, ilmu sangat penting dan masyarakat di Mindanao masih ketinggalan dalam pendidikan.

“Saya mahu jadi ‘Ustaz’ dan pendakwah yang hebat dan berjaya. Sebab itu, saya sangat minati pelajaran bahasa Arab dan Inggeris,” jelasnya.

Rakannya, Abdul Alim Talusob, 19, berkata cita-cita untuk jadi doktor sangat tinggi jika diizinkan Allah SWT.

Katanya, masyarakat umat Islam di Mindanao masih ketinggalan dalam serba kekurangan dan perlu perubahan.

“Saya jika diizinkan mahu jadi doktor tetapi terserah kepada Allah SWT dengan usaha dan ikhtiar di masa hadapan,” ujarnya.

Mudir Ma’ahad Salih ai-Islame Shariff, Sheikh Zakaria Maido berkata bahasa pengantar yang diajar di sekolah tersebut menggunakan bahasa Arab.

Katanya, penekanan kepada bahasa Arab lebih diutamakan melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Sekolah ini dibina di atas tanah wakaf penduduk yang dikendalikan secara persendirian tanpa bantuan kerajaan Manila (Filipina).

“Pelajar di kalangan anak-anak yatim dan golongan miskin yang perlu diberi pendidikan agama dan Islam,” jelasnya.

Katanya, pihak ma’ahad amat memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak terutama para dermawan yang cintakan Islam.

Beliau turut mengharapkan bantuan serta sumbangan dari kalangan umat Islam di seluruh dunia terutama Malaysia.

Menurutnya, masalah kemiskinan sangat ketara akibat konflik politik berpanjangan serta tahap pendidikan masih lemah.

Katanya, peperangan serta penindasan terhadap umat Islam Mindanao oleh kerajaan Manila masih berterusan.

Setiausahanya, Abu Bakar Esmael menyeru semua pihak terutama umat Islam di Malaysia dapat membantu saudaranya di Mindanao.

Katanya, kehidupan masyarakat Moro terutama di kawasan konflik politik amat menyedihkan dengan serba kekurangannya.

“Saya fakir di Malaysia tidak ada lagi rumah penduduk dibuat dari batang kelapa, berdinding buloh dan beratap nipah.

“Di sini (Mindanao) majoriti umat Islam memiliki rumah seperti itu dengan kemudahan asas yang terhad,” jelasnya.

Apa yang penting, katanya pendidikan Islam serta fardhu air mesti diberikan kepada rakyat bagi menjaga aqidah dan syariatNya.

Justeru itu, mana-mana pihak yang sedia menyumbang kepada umat Islam di Mindanao sila hubungi Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad di talian 019-961 9876, Ustaz Awang Embong (019-928 4609) dan Khairul Azlam (013-980 0957).

Sumbangan juga boleh dimasukkan ke akaun Maybank : 163064025523 atau AmBank No: 022-002-306204-9 atau Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) No: 13026020004831 atas nama KHAIRUL AZLAM MOHAMAD.

Semoga sumbangan saudara-saudara sekalian akan dibalas oleh Allah SWT dengan pahala serta rahmat-Nya, Insya’Allah.

Sekian, terima kasih.

YAM bantu umat Islam di Champa Kamboja

Salam Persaudaraan Islam…

Kemiskinan serta kemunduran masyarakat Melayu Islam-Champa di Kamboja wajar diberi perhatian oleh umat Islam terutama di negara ini.

Ini kerana, masyarakat serta keturunan Melayu-Champa-Kemboja mempunyai pertalian erat dari segi sejarahnya dengan Terengganu-Kelantan-Patani.

Awang terpanggil juga sebenarnya untuk menziarahi saudara-saudara keIslam kita di bumi Champ, Kemboja serta merungkai masalah dan permasalahannya.

Justeru itu, keprihatinan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dari Yayasan Amal Malaysia (Amal) Cawangan Terengganu sentiasa menghulurkan sumbangan serta bantuan kemanusiaannya.

Exco Amal Terengganu, Alias Abu Bakar berkata Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu amat prihatin terhadap nasib umat Islam di Champa, Kemboja.

Katanya, setiap tahun diadakan rombongan ziarah ke Kemboja bagi menyampaikan misi bantuan kemanusiaan Amal.

“Alhamdulillah, hari ini saya mewakili Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu menyerahkan tiga kotak pakaian lelaki (baju Melayu) dan wanita (baju kurung) termasuk kain tudung (jilbat).

“Ini (pakaian) kali keempat diserahkan kepada wakilnya (Ustaz Solahuddin) dan setiap tahun kami (Amal) akan ke Kemboja pada musim perayaan Iduladha (raya korban),” jelasnya.

Wakil Kemboja, Ustaz Solahuddin Haji Idris, 51, merakamkan ucapan terima kasih kepada badan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu.

Katanya, umat Islam terutama Melayu Champa di Kemboja amat dhaif, dibelenggu kemiskinan serta perlukan bantuan semua pihak.

Menurutnya, sejarah Melayu Champa banyak melahirkan golongan ulama’ yang fasih ilmu al-Quran dan berhijrah ke seluruh dunia.

“Saya kini bertugas (kerja) mengajar ilmu al-Quran dan fardhu ain kepada masyarakat Islam di Terengganu ini.

“Allahyarham datuk saya, Mufti Tuan Haji Abu Bakar di Kemboja suatu ketika dahulu dan ayah saya pula, Tuan Haji Idris Abu Bakar pernah di penjarakan hingga mati di zaman komunis di Kemboja tahun 1973,” jelasnya.

Katanya, kehidupan umat Islam di Kampung Champ masih dhaif yang menjadi nadi kesuburan ilmu Islam di Kemboja.

Justeru itu, Ustaz Solahuddin merayu kepada para dermawan serta umat Islam di Negara ini membantu masyarakat Melayu Islam Champa di Kemboja.

Sebarang bentuk sumbangan atau pertanyaan sila hubungi Ustaz Solahuddin di talian 017-952 5330 atau Saudara Alias Abu Bakar 012-985 6897 atau 013-980 0957.

Pecahkan persepsi negatif terhadap PAS

Salam Alternatif....

PAS hari ini amat jauh berbeza dengan PAS yang kita kenal 10 atau 20 tahun lalu. Dan perbezaannya, bukan kerana berubah dasar Islamnya sebagai teras parti tetapi berubah pendekatan dan strateginya.

Awang melihat PAS hari lebih ‘terbuka’ dari segi untuk pendekatan memasyarakatkan PAS kerana telah mula laku dan diterima oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

PAS bukan sahaja untuk orang Melayu Islam sahaja, PAS bukan lagi untuk orang ‘Tok Lebai’ lagi, tetapi PAS adalah sesuai untuk semua kaum yang ada di Malasyia.

Sebab itu, apabila PAS memperkenalkan slogan ‘PAS For All’. Maka, Umno dan Barisan Nasional (BN) mula mengigau dan ‘gila’ sasau.

Maka, penasihat Yahudi yang dibelanjakan oleh kerajaan Umno-BN di bawah kepimpinan Najib al-Tantunya pun menjaja ‘1Malaysia’ yang seakan-akan ‘PAS Untuk Semua’.

Namun begitu, dalam keadaan PAS semakin diterima dan PAS semakin diminati oleh semua orang dan semua rakyat. Tetapi, PAS masih lagi dibayangi persepsi negatif yang dicanang oleh musuhnya dari Umno-BN.

Persepsi buruk yang digambarkan kepada PAS sedikit sebanyak boleh mempengaruhi hati yang goyang di kalangan orang Melayu, Cina dan India yang baru berjinak-jinak dengan PAS.

Hasilnya, dalam pilihan raya kecil di N.45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada 4 November lalu, PAS boleh kalah dan tidak menang sekalugus gagal mempertahankan kerusi tersebut.

Umno-BN berjaya dan bersorakan meraikan kemenangan kerana persepsi yang buruk yang dijaja dalam masa kempen pilihan raya kecil itu mempengaruhi pengundi-pengundinya.

Sebaik mana pun kerajaan PAS Kelantan buat, sehebat mana pun ketokohan Tok Guru Menteri Besar Kelantan dan sekuat mana pun jentera PAS di Galas akan tumbang dengan persepsi yang dinegatifkan.

Sebab itu, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib mahukan agar persepsi negatif rakyat umum terhadap PAS dipecahkan.

Katanya, persepsi yang negatif yang dilemparkan oleh musuh PAS seperti Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) masih ‘termakan’ oleh kebanyakkan rakyat umumnya.

Menurut Ustaz Harun meski pun dasar dan matlamat perjuangan PAS telah diperakui oleh Umno-BN tetapi masih sukar diterima sepenuhnya.

“Kita (PAS) kena fikirkan bagaimana mahu memecahkan persepsi orang (rakyat umum) yang negatif terhadap PAS.

“Dasar dan matlamat perjuangan kita (PAS) tidak dipertikaikan lagi oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional tetapi mereka (rakyat) masih belum terima sepenuh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Akademi Latihan Kepimpinan (ALIM) Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai.

Katanya, Umno menggunakan ‘senjata’ duit yang menyebabkan rakyat ‘termakan’ dan BN mendapat sokongan pengundi dalam pilihan raya.

Ustaz Harun yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu mengingatkan bahawa isu juga memainkan peranan penting menyedarkan rakyat terhadap kepincangan Umno-BN.

Menurutnya, kesedaran politik di kalangan orang Melayu terutama di luar bandar masih rendah kerana kekurangan sumber maklumat.

“Isu mempunyai peranan yang penting untuk rakyat tahu kepincangan Umno dan kerajaan Barisan Nasional hari ini.

“Kesedaran politik orang Melayu itu penting terutama di kawasan luar bandar dan mereka (rakyat) kurang pendedahan sumber maklumat kita (PAS),” ujarnya.

Katanya, kesedaran politik orang bukan Melayu di negara ini lebih baik berbanding dengan orang Melayu yang sukar membuat perubahan.

Menurutnya, kesedaran politik orang Melayu lebih baik di kawasan bandar serta pinggir bandar terutama di kalangan anak-anak muda yang menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Kursus ALIM peringkat pertama ini disertai oleh 150 orang pimpinan PAS di peringkat lajnah-lajnah serta kawasan-kawasan di seluruh negeri Terengganu.

Justeru itu, baiki segera dan jangan hampakan harapan semua rakyat yang mahukan perubahan serta bebas dari cengkaman kerajaan Umno-BN dalam PRU ke-13, akan datang.

NOTA: ‘PAS-Pakatan Rakyat Juga Akan Gagal Ke Putrajaya Dengan Persepsi Yang Diburukkan’

PAS lebih pandai jaga Melayu

Salam Sejahtera Untuk Semua;

Perjuangan PAS yang berlandaskan Islam lebih baik dan layak menjaga bangsa Melayu berbanding Umno serta perjuangannya.

Isu perpaduan Melayu antara PAS dan Umno pula sengaja ditimbulkan kembali oleh Barisan Nasional (BN) apabila Umno semakin lemah serta hilang sokongannya.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan pendirian PAS kini menolak Umno dan memilih Pakatan Rakyat.

“Hari ini timbul pula perpaduan Melayu. PAS dengan Umno, isu (perpaduan) ini sudah selesai (tolak) dua tahun lalu.

“PAS tolak Umno dan ambil Pakatan Rakyat. Perpaduan (isu) Melayu ini hendak jaga Melayu atau hendak jaga Umno.

“Jika hendak jaga Melayu, aku (PAS) orang PAS lebih pandai jaga Melayu dari mu (Umno) orang Umno. Aku (PAS) jaga Melayu dari dunia sampai akhirat, mu (Umno) jaga Melayu sampai dekat pintu kubur sahaja,” tegasnya ketika berucap pada majlis Ceramah Isu Semasa di Kampung Panji, dekat sini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mendakwa PAS lebih pandai untuk menjaga bangsa Melayu dengan agama (Islam) di dunia hingga ke akhirat.

Katanya, Umno tidak ikhlas dan akan kembali menyingkirkan PAS setelah kuat sebagaimana pengalaman masa lalu.

“Saya di antara orang yang kuat menyokong PAS masuk Barisan Nasional selepas peristiwa 13 Mei. Ketika (gabungan PAS-Umno) itu, kita (PAS) ingat dia (Umno) ikhlas.

“Rupa-rupanya, bila dia (Umno) ‘kenyang’ molek, ‘gemuk’ molek…dia (Umno) gigit betis kita (PAS) balik (pula). Pepatah Arab berkata, “anjing kurus bila kamu beri dia gemuk, dia gigit betis kamu”.

Kata Dato’ Nik Aziz, laporan akhbar ketika itu yang mendakwa PAS keluar dari Barisan Nasional sebenarnya PAS telah dipecat.

“Dalam surat khabar tulis (lapor) berita PAS keluar…tidak betul itu. PAS bukan keluar, PAS ‘ditendang’ (dipecat). Setelah Umno rasa gagah, dia (BN) tendang kita (PAS),” ujarnya.

Menurutnya, kemasukkan PAS dalam Barisan Nasional suatu ketika dahulu atas rundingan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dengan Dato’ Asri (PAS) apabila berlaku peristiwa berdarah 13 Mei.

Beliau berkata selepas PAS dipecat dan Dato’ Asri meletak jawatan dalam kerajaan BN, PAS kembali meneruskan perjuangan bersendirian.

Hari ini, katanya PAS kembali pulih di Kelantan, Terengganu serta beberapa buah negeri untuk berhadapan dengan Umno dan kerajaan BN.

Menurutnya, pelawaan pihak tertentu yang mahu menjadi orang tengah ke arah perpaduan Melayu PAS-Umno disifatkan ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.

Begitulah ‘seriknya’ Tok Guru Kelantan apabila terdengar sahaja jika ada mana-mana pihak yang hendak ‘merujuk’ kembali dengan Umno-BN.

Ini kerana, parti ‘haprak’ Umno-BN itu disifatkan selalu bercakap bohong serta mempunyai tipu helah tertentu.

Bercakap bohong dengan tipu muslihat samalah seperti bercakap denagn lidah tidak bertulang atau lebih tepat lagi seperti ‘buaya’.

Binatang Buaya ini jika di Zoo memang nampak baik dengan tuan penjaganya yang selalu beri dia makan suap. Tetapi, jika dia rasa terlalu lapar sangat dengan tuan-tuan dia makan sekali.

Itulah, sebabnya kebarangkalian yang pernah dialami oleh Tok Guru Nik Aziz yang mempunyai pengalaman luas serta pernah bersama dalam kerajaan Barisan Nasional ketika PAS dipelawa bergabung.

NOTA: ‘Orang Yang Beriman Tidak Akan Disengat Dua Kali Dalam Satu Lubang’

Jenayah Dadah Terengganu ‘hebat’

Assalamualaikum w.w.t; Salam 1Negara…

Hakikatnya, hari ini masalah dadah merupakan suatu ‘bala’ yang diturunkan oleh Allah SWT mungkin kepada umat Islam yang mengabaikan perintah Tuhan-Nya.

Ianya, melibatkan semua orang, semua bangsa, semua agama dan semua keturunan bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia barang kalinya.

Baru-baru kedengaran, PAS Terengganu menyifatkan kes 119 pelajar ditangkap dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2010 ini terlibat dengan kes jenayah narkotik terlalu sedikit.

Malah sebenarnya, kes penyalahgunaan dadah di kalangan para pelajar di Terengganu jauh lebih tinggi dari yang dilaporkan kepada umumnya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik berkata statistik tangkapan yang dilakukan polis berkaitan kes penyelahgunaan dadah di kalangan pelajar di negeri ini tidak tepat.

Katanya, jika pihak polis benar-benar mahu bertindak puluhan pelajar boleh dikesan serta ditangkap setiap hari.

“Sedikit..sedikit, Polis boleh ‘pegang’ (tangkap) tiap-tiap hari berpuluh-puluh pelajar. Statistik itu terlalu tidak tepat. Jika hanya dengan jumlah (119 pelajar) itu terlalu tidak tepat.

“Saya rasa Polis sebenarnya tidak serius, pemimpin (kerajaan) tidak ada keinginan politik untuk selesaikan masalah,” ujarnya ketika ditanya mengenai masalah gejala sosial di kalangan pelajar di Terengganu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Akademik & Mesyuarat Agung Jamaah IbuBapa Guru di Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman, Kampung Tok Jiring, dekat sini, 20 Julai lalu.

Dato’ Abu Bakar juga mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa Polis menangani masalah ‘mat rempit’ yang semakin berleluasa.

Ini kerana, katanya jika PAS dan Pakatan Rakyat sering kali berhadapan dengan tindakan ‘keras’ polis menggunakan gas pemedih mata dalam kes tertentu.

Mengapa tidak, kata Ustaz Abu Bakar tindakan yang sama digunakan kepada golongan mat rempit yang secara jelas dan berani melanggar undang-undang.

“Apa tindakan Polis dalam menyelesaikan masalah ‘mat rempit’. Ratusan malah ribuan (kumpulan) kadang-kalanya, apa tindakan Polis.

“Jika polis ‘berani’ (bertindak) pergi ‘hentam’ (lepas) dengan ‘gas’ (pemdih mata) kepada orang sedang berhimpun (ceramah) di padang dalam kes tertentu. Kenapa tidak ‘hantar’ (guna) gas di sini (mat rempit), mana penguatkuasaan,” tegasnya.

Justeru itu, Ustaz Abu Bakar mendakwa gejala dadah merupakan suatu wabak serta bala dari Allah SWT.

Katanya, masalah tersebut merebak kerana berkait rapat dengan polisi-polisi serta dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang.

Menurutnya, dasar serta polisi yang pincang menjadi pemangkin kepada peningkatan gejala sosial yang berlaku dalam negara hari ini.

“Dadah ini suatu ‘wabak’ (penyakit) dan bagi kita orang Islam dadah ini satu ‘bala’ (hukuman). Tetapi, kita (rakyat) kena ingat polisi-polisi berkait dengan hiburan dan seni budaya di bawah kerajaan Barisan Nasional hari ini adalah pemangkin kepada masalah gejala sosial.

“Lihatlah program-program hiburan yang ada, filemnya, nyanyiannya, tari-menarinya, hiburannya, lihatlah hari ini. Dan tengok pesta-pesta tahunan yang dibuat, pesta tahun baru atau pesta-pesta yang dibuat,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Dato’ Mohd Syukri Dahlan berkata seramai 119 pelajar sekolah menengah dan institut pengajian tinggi (IPT) ditangkap kerana terlibat kes jenayah narkotik.

Katanya, jumlah tersebut telah meningkat berbanding tahun 2009 lalu dalam tempoh masa enam bulan pertama tahun 2010 ini.

Menurutnya, dari jumlah 119 orang pelajar yang ditangkap 10 peratus merupakan pelajar wanita dan seawal usia 12 tahun.

“Kita (Polis) lihat, pelajar ini bukan sahaja terlibat dalam masalah dadah tetapi turut menjadi mengedar. Kita (Polis) percaya ada sindiket yang menjadikan pelajar ini sebagai ahli mereka (pengedar) untuk jual dadah kepada pelajar lain,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontijen Terengganu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu, baru-baru ini.

Selain itu, kata Dato’ Mohd Syukri penglibatan pelajar dalam kes jenayah lain khususnya jenayah harta benda juga membimbangkan pihak polis.

Menurutnya, sebanyak 71 orang pelajar ditangkap dalam tempoh enam bulan pertama yang melibatkan pelajar sekolah dan IPT berusia 14 hingga 24 tahun.

“Pelajar sekolah menengah dan IPT dalam lingkungan umur antara 14 hingga 24 tahun terlibat dalam kes pecah rumah dan kecurian motosikal terutama di Kuala Terengganu dan Besut.

“Setakat ini, 50 peratus pelajar yang ditangkap didakwa di mahkamah selepas mendapat kelulusan dari Timbalan Pendakwaraya,” ujarnya.

Politik sempit Umno-BN

Salam For Umno-BN…

Awang diberitahu bahawa PAS Terengganu mula naik angin menyelar sikap pemimpin Umno Kemaman yang masih mengamalkan politik sempit ‘ugutan’ kepada rakyat.

Jika rakyat memberi kerjasama kepada PAS dan Pakatan Rakyat meski pun dalam perkara baik bagi perpaduan masyarakat akan diambil tindakan.

Perkara tersebut didedahkan oleh Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Hanafiah Mat ketika melaksanakan program ‘Ops Al-Falah’ peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, Kemaman, baru-baru ini.

Katanya, hampir sebahagian besar dari kalangan penduduk di perumahan Flat Kampung Dusun Nyior, Chukai tidak menyertai majlis gotong-royong perdana tersebut.

“Kami (PAS) rasa sangat dukacita kerana penduduk di perumahan flat (Dusun Nyior) ini tidak ‘turun’ (sertai) bersama dalam program (gotong-royong) ini.

“Mereka (penghuni) tidak beri kerjasama dan saya dimaklumkan bahawa mereka (penduduk) diugut pihak Umno dan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung).

“Pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional masih amalkan politik sempit dan ‘ugutan’ kepada rakyat,” dakwanya.

Menurutnya, penduduk berkenaan ditegah oleh pihak tertentu agar tidak menyertai program anjuran PAS-Pakatan Rakyat jika tidak mahu agihan dana khas ‘dipotong’ (sekat).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan (MTD) Chukai menjelaskan program ‘Ops Al-Falah’ kini digeruni oleh Umno-BN kerana PAS memberi khidmat kepada masyarakat dan rakyat di Terengganu.

Katanya, program kebajikan di setiap MTD di negeri ini tidak mengira fahaman politik, bangsa dan agama dilayan secara adil.

Sempena program tersebut kata Hanafiah, PAS menyediakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, kenduri serta sumbangan kepada fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal.

“Ini (Ops Al-Falah) program baik untuk kebaikan semua rakyat dan kebajikan untuk masyarakat umumnya.

“Kenapa masih berfikiran sempit dengan melarang rakyat untuk bersama dengan pembangkang (PAS) dalam program kebajikan ini,” soalnya.

Menurutnya, operasi gotong-royong membersih kawasan perumahan flat tersebut merupakan tempat ‘kubu’ kekuatan Umno-BN di Dun Chukai, Kemaman.

Awang diberitahu, seramai 88 orang fakir miskin dan 47 orang anak yatim masing-masing menerima sumbangan dari MTD Chukai, Kemaman.

NOTA: Ada orang kata…Umno ‘dulu, kini dan selamanya’ J*H*T

Cetuskan gelombang anak muda

Salam For All…

Jambori Alternatif Riding Club (ARC) Terengganu 2010 dilihat sebagai momentum penting merealisasikan garapan cita-cita dan harapan murni untuk mengumpulkan jentera pemuda PAS ke arah memperkasakan gerakan pemuda.

Keperkasaan gerakan pemuda inilah perlu diolah dengan pelbagai cara dan strategi yang mampu dimanfaatkan sebaiknya.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi mahukan penganjuran jambori anak muda melalui program ARC akan datang menghimpunkan 3,000 peserta.

“Untuk Jambori ARC akan datang, kita (Pemuda PAS) mahu penyertaannya 3,000 orang peserta untuk kita (pemuda) cetuskan gelombang anak-anak muda bersama dengan PAS,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jambori Alternatif Riding Club (ARC) Terengganu 2010 di Pantai Merang, Setiu, beberapa bulan lalu.

Menurutnya, jombari ARC tersebut bagi menghimpunkan para peminat motosikal dalam PAS.

Sekaligus, katanya menjawab tomahan yang dilemparkan kepada PAS sebagai sebuah parti kampungan yang jumud.

“Program (Jombori) ini yang menghimpunkan peminat-peminat motosikal dalam PAS. Sekaligus, kita (PAS) menjawab tomahan yang dilemparkan kepada PAS kononnya selama ini, PAS sebuah parti ‘kampungan’, parti ‘pondok’, parti ‘tok lebai’ dan parti yang jumud,” jelasnya.

Ustaz Nasruddin menegaskan benar PAS sebuah parti Islam yang mempunyai dasar perjuangan Islam.

Tetapi, katanya Islam tidak pernah menghalang keinginan serta kemahuan naluri manusia yang mempunyai kecenderungan dan minat untuk melakukan aktiviti di atas muka bumi ini.

“Betul PAS sebuah parti Islam, dasar PAS memperjuangkan Islam. Suka saya tegaskan di sini, Islam tidak pernah menghalang keinginan dan kemahuan naluri manusia dalam apa jua kecenderungan dan minat manusia itu untuk melakukan aktiviti di atas muka bumi ini,” tegasnya.

Menurutnya, kedatangan Islam untuk membetulkan minat, kemahuan serta kecenderungan naluri manusia dengan cara yang betul.

Tambahnya, kecenderungan minat serta kemahuan tersebut perlu selari dengan kehendak Allah SWT agar tidak terjerumus ke lembah maksiat dan mungkar.

Jambori ACR Terengganu 2010 tersebut julung kalinya diadakan dan berjaya menghimpunan lebih 500 penyertaan di kalangan anak-anak muda serta menggemar motosikal.

NOTA: ‘MEREMPIT’….boleh tetapi ‘JANGAN BERKEPIT’

Petrol naik lagi kerajaan Umno-BN buat ‘senyap’ je

Salam….Apa khabar rakyat 1Malaysia?

HARI INI…sebenarnya harga petrol naik lagi meski pun tidak diumumkan oleh kerajaan ‘bertuah’ Umno-Barisan Nasional melalui saluran rasmi TV1, TV2, TV3, surat khabar lama dan sebagainya.

Sebelum ini, beberapa bulan lalu telah pun berlaku kenaikan harga gula dan bahan api petrol, diesel serta gas petroleum cecair (LPG) disifatkan banyak pihak sebagai kerajaan tidak prihatin.

Malah, kenaikan tersebut mendapat tentangan dari semua MP Pakatan Rakyat dari PAS, PKR dan DAP yang mereka dakwa sengaja diumumkan di hari terakhir persidangan Dewan Rakyat lalau bagi mengelakkan usul tergempar dibuat oleh pembangkang.

Sehubungan itu, di negeri Terengganu Darul Iman ini satu himpunan secara aman membantah kenaikan tersebut dilakukan oleh Wanita Parti KeADILan Rakyat (PKR) Terengganu di hadapan Hypermarket Mydin Mall pada 18 Julai lalu.

Bantahan tersebut diketuai oleh Ketua Wanita PKR Pusat, Zuraidah Kamaruddin bersama pimpinan Wanita PKR Terengganu serta Wanita PKR Cabang Kuala Nerus.

Katanya, Wanita PKR kini dalam rangka ‘roadshow’ ke negeri-negeri pantai timur bermula Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menurutnya, kenaikan harga bahan api petrol, diesel, gas serta gula dianggap tidak wajar kerana akan memberi kesan kepada harga barangan lain.

“Kami (Wanita PKR) kini dalam siri rangka lawatan ‘roadshow’ ke negeri sebelah pantai timur yang bermula dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Kami mewakili kaum ibu terasa amat terbeban dengan kenaikan gula dan bahan api yang pasti akan memberi kesan kepada semua jenis barang,” jelasnya.

Justeru itu, katanya rakyat disarankan agar menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Kebetulan Awang berada di lokasi kejadian dan mendapati sebahagian besar dari penunjuk perasaan merupakan di kalangan kaum wanita yang menentang kenaikan tersebut.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh juga menyifatkan kenaikan bahan api serta harga gula sebagai tidak prihatin rakyat.

Katanya, slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ hanya retorik semata-mata jika masalah rakyat gagal dihayati.

“Kerajaan Barisan Nasional sebenarnya tidak prihatin kepada rakyat apabila bertindak menaikan harga bahan api petrol, diesel dan gula.

“Slogan (rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan) itu hanya retorik sahaja kerana mereka (pemimpin BN) gagal menghayati masalah rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, kemampuan kerajaan Barisan Nasional memimpin negara ini mula dipertikaikan serta wajar ditolak dalam pilihan raya akan datang.

Manakala, Setiausaha Muslimat PAS Terengganu, Raja Endun Raja Abdul Rahman mengajak rakyat sepakat menolak Umno dan kerajaan BN dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, sebelum pilihan raya harga barang telah naik dan selepas pilihan raya pasti akan dinaikkan lagi.

“Saya minta rakyat semua sepakat dan sama-sama kita (rakyat) menolak kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Sebelum pilihan raya harga barang telah naik dan saya yakin selepas pilihan raya (harga barang) akan dinaikkan lagi,” tegasnya.

NOTA: Kerajaan boleh terus naikan apa sahaja selagi rakyat dapat ‘diBODOHkan’

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top