PAS tumpu 32 Dun Terengganu hadapi PRU ke-13

Salam Reformasi Untuk Semua;

PAS Terengganu dikatakan telah memberi tumpuan terhadap kesemua 32 Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri ini termasuk lapan kawasan parlimennya.

Hingga kini, PAS Terengganu berpuas hati dengan segala persiapan jentera parti di setiap peringkat Dun-dun yang dilawati sejak setahun lalu.

Sekali-sekala tu, risau juga Awang mendengarnya bukan tidak yakin tetapi sekadar peringatan khususnya kepada pimpinan PAS Terengganu kita hari ini.

Jika bercakap, kita mesti berfakta serta melihat dengan realiti rakyat di bawah agar kita tidak dikatakan orang kelak ‘bercakap tidak setupa bikin’. Itu yang Awang termasuk rakyat umumnya tidak mahu lihat.

Sesungguhnya, hari ini Umno Terengganu serta kepimpinan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Said sentiasa bergolak sejak Mac 2008 lagi hingga sekarang.

Malah, rakan-rakan dalam Umno-BN sendiri pun tidak yakin krisis tersebut boleh jadi baik dan aman damai tanpa rasa sengketa lagi antara dua kumpulan besar itu antara Idris Jusoh dengan Ahmad Said.

Bawalah datang ‘tok bomoh’ dari Kuala Lumpur sekali pun tidak menjadi bahkan lebih teruk hendaknya. Penyakit ‘sawan gila babi’ kata orang Umno sendiri yang tidak bersetuju dengan senario tersebut.

Apa tidaknya, datang TPM Dato’ Seri Muhyidin Yasin untuk berubat kononnya….pun orang tua itu diboikotnya dan tidak hadir ke majlis yang diadakan. Lantik Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Husain jadi Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, pun tidak jadi apa-apa.

Dan baru-baru ini, ura-ura PM Najib hendak rombak kabinet dan tukar semula struktur Pengerusi Umno Negeri-negeri pada akhir November atau awal Disember 2010 lalu pun tidak menjadi kerana bersebab.

Dengar cerita dari mulut pemimpin Umno yang boleh dipercayai..tak jadi rombok pasal Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, mungkin tidak lama doh. Dan jika dibuat pertukaran haru-biru dalam Umno-BN semakin teruk.

Tambah pula, orang tua nombor 1 dalam Malaysia hari ini yang memperkenalkan slogan 1Malaysia pun tidak berapa sihat kerana menghadapi sejenis penyakit kronik dan agak kronik. Mudah-mudahan dipanjangkan umur untuk dia lihat jatuhnya kerajaan Umno-BN dalam PRU ke-13, kelak.

Awang lihat bantera Umno-BN ini lambat-laungnya akan pecah dan rakyat tidak ada pilihan lagi untuk selamat melainkan turun dan naik ke bahtera Pas dan Pakatan Rakyat.

Sesusngguhnya, rakyat tidak ada pilihan dan telah remuk hati untuk bersama menyokong dan mengundi Umno-BN. Tetapi, nampaknya rakyat dan pengundi Umno dan ‘atas pagar’ juga semacam masih tidak bersedia untuk mengundi PAS-Pakatan Rakyat.

KENAPA…? Apa yang Awang diberitahu dan maklumat golongan pengundi seumpama itu sebenarnya ingin melihat calon-calon PAS dan Pakatan Rakyat. Kenapa pula dengan calon?

Sedangkan PAS mendakwa mempunyai calon-calonnya yang ramai. Pelapis-pelapis yang hebat-hebat. Tetapi kenapa rakyat dan pengundi masih sangsi?

Kata mereka, kata golongan ‘atas pagar’, kata penyokong Umno yang ‘longgar-longgar’ itu mereka akan buat undi protes dengan tidak lagi mengundi Umno-BN. Tetapi, mereka juga tidak akan mengundi PAS-Pakatan Rakyat jika tidak kena pada calonnya.

Oleh itu, Awang harap pimpinan PAS Terengganu juga kena ambil berat pandangan serta pendapat golongan tersebut. Pimpinan sedia ada ini bukan tidak hebat, bukan lekeh tetapi cubalah beri peluang kepada pimpinan yang tidak ada masalah dan yang rekodnya bersih.

Awang tidak kata rekod pimpinan sekarang ini buruk tetapi kata mereka, rakyat kenal dari A to Z jika pimpinan lama sedia ada terus ke depan dan menjadi calonnya.

Kata Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut beliau berpuas hati dengan prestasi PAS di 32 Dun-Dun Terengganu ini.

“Alhamdulillah, ini lawatan terakhir kita (PAS) dan selesai 32 Dewan Undangan Negeri (Dun). Kita (PAS) bermula di Dun Kota Putra, Besut dan berakhir di Dun Hulu Besut ini.

“Kita (PAS) tumpu kepada semua 32 Dun di Terengganu ini. Maknanya, seluruh negeri Terengganu termasuk di lapan kawasan parlimen,” ujarnya selepas Mesyuarat Dewan Harian PAS Terengganu di Felda Tenang, Hulu Besut, baru-baru ini.

Menurutnya, PAS Terengganu berpuas hati dengan persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, petugas parti sedang melakukan persiapan dengan mengaktifkan bilik gerakan termasuk membuat pendaftaran pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pertama (lawatan) dapat melihat serta meninjau tentang tahap persiapan dan perkembangan gerak kerja yang dilakukan di Dun-dun seluruh negeri Terengganu.

“Keseluruhannya, kita (PAS) rasa puas hatilah kerana jentera kita (PAS) telah pun digerakkan. Mereka (petugas parti) bersedia untuk bekerja ke arah mempersiapkan lagi jentera parti.

“Insya’Allah, kita (PAS) rasa dalam menghadapi pilihan raya akan datang ini, kita (PAS) mampu untuk memberikan suatu kekuatan yang lebih mantap di seluruh negeri Terengganu,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali berkata PAS Terengganu berusaha menggerakkan semua lajnah-lajnah serta portfolionya.

Menurutnya, PAS Terengganu juga telah menyiapkan draf ‘road map’ (peta jalan) termasuk dalam perkara berkaitan manifesto pilihan raya.

“Road Map (peta jalan) ini sudah pun kita (PAS) bentangkan dari segi drafnya. Isu-isu penting dalam ‘road map’ itu pun telah kita (PAS) kemukakan.

“Termasuk dalam perkara yang berkait dengan manifesto.‘Road Map’ ini iaitu kita (PAS) berusaha untuk menggerakkan semua lajnah-lajnah dan portfolio yang kita (PAS) bentuk supaya semuanya dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi pilihan raya ini.

“Road Map ini bukan sahaja untuk peringkat negeri sebenarnya tetapi akan diperturunkan ke peringkat yang lebih bawah sehingga ke Dun dan cawangan,” jelasnya.

Menurutnya, salah satu agenda PAS dalam lawatan tersebut mengadakan dialog dengan para petugas di peringkat akar umbi.

Apa yang penting, katanya rumusan dari program lawatan ke Dun-dun tersebut mempunyai kesan yang positif kepada Dun dan cawangan PAS di seluruh negeri.

Bangunan MTD Rhu Rendang perlu sumbangan

Assalamualaikum wwt;

Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Rhu Rendang kini dalam proses menyiapkan sebuah bangunannya setinggi tiga tingkat yang terletak di Kampung Kijing, Marang.

Bangunan tiga pintu tersebut menempatkan ruang niaga, pejabat serta dewan dengan keluasan 40 x 60 kaki persegi.

Kos dianggarkan berjumlah RM500,000 dan pihak pengurusan parti telah membelanjakan hampir RM200,000 hasil sumbangan individu serta orang ramai.

Sememangnya, beginilah sebab PAS tidak ada dana yang banyak, tidak ada taukeh balak dan taukeh judi yang bersama dengan PAS dan tidak ada projek yang bernilai berjuta atau berbilion pada orang PAS.

Maka, sudah semestinya kita pakat-pakat Bantu dan tolong siapkan bangunan yang bukan pun sampai 100 tingkat sebagaimana Najib hendak buat ‘Menara Warisan’ yang bakal menelan belanja beberapa billion sahaja?

Justeru itu, Pengarah MTD Rhu Rendang, Encik Mohd Embong berkata menjadi satu keperluan bangunan tersebut disiapkan segera sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ini kerana, katanya Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang diwakili oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, pejabat lama MTD merupakan rumah lama yang dijadikan pejabat tumpangan serta terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan.

“Kita (PAS) kena siapkan juga bangunan (MTD) ini sebelum pilihan raya (PRU ke-13) untuk kegunaan pejabat Dun Rhu Rendang.

“Ini (Rhu Rendang) kawasan Tok Guru Presiden (Ustaz Abdul Hadi) yang perlu dijaga dan disiapkan segera, Insya’Allah,” ujarnya.

Katanya, sumbangan kewangan atau berupa bahan binaan diperlukan dari para dermawan dan orang ramai.

Bendahari MTD, Encik Zaidi A.Ghani turut merayu sumbangan diperlukan bagi menyiapkan bangunan tersebut terutama bahagian pejabatnya.

Kata beliau, bangunan tersebut perlu disiapkan segera dan masalah kewangan telah membantut kerja-kerja menyiapkannya.

“Saya bagi pihak MTD Rhu Rendang merayu mana-mana individu dermawan dapat membantu sebahagian dari kerja-kerja menyiapkan bangunan ini.

“Kami (PAS) buat kerja secara gotong-royong tetapi ada bahagian tertentu yang memerlukan sumber kewangan untuk disiapkan,” jelasnya.

Sebarang bentuk sumbangan untuk menyiapkan bangunan tersebut sila hubungi Mohd bin Embong (Pengarah MTD) 013-954 0560 atau Zaidi A.Ghani (Bendahari MTD) 019-985 3128 atau melalui Awang sendiri di talian 010-901 3765.

Manakala, sumbangan terus boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB-13017010017791) atau MayBank (A/C: 163019285561).

PAS jadi rujukan Gerakan Islam

Salam Untuk Semua;

Hari ini orang mula melihat peranan perjuangan PAS melalui pendekatan pilihan raya menjadi semakin penting baik di peringkat nasional mahu pun internasional.

Bahkan, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga menjadi tempat rujukan semua Gerakan-gerakan Islam yang ada pada hari ini kerana pengalaman berharga PAS selama menyertai pilihan raya di negara ini.

“PAS kini menjadi semakin penting peranannya di peringkat nasional dan internasional. Gerakan-gerakan Islam yang besar dan tersohor mula menjadikan PAS sebagai rujukan penting dan pimpinan PAS diminta menulis khazanah pengalaman perjuangan kita (PAS),” kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob.

Beliau berkata demikian ketika membentang kertas kerja bertajuk ‘Islam Adil Untuk Semua’ Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS, di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, di Kuala Ibai, baru-baru ini.

Menurutnya, pimpinan PAS diminta menulis tentang uslub serta pengalaman parti mengenai pilihan raya.

Malah, katanya PAS dilihat oleh rakan-rakan dalam Gerakan Islam menjadi gerakan yang paling ungul dan berwibawa.

“Pemimpin kita (PAS) diminta menulis kertas-kertas penting mengenai uslub dan pengalaman kita (PAS) mengenai pilihan raya.

“Walau pun Gerakan Islam Ikhwan di Mesir lebih awal menerbitkan buku-buku penting yang kita (PAS) jadikan teks usrah kita (PAS).

“Tetapi hari ini, PAS dilihat oleh rakan-rakannya dalam Gerakan Islam menjadi gerakan yang paling ungul dan berwibawa,” ujarnya.

Menurutnya, PAS mempunyai pengalaman yang luas dalam arena pilihan raya di negara ini serta tidak mengenal erti putus asa.

Katanya, jatuh bangun PAS pernah ditipu hingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 kerana itu merupakan pendekatan paling bijak.

“PAS memasuki pilihan raya, jatuh bangun kita (PAS) pernah ditipu. Kita (PAS) tidak pernah putus asa sehinggalah pilihan raya ke-12.

“PAS tetap menyertai pilihan raya kerana Syura PAS menetapkan itu (pilihan raya) adalah pendekatan paling bijak,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata tajuk ‘Islam Adil Untuk Semua’ dipilih disaat PAS memainkan peranannya yang begitu penting bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, PAS dapat meneruskan cita-cita perjuangan disaat Umno dan komponen Barisan Nasional menghadapi masalah dalaman parti masing-masing.

“PAS hari ini alhamdulillah, dapat berdiri dengan gagah dan melangsungkan cita-cita perjuangannya.

“Disaat kita (PAS) melihat pelbagai masalah yang melanda dan kita (PAS) yakin dan percaya keporak-peranda semua anggota-anggota parti dalam Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Menurutnya, PAS mempunyai dua buah negeri dalam menjana kekuasaan serta menjadi rakan kongsi yang penting di Selangor.

Justeru itu, katanya PAS boleh menterjemahkan bahawa Islam yang menjadi dasar perjuangan parti mampu dilihat berlaku adil kepada semua kaum, agama dan bangsa.

Ma’al Hijrah 1432: Tahun Untuk Berubah

Salam Ma’al Hijrah 1432;

Semalam (1 Muharam 1432: 7 Disember 2010) banyak pihak di negara ini termasuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri-negeri menyambutnya sebagai sebahagian dari hari kebesaran dalam Islam.

Pelbagai acara diadakan sejak terbenamnya matahari pada malam 1 Muharam itu dengan diadakan di masjid-masjid dan surau-surau dengan bacaan yaasin, doa awal tahun dan sebagainya.

Meski pun, sambutan tersebut tidak dinaskan supaya wajib dibuat tetapi kerana syiar Islam ramai di kalangan umat Islam di negara ini menyambutnya.

Lebih-lebih lagi orang Melayu Umno yang hanya lebih membsarkan syiar Islam daripada Syariat Islam. Bagi mereka (Umno-BN) syiar Islam mesti dimulia dan ditinggikan tetapi Syariat Islam diketepikan.

Inilah masalahnya, jika ‘belajar’ tidak habis dan hanya buat secara ikut-ikutan. Bila datang bulan Muharam maka berkawah-kawahlah pula bubur as-syura akan ditanak. Bila datang bulan Ramadan maka berpuasalah dengan penuh kuih-muih. Bila datang bulan Syawal maka dialah juga orangnya yang beraya melebihi orang lain. Bila datang pula bulan Zulhijjah (Haji) maka berduyung-duyunglah pakat naik kapal terbang untuk pergi buat haji serta ‘membunuh’ ternakan korban.

Walhal, selepas masih terus-menerus menentang dan memusuhi Islam serta perjuangannya. Kenapa berlaku demikian? Kerana yang diamalkan bukan Syariat tetapi Syiar Islam sahaja.

Maka, dengan sambutan Ma’al Hijrah itu dipilihlah orang-orang tertentu untuk dijadikan tokoh sejarah perjuangan Islam. Tokoh Ma’al Hijrah 1432H Peringkat Kebangsaan dipilih seorang wanita yang tidak menutup aurat.

Persoalannya, layakkah mereka-mereka itu digelarkan tokoh dalam sejarah Islam. Tokoh Ma’al Hijrah tetapi kepala ‘berdogol’ tidak tutup aurat. Sebab, itu tokoh untuk pejuang Syiar Islam dan bukan tokoh Syariat Islam. Inilah kekeliruan fahaman Islam yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional.

Berbanding dengan Kelantan, tokoh tersebut diberikan kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau merupakan bekas guru serta tokoh ulama’ yang pernah tersenarai antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia serta tersenarai dalam buku berjudul “The 50 Most Influntial Muslims”.

Malah, Tuan Guru Nik Aziz berjaya memerintah Kelantan selama 20 tahun dengan memperkenalkan dasar-dasar serta syiar Islam dengan lebih baik dan berkesan. Dia dikagumi oleh kawan dan lawan. Semua bangsa Melayu, Cina, India, Siam sangat menghormati ketokohannya.

Jadi, Awang bukannya apa Cuma ingin berkongsi pendapat serta pandangan orang melalui ruang yang terhad ini. Cuba kita renung pula dengan kata-kata oleh seorang lagi Tok Guru yang tidak kurang hebatnya.

Kata beliau ketika ditanya di kediamannya di Rusila, Marang sehari sebelum sambutan 1 Muharam 1432H khas untuk seluruh umat Islam di negara ini.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang;

Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia(PAS), saya ingin mengucapkan selamat melalui Maal Hijrah 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi. Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam. Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah SAW telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini. Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas. Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan maal hijrah ini tidak disuruh oleh Nabi SAW, tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

1 Muharam 1432 H bersamaan 7 Disember 2010

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top