PAS bantu pelajar luar negara

Salam Pelajar;

KUALA NERUS: PAS amat prihatin dalam semua perkara termasuk bidang pendidikan yang dianggap sebagai pelaburan masa depan.

Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, M.Sukrimun Shamsuddin berkata pendidikan merupakan suatu bidang yang penting dan tidak boleh diabaikan.

Oleh itu, katanya semua pihak dan tidak terkecuali kepada kerajaan sahaja melaburkan wang ringgit dalam bidang tersebut.

Menurutnya, pendidikan yang baik sangat menguntungkan kerana sumbangan tersebut dikira sebagai amal baik hingga hari kiamat.

“Bidang pendidikan ini sangat penting dan semua pihak patutlah melaburkan wang ringgit mereka untuk pendidikan.

“Ini tidak terkecuali kepada pihak kerajaan sahaja. Sebab, ‘pelaburan’ ini (ilmu) sangat menguntungkan kerana dikira oleh Allah SWT hingga hari kiamat, Insya’Allah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar ke luar negara di Pejabat PAS Kuala Nerus.

Sehubungan itu, katanya harapan PAS kepada para pelajar berkenaan agar dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk orang lain kelak.

Menurutnya, ilmu yang bermanfaat digunakan bagi meneruskan perjuangan Islam yang semakin terpinggir ini.

Katanya, pelajar yang baik akan dapat menyumbang ilmu tersebut untuk dakwah dan bukan mencari keuntungan dengan dakwah.

“Kita (pelajar) mesti menyumbang kepada dakwah dan bukan bergantung mencari keuntungan dengan dakwah.

“Saya harap yang ini (pelajar) boleh jadi pelapis kepimpinan masa depan kerana yang lama (tua) akan pergi dan yang baru (muda) akan mengganti (kepimpinan),” jelas beliau kepada hampir 20 orang penerimanya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak, Penolong Setiausaha (III) PAS Terengganu, Ustaz Zakaria Dagang dan Penolong Setiausaha PAS Kuala Nerus, Harun Salleh.

Manakala, di Kuala Terengganu, PAS Cawangan Losong Atap Zin telah merealisasikan sebahagian dari konsep Negara Berkebajikan yang bakal diketengahkan sebagai manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Seramai 26 orang pelajar yang bakal melanjutkan pengajian masing-masing ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara menerima sumbangan tersebut.

Pesuruhjaya PAS Terenganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengagihkan sumbangan berupa wang tunai kepada 16 orang pelajar ke luar negara dan 10 orang yang melanjutkan pengajian di dalam negeri.

Katanya, PAS sejak sekian lama sentiasa memberi perhatian dalam bidang pendidikan atas tanggungjawab sosial.

Menurutnya, keprihatinan PAS tersebut terbukti dengan kewujudan pendidikan pra-sekolah seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), sekolah rendah, menengah, Institusi Pengajian Tinggi dan Kolej.

“PAS memang prihatin dengan pusat pendidikan yang jadi sebahagian dari tanggungjawab sosial kita dalam jamaah Islam.

“Kita (PAS) ada Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam), kita ada Sekolah Dar-dar (rendah), kita ada peringkat menengah, kolej dan kolej universiti,” ujarnya pada Majlis Sumbangan Amal dan Kebajikan, di Surau al-Amin, Losong Atap Zin, dekat sini.

Katanya, pelajar yang baik dan beramanah dengan ilmu yang dipelajari akan menjadi manusia bertanggungjawab kelak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menaruh harapan tinggi agar para pelajar berkenaan berjaya dengan cemerlang.

Menurutnya, pelajar yang cemerlang dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi bagi perjuangan Islam.

Seorang pelajar, Mohd Farezuan Mat Azhar, 23, dari Kampung Bukit Kecil merupakan pelajar tahun tiga di Mesir dalam jurusan Syariah Islam.

Beliau akan ke Mesir semula pada pertengahan September 2011 bagi menyambung pengajiannya.

“Saya sudah belajar di Mesir tahun tiga dan akan kembali pada pertengahan September ini, Insya’Allah.

“Terima kasih kepada PAS cawangan ini (Losong Atap Zin) dan Pesuruhjaya PAS yang prihatin kepada golongan pelajar,” ujarnya.

Rakannya, Mohd Farid Azmi, 20, anak pertama dari tujuh adik-beradik juga bakal melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir bersama beberapa orang yang lain.

“Saya bercita-cita menamatkan pengajian di Al-Azhar (Universiti) dan manfaatkan ilmu untuk perjuangan Islam, Insya’Allah.

“Saya mahu mengikut jejak langkah kepimpinan Islam yang berjaya dan bercakap benar dengan ilmu Islam,” jelasnya.

Beliau merupakan anak kepada mudir Madrasah Darul Salam yang dikendalikan di bawah Dewan Ulama’ PAS Terengganu sejak 20 tahun lalu.

Manakala, Nur Dahana Mohd Anuar, 19, akan melanjutkan pengajiannya ke Jordan dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Bapanya, Mohd Anuar Abdullah bekerja sendiri mempunyai enam orang anak yang masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah.

“Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan sudi menghulurkan sumbangan untuk kami yang akan melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara,” ujarnya.

Beliau merupakan anak keempat dari enam adik-beradik bercita-cita menjadi seorang yang berjaya di peringkat yang lebih tinggi.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top