KUALA TERENGGANU: Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Azmin Ali mengingatkan rakyat terutama kepada ahli-ahli Pakatan Rakyat agar tidak terperangkap dengan polemik ciptaan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 mungkin bakal menjadi pilihan raya terakhir serta tali hayat bagi kerajaan Umno-BN.
“Usah kita (rakyat) terperangkap dengan polemik Umno yang dibuat melalui pelbagai isu yang sensasi menjelang pilihan raya ini.
“Saya cukup yakin bahawa PRU ke-13 ini adalah pilihan raya yang terakhir yang akan menjadi tali hayat kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional,” jelasnya pada Ceramah Pakatan Rakyat di perkarangan Masjid Chendering, dekat sini.
Menurutnya, Umno-BN akan menggunakan akhbar Utusan dan TV3 bagi melakukan fitnah terhadap Pakatan Rakyat hingga kepada pilihan raya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak menyifatkan Umno sanggup melakukan fitnah melampau yang tidak terbatas terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.
Bahkan, katanya tindakan melampau tersebut turut didedahkan di mahkamah terutama dalam perbicaraan kes liwat II terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Kita (Pakatan Rakyat) kena kerja kuat untuk lawan fitnah dan propaganda Umno yang melampau terhadap kita.
“Mereka (Umno) sanggup melakukan fitnah melampau dan tidak ada batasan seperti yang berlaku di mahkamah sekarang. Mereka guna Utusan (Malaysia) dan TV3 untuk lakukan fitnah hingga pilihan raya,” ujarnya.
Selain itu, kata Azmin hanya kerajaan Pakatan Rakyat sahaja mampu menutup Kem tahanan di Kemunting, Perak dan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sepenuhnya.
Katanya, janji Pakatan Rakyat dalam “Buku Jingga” akan hapus ISA dan tutup Kem Kemunting jika berjaya ke Putrajaya.
“Kita usah percaya kepada Najib (Perdana Menteri) yang hendak hapuskan ISA kerana kenyataan Hishamuddin (Kementerian Dalam Negeri) dan Nazri Aziz (Jabatan Perdana Menteri) bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri.
“Dua akta baru yang bakal menggantikan ISA itu bukti kerajaan BN tidak ‘ikhlas’ untuk hapuskan ISA,” jelasnya.
Menurutnya, apa yang penting rakyat umum perlu melakukan perubahan dengan menolak kerajaan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.
Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.